Ancelotti Bidas Pihak Yang Label Mbappe Pemain Bermasalah

Carlo Ancelotti membidas pihak yang melabel Kylian Mbappe sebagai pemain yang bermasalah. Wartawan cuba mendapatkan komen Ancelotti tentang bagaimana dia akan mengendalikan pemain Perancis itu yang dianggap diva.

Kylian Mbappe sudah tiba di Madrid untuk memeterai kesepakatan dan kemudian terus meninggalkan kota itu untuk menyambung cutinya sebelum Euro.

Ada pihak yang menganggap Mbappe mungkin akan memberikan masalah kepada bilik persalinan Real Madrid selepas ini. Hal ini kerana banyak laporan tentang Mbappe ketika di PSG yang menyatakan bahawa pemain itu besar kepala.

Ancelotti membidas kenyataan itu – menurut laporan Marca. Kerana tidak pernah berlaku seorang pemain yang sentiasa menjaringkan gol dalam setiap perlawanan dianggap pemain bermasalah.

Ancelotti berkata: “Bagaimana kamu boleh kata seorang pemain yang menjaringkan 1 gol dalam setiap perlawanan sebagai pemain bermasalah? Tiada keraguan tentangnya [bahawa Mbappe bukan pemain bermasalah].

“Perkara seperti ini tidak pernah wujud bagi kami sebagai jurulatih dan di kalangan pemimpin.”

Carlo Ancelotti benar benar teruja mendapat Mbappe dalam pasukannya. Dia mendedahkan bahawa dia sudah lama tahu Mbappe akan datang ke Madrid namun dia harus berhati hati agar tidak terlepas cakap tentang perkara itu.

Mbappe menyertai Real Madrid secara percuma dari PSG. Mbappe seringkali dianggap sebagai salah seorang pemain terbaik dunia ketika ini bersama sama dengan pemain seperti Erling Haaland.

Mbappe akan bergandingan dengan Vini Jr di barisan serangan Real Madrid. Mbappe boleh bermain di kesemua posisi serangan.

Namun begitu, Ancelotti menyatakan bahawa setakat ini Mbappe tidak meminta secara mutlak di mana posisi dia mahu bermain dalam Real Madrid.

Dalam pada itu, Kylian Mbappe sedang bersiap sedia bersama kem Perancis untuk menghadapi Euro 2024 yang akan dilangsungkan di Jerman. Perancis merupakan salah satu pasukan pilihan.