Ancelotti Dilantik Sebagai Pengurus Real Madrid Walaupun Dia Bukan Pilihan Utama

Real Madrid memuktamadkan keputusan melantik Carlo Ancelotti sebagai pengurus baharunya. Pengurus kelahiran Itali ini diberi kontrak selama 3 tahun.

Mengikut rekod sejak 2 dekad lalu, majoriti pengurus pasukan ini hanya bertahan selama 2 musim sebelum dipecat.

“Real Madrid mengumumkan Caarlo Ancelotti akan menjadi pengurus baharu selama 3 musim berikutnya” kenyataan rasmi pasukan

Ini merupakan kepulangan semula pengurus berusia 61 tahun itu ke Real Madrid. Ancelotti pernah mengurus gergasi Sepanyol itu untuk musim 2013/14 dan 2014/15.

Dalam tempoh tersebut Real Madrid berjaya menjulang 2 trofi major iaitu Liga Juara Eropah dan Copa Del Rey. Super Cup dan World Club Cup merupakan 2 lagi trofi sampingan yang diraih oleh pasukan itu.

Kejuaraan Liga Eropah Ancelotti agak sensasi. Real Madrid menumbangkan Atletico Madrid melalui 1 jaringan penyamaan dalam masa kecederaan.

Gareth Bale, Sergio Ramos dan Cristiano Ronaldo menambah 3 gol dalam masa tambahan untuk membenam skuad Diego Simone 4-1.

Selepas itu, tempat Carlo Ancelotti diganti oleh Rafa Benitez selama semusim sebelum Zinedine Zidane hadir memegang jawatan tersebut selama 2 musim setengah.

Di bawah pengurusan Zidane, Real Madrid menang Liga Juara Eropah selama 3 musim berturut-turut dan 1 kejuaraan La Liga.

Real Madrid sekali lagi memenangi La Liga dibawah bimbingan kali ke-2 Zidane. Tugas Ancelotti tidak akan mudah namun pengurus ini mempunyai imej yang baik disana.

POCHETTINO SASARAN UTAMA

Ancelotti bukanlah nama teratas yang berada dalam sasaran kelab untuk menggantikan Zidane. Massimiliano Allegri dan Mauricio Pochettino adalah sasaran utama mereka.

Pochettino sempat mengadakan perbincangan dengan pihak Real Madrid. Pengurus dari Argentina itu perlu menamatkan kontraknya terlebih dahulu di Paris Saint Germain.

Pada akhirnya, Real Madrid memutuskan untuk menghentikan rundingan. Real Madrid tidak mahu membangkitkan kemarahan pihak Paris Saint Germain.

Real Madrid mahu menjaga hubungan mereka kerana mereka ingin bersiap sedia memulai rundingan mendapatkan Kylian Mbappe.

Sementara itu situasi di Juventus juga merencatkan pelan asal Real Madrid. Andrea Pirlo dipecat dan Allegri bersetuju untuk kembali menjadi pengurus disana.

4 hari sebelum Ancelotti dilantik, Allegri sudah membuat keputusan kembali disana. Antonio Conte juga dilaporkan menjadi sasaran kelab.

Bagaimanapun bekas pengurus Inter Milan itu mempunyai falsafah berbeza dengan Real Madrid dan sukar untuk bekerjasama.

Akhirnya kerusi panas itu menjadi milik Ancelotti.

Ancelotti menamatkan kontraknya di Everton dan membawa 6 staf kejurulatihnya berangkat ke Real Madrid, termasuk anaknya sebagai penolong pengurus.

Ancelotti mula membimbing Everton pada Disember 2019. Pengurus ini diberi kontrak selama 4 tahun setengah. Selepas hanya 1 tahun setengah, Ancelotti membatalkan kontraknya demi Real Madrid.

Keputusan itu disebabkan Real Madrid merupakan sebuah kelab dihatinya. Pemergian Ancelotti akan ditangisi James Rodriguez, pemain yang keluar dari Real Madrid demi Ancelotti di Everton.