Ancelotti: “Messi GOAT? Saya Tak Pernah Cakap Macam Tu, Ada Yang Lebih Bagus Daripadanya”

Pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti, menegaskan bahawa Lionel Messi bukanlah pemain bola sepak terbaik dalam sejarah ataupun GOAT.

Messi secara meluas dianggap sebagai yang terhebat sepanjang zaman (GOAT), selepas dia ‘menyempurnakan’ bola sepak dengan memenangi Piala Dunia 2022 bersama Argentina.

Sebelum ini Messi telah memenangi segala galanya bersama kelab. Tetapi untuk pasukan kebangsaan, Messi seringkali dianggap tak cukup syarat untuk menjadi GOAT kerana tiada piala major.

Selepas dia memenangi Copa America 2021, pundit mulai meletakkan syarat baharu iaitu, Messi harus memenangi Piala Dunia untuk menjadi GOAT.

Dan dia melakukannya di Qatar 2022.

Namun bagi Ancelotti, itu masih belum cukup untuk menjadikan Messi sebagai GOAT.

Ancelotti menyatakan pandangannya semasa sidang akhbar pada Khamis ketika pasukannya bersiap sedia menyambung semula aksi domestik.

Ancelotti malah menyatakan bahawa dia tidak pernah sekali pun menyebut Messi adalah terbaik sepanjang zaman.

Kerana menurutnya, terdapat ramai pemain hebat seperti Diego Maradona, Alfredo Di Stefano dan Johann Cruyff, yang lebih bagus daripada Messi.

Namun Ancelotti tidak dapat memilih mana satu antara 3 nama itu selain Messi yang harus digelar GOAT. Kerana dia melihat Stefano, Cruyff dan Maradona sangat luar biasa untuk bersaing menjadi GOAT.

Ancelotti berkata: “Messi yang terbaik dalam sejarah – ungkapan itu tak pernah keluar daripada mulut saya.”

“Dia seorang pemain yang hebat tetapi saya tidak boleh mengatakan bahawa dia yang terbaik.

“Terdapat begitu ramai pemain hebat… Maradona, Di Stéfano, Cruyff… Saya tidak tahu. Sebab akan ada pemain hebat dalam setiap era mereka.”

 

Baca yang lain