Ander Herrera Tolak Ke Spurs: “Hanya Manchester United Kelab Saya Di England”

Bintang yang digelar cult hero ataupun hero kesayangan Manchester United, Ander Herrera menolak untuk disertakan dalam perjanjian mendapatkan Ndombele oleh PSG.

PSG berusaha membawa masuk Ndombele dan PSG  berharap untuk menggunakan salah seorang pemain tengah mereka dalam perjanjian pertukaran dan nama Herrera telah diperkatakan dalam senarai.

Adam Crafton dari Athletic mendedahkan Herrera menentang sama sekali perpindahan ke utara London itu kerana menurutnya cuma ada 1 kelab sahaja untuknya di England iaitu Manchester United.

Selain itu, Spurs merupakan pesaing utama Manchester United untuk ke UCL musim hadapan dalam perebutan 4 teratas selain dari Arsenal dan West Ham United.

Adam Crafton melaporkan: “Pemain PSG Ander Herrera disebut sebagai nama dalam rundingan untuk perjanjian pertukaran dengan Tanguy Ndombele di Tottenham tetapi dia gembira di PSG dan saya diberitahu bahawa dia hanya akan mahu bermain untuk Manchester United di England.”

Herrera menghabiskan masa lima tahun di United selepas tiba dari Athletic Bilbao pada 2014. Semasa berada di England, Herrera memenangi Piala FA, Piala Carabao dan Liga Europa. Walaupun dia bukan pemain yang berstatus mega star, tetapi semangatnya dalam setiap perlawanan sama ada sebagai pemain kesebelasan utama ataupun gantian menjadikannya watak kegemaran peminat di Old Trafford.

Dia kemudian menyertai PSG secara percuma pada 2019 selepas gagal bersetuju dengan kontrak baharu bersama United. Dikatakan pemain berusia 32 tahun tidak bersetuju dengan gaji yang ditawarkan Man United pada masa itu.

Namun tidak lama selepas itu Herrera sendiri menepis khabar angin itu pada 2020. Sebaliknya dia kecewa dengan Ed Woodward yang ketika itu acuh tak acuh dalam soal kontraknya. Membuatkan dia merasakan bahawa dia bukan sebahagian penting dalam pasukan United.

Sedangkan dia benar benar berharap akan terus kekal di United. Pada beberapa bulan terakhir barulah hierarki Ed Woodward terhegeh hegeh mahu melanjutkan kontraknya. Sedangkan ketika itu dia sudah memutuskan untuk ke PSG.

“Ia bukan soal wang,” kata Herrera kepada The Athletic.

“Ia bukan mengenai tempoh tawaran kontrak atau nilai [gaji]. Pada pendapat saya, saya menunggu terlalu lama (untuk tawaran) dan patut mendapat perhatian lebih daripada kelab. Saya adalah pemain yang memberikan segala-galanya kepada kelab.”

“Saya tidak pernah merungut. Saya tidak pernah pergi ke media untuk mengadu apa-apa yang saya tak puas hati dan memburuk burukkan nama kelab sepanjang saya di sana.”

“Saya tidak pernah tarik muka kepada mana-mana pengurus, kepada mana-mana ahli lembaga pengarah, dan mereka menunggu sehingga saya mempunyai baki lima atau enam bulan dalam kontrak saya – barulah mereka mahu berunding.”

Herrera menambah dia memutuskan untuk mencari kelab baharu kerana dia adalah pemain bola sepak yang perlu sentiasa bertindak lebih awal bagi mengelak tidak mendapat kelab baharu.

“Itulah sebabnya saya mempunyai beberapa perselisihan faham dengan mereka. Saya memberitahu anda perkara ini tetapi saya juga memberitahu anda bahawa ia adalah sebahagian daripada bola sepak, sebahagian daripada kehidupan, tidak ada yang peribadi sama sekali.

“Tetapi anda bertanya soalan itu dan saya memberikan pandangan saya, sebagai pemain profesional.”

Herrera dinamakan Pemain Terbaik United pada 2016-2017, apabila mereka memenangi Piala Carabao dan Liga Europa di bawah kendalian Jose Mourinho.

Musim itu juga menyaksikan dia menjaringkan gol menentang Chelsea dan mempamerkan prestasi cemerlang merantai Eden Hazard.

PSG juga telah menawarkan Leandro Paredes kepada Spurs, tetapi Paredes tidak berminat untuk berpindah. Ndombele sebelum ini sudah kehilangan tempat dalam pasukan Antonio Conte.

Selain daripada Ndombele, pemain seperti Dele Alli dan juga Giovani Lo Celso turut berada dalam senarai untuk dilepaskan.

Baca yang lain