Ange Postecoglu Tak Faham Peraturan Handball Sekarang Ini

Pengurus Tottenham Ange Postecoglou berpendapat bahawa penalti Arsenal yang disempurnakan Bukayo Saka sepatutnya tidak pernah ada. Kerana dia menganggap pemainnya berada pada kedudukan semulajadi ketika bole menyentuh tangannya.

Arsenal diikat oleh Spurs 2-2 dalam aksi Derbi Utara London. Di mana Spurs kemungkinan besar ada peluang menang jika penalti itu tidak diberikan pengadil kepada skuad bimbingan Mikel Arteta itu. Son Heung Min dua kali mengikat Arsenal dengan kualiti penyudahnya, untuk memastikan Ange Postecoglou tidak tewas dalam aksi debut beliau sebagai pengurus dalam derbi Utara London.

Postecoglou membuat pertaruhan berani apabila memberikan debut kepada pemain yang dibeli dengan nilai £48 juta pada deadline day iaitu Brennan Johson. Pemain itu agak tidak bernasib baik kerana gagal menjaringkan gol. Dua percubaan bahayanya dinafikan save berkelas dunia oleh David Raya.

Namun di satu sudut lagi, Spurs telah mencalarkan sedikit kempen Arsenal untuk merampas kejuaraan daripada Man City musim ini. Cristian Romero menjadi pemain yang sangat tertekan dalam perlawanan ini. Dia memberikan gol pertama kepada Arsenal menerusi gol sendiri yang agak malang, kerana bola rembatan Saka membias padanya.

Son kemudian menyamakan kedudukan buat Spurs selepas aksi genius daripada James Maddison yang melakukan putaran menewaskan Saka di byline. Romero kemudian terlibat secara tak langsung dalam gol kedua Spurs, apabila bola percubaan Saka terkena tangan dia pula, Pengadil Robert Jones mendapatkan bantuan VAR dan memberikan penalti kepada Arsenal.

Pemberian penalti kepada Arsenal itu jelas tidak menggembirakan Ange Postecoglou yang hanya tersenyum sinis di tepi padang menyindir keputusan pengadil yang dianggap lemah. Namun Spurs membalas gol itu hanya seminit selepas itu, ianya selepas Maddison menekan Jorginho yang kehilangan bola. Maddison melorongkan bola kepada Son Heung Min dan mudah disumbat masuk oleh kapitan mereka itu.

Postecoglou kemudian tampil mempersoalkan penalti Arsenal itu. Pengurus Spurs itu berharap ada satu peraturan yang jelas dan konsisten tentang handball yang membuatkan pengadil boleh memberikan sepakan penalti. Kerana dia sudah serabut dengan peraturan handball pada sekarang ini. Kadangkala, bola yang melantun terkena tangan seperti yang berlaku pada Romero itu tidak diberikan penalti, kerana pemain tidak menampan bola secara langsung.

Dia berkata: “Ianya jelas sekali kawan, kamu harap perkara ini ada penyelesaiannya. Kejelasan tentang peraturan handball ini pastinya sangat membantu. Saya sendiri dah tak tahu dah, macamana peraturan handball ni sekarang.”

“Saya memang tak faham. Saya saksikan semalam, di Wolves [vs Luton] dan ianya di mana kadangkala bola terkena tangan kamu, ianya penalti, dan pada masa yang lain, bola terkena tangan, tiada penalti pula.”

“Saya tidak faham langsung. Inilah satu satunya peraturan dalam bola sepak yang saya sendiri masih tak faham. Kecuali kita mulai membangunkan pemain pertahanan kudung, saya tak tahu bagaimana [kedudukan badann] kamu untuk menghadang bola, dan kekal dalam kedudukan semulajadi.”