Animasi : Grave Of The Fireflies Karya Hebat Yang Tidak Mampu Ditonton Berulang Kali

Sebuah filem animasi “masterpiece” yang tidak mampu ditonton semula berulang kali.

Kita sering disaksikan dengan filem-filem yang hebat, yang dikategorikan sebagai masterpiece dan seperti gelaran yang hebat sudah tentunya filem berkenaan kita akan menontonnya secara berulang kali.

Namun ianya tidak bagi filem animasi Grave Of The Fireflies hasil karya Isao Takahata, seorang pengarah yang bekerjasama dengan Hayao Miyazaki digelar “Grandmaster” dalam dunia animasi Jepun (anime), di dalam satu studio yang sama iaitu Studio Ghibli.

Isao Takahata, beliau telah meninggal dunia pada 5 April 2018 pada umur 82 tahun

Rata-rata penonton yang menyaksikan filem animasi ini majoriti mereka pasti mengalirkan air mata dan membuatkan hari-hari mereka rasa “disturbing”.

Kerana jalan cerita filem ini sarat dengan mesej yang sangat mendalam dan membuatkan kita rasa fikir sejenak akan nasib 2 watak utama dalam filem animasi berkenaan.

Filem animasi ini dihasilkan pada tahun 1988 berdasarkan kisah benar yang berlaku pada era perang dunia kedua di Jepun dahulu. Ia mengisahkan tentang seorang remaja lelaki bernama Seita bersama adik perempuannya Setsuko yang kehilangan ibu dan bapa mereka serta rumah mereka yang musnah selepas dibom.

Dalam filem ini, ia banyak menceritakan tentang penderitaan masyarakat Jepun ketika perang berlaku dan tempiasnya adalah pada golongan muda serta kanak-kanak. Filem ini menterjemahkan tentang peritnya Seita dalam meneruskan hidup dalam keadaan serba kekurangan sumber makanan, sambil menjaga adik perempuannya yang masih kecil.

Pada mulanya mereka berdua berteduh di rumah ibu saudara mereka. Namun sikap pilih kasih ibu saudara mereka dalam pembahagian makan menyebabkan Seita berasa tidak puashati dan membuat keputusan untuk hidup sendiri di dalam sebuah gua.

Malah mereka hanya menggunakan kelip-kelip sebagai lampu untuk mereka diwaktu malam. Hal ini berlaku ekoran masyarakat Jepun ketika itu (selepas dibom) berada dalam situasi serba kekurangan dan susah.

Seita serta adiknya Setsuko telah berpindah ke gua tersebut dan cuba hidup berdikari, dimana Seita keluar mencari makanan untuk adiknya manakala adik perempuannya Setsuko tinggal sendirian di dalam gua tersebut. Adiknya Setsuko telah sakit akibat kelaparan serta kekurangan nutrisi berpunca daripada memakan makanan yang kotor serta memakan tanah kerana kelaparan.

Seita berusaha untuk memulihkan adik perempuannya namun adiknya telah pun meninggal dunia. Kemudian, Seita kebumikan adiknya di kawasan gua tersebut hanya dengan memasukkan mayat adiknya ke dalam kotak lalu membakar mayat adiknya itu.

Bayangkan seorang abang yang masih belasan tahun menguruskan mayat adiknya dengan seorang diri. Bertapa peritnya keadaan yang terpaksa dihadapi oleh Seita ketika itu. Setelah itu Seita juga telah meninggal dunia akibat kelaparan.

Filem ini banyak menunjukkan realiti sebenar berkaitan peperangan dan mangsanya ialah kanak-kanak. Filem ini juga telah memaksa penonton memahami tentang peritnya situasi selepas peperangan yang terpaksa dihadapi oleh mangsa.

Berdasarkan kisah 2 beradik tersebut, telah membuatkan penonton sangat tersentuh hingga menyebabkan kita dapat merasai apa yang Seita dan Setsuko lalui.

Walaupun filem ini ditayangkan pada 1988, namun filem animasi ini masih lagi filem yang diklasifikasikan sebagai masterpiece. Serta masih lagi boleh ditonton melalui laman web filem-filem animasi secara online.

Namun, majoriti penonton yang pernah menyaksikan filem ini sudah tidak mampu menonton filem ini semula. Sebab itulah kami katakan Grave Of The Fireflies merupakan filem masterpiece namun tidak mampu ditonton lebih dari sekali.

Menarik bukan?

Nota : Artikel ini adalah kiriman daripada, Azlee Harun khas untuk Axello.net

Baca yang lain