Antony Kecewa Ajax Melampau Tolak Bidaan €90 Juta United Dan Minta €100 Juta

Antony dilaporkan menyatakan kekecewannya selepas Ajax menolak bidaan rasmi €90 juta oleh Manchester United.

Menurut Antony, harganya tidaklah sampai €100 juta. Dan Ajax telah merumitkan usahanya mahu bermain di Liga Perdana Inggeris bersama dengan Manchester United.

Ini adalah bidaan kedua Man United selepas melakukan bidaan pertama €80 juta beberapa hari lalu.

Ajax masih berkeras meminta €100 juta untuk Antony. Dan hierarki di Manchester United merasakan bahawa mereka sudah menawarkan harga paling tinggi untuk pemain tersebut.

Namun bagi Ajax, €90 juta adalah tidak cukup untuk United mendaratkan Antony ke Old Trafford.

Antony sebelum ini sudah ponteng latihan selama 3 hari. Dan kemudian kelab mengancam akan mendenda pemain itu €50,000 untuk setiap sehari yang dia tak datang melapor diri.

Semalam, laporan dari Ajax menyebut Antony kembali melapor diri ke pusat latihan namun kemudian meminta balik awal dan dibenarkan kelab.

Pengurus Ajax, Alfred Schreuder sudah mengingatkan Manchester United mengenai status Liga Juara-Juara Eropah yang tidak ada pada mereka, ketika kelab itu meneruskan usaha mereka untuk mendapatkan Antony.

Antony awalnya bukan dalam senarai keutamaan Ten Hag ketika dia mulai menyertai Man United. Namun selepas kegagalan mendapatkan penyerang baharu dan sasaran utama seperti De Jong, maka Ten Hag mulai menjadikan Antony sebagai sasaran utama.

Manchester United kini dilaporkan dalam perbincangan lanjut mengenai Antony selepas menunjukkan hasrat mereka untuk menaikkan tawaran itu kepada sekitar €90 juta, termasuk bonus tambah an. Dan Schreuder pastinya sudah bersedia dengan soalan daripada wartawan tentang masa depan pemain berusia 22 tahun itu semasa sidang akhbar undian Liga Juara-Juara Eropah.

Ditanya sama ada Antony boleh dikira ‘gila’, jika dia sanggup menggadaikan ataupun menukar bola sepak Liga Juara-Juara Ajax untuk bermain dalam Liga Europa bersama United, Schreuder menjawab: “[Ya] sama sekali.”

Tambahnya lagi, dia ‘yakin’ bahawa pemain sayap lincah itu akan kekal dalam skuadnya selepas tarikh akhir perpindahan 1 September.

United gagal layak ke Liga Juara-Juara musim ini selepas menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tangga keenam pada 2021/22. Mereka ketika itu hanya mengutip 58 mata.

Ajax pula baru sahaja diundi berada dalam Kumpulan A. Gergasi Belanda itu akan berdepan pemenang enam kali Liga Juara-Juara, Liverpool, pasukan kuat dari Serie A Napoli dan finalis Liga Europa 2022, Rangers.

Semasa sidang akhbarnya selepas undian, Schreuder juga seolah-olah menghantar mesej tidak langsung berbaur rayuan, kepada lembaga Ajax mengenai pendiriannya mengenai masa depan Antony.

Dia mahu pengurusan tertinggi tidak melayan tawaran Manchester United ke atas Antony.

Ini ditambah dengan fakta bahawa dia sebelum ini kehilangan Sebastien Haller kepada Borussia Dortmund dan Lisandro Martinez kepada United, bermakna kelab itu tidak terdesak menjual pemain demi wang tunai lagi.

“€80 juta adalah wang yang banyak; €100 juta? juga wang yang banyak,” kata Schreuder merujuk kepada bidaan pertama United dan tanda harga diletakkan Ajax yang mungkin akan dibayar United.

Selain itu Schreuder mengesahkan bahawa Antony diarahkan berlatih berasingan kerana dia pada masa ini merengek mahu ke Manchester United/

“Tetapi saya menjelaskan bahawa kami sudah menjual ramai pemain, jadi tidak bagus jika kami menjual pemain lain. Antony tidak berlatih dengan kumpulan pemain lain, tetapi saya melihatnya setiap hari. Tiada apa yang berubah sejak Ahad lepas. Kami tidak mempunyai tarikh akhir [untuk perpindahan Antony].”

“Tetapi saya menjangkakan Antony akan kekal. Dia mempunyai kontrak di Ajax.”

Adakah benar Antony akan terus kekal di Ajax? Atau adakah Schreuder sanggup mengekalkan pemain yang tidak gembira di dalam pasukannya. Drama Antony ni boleh tahan juga ye, sama ada di kem Ajax atau Manchester United.

Baca yang lain