Anzalna: Saya Membantu Bukan Kerana Saya Kaya Raya

Pelakon, Anzalna Nasir, 32, dan keluarganya telah membuat keputusan untuk membantu mereka yang memerlukan.

Anzalna membuka peluang kepada mereka yang memerlukan bantuan dengan menghantar mesej langsung (DM) kepadanya di Instagram.

Anzalna berbuat demikian kerana terpanggil untuk membantu meringankan penderitaan mereka yang lebih memerlukan ketika ini.

Anzalna sudah mulai melakukan kerja kebajikan bermula bulan lalu lagi. Beliau menyatakan agak terkesan melihat ramai yang hilang sumber pendapatan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ramai yang menghantar DM kepadanya menyatakan mereka yang bergaji hari, sukar sekali pada ketika ini. Dengan ada keluarga untuk disara.

Namun harus akur bahawa PKP adalah untuk kebaikan semua pihak demi menyelamatkan nyawa.

Dipetik dari BH Online, Anzalna berkata: “Jujurnya, saya terdetik mengambil inisiatif ini kerana menerima mesej langsung mereka memerlukan bantuan kewangan hampir setiap hari.”

Saya bukannya kaya raya – Anzalna

Anzalna menegaskan beliau menghulurkan bantuan bukan tanda beliau kaya. Tetapi beliau dan keluarganya membantu apa yang termampu seperti membantu membelikan susu dan lampin pakai buang.

Ini kerana menurut Anzalna, bagi mereka yang ada anak kecil, lampin dan susu adalah benda yang sangat mustahak. Beliau memahami keadaan itu kerana dia juga seorang ibu.

“Saya bukanlah kaya raya, tetapi dengan rezeki dikurniakan, saya cuba membantu apa termampu dengan memberi bantuan susu dan lampin pakai buang.”

“Saya percaya ramai tiada duit dan tidak boleh keluar bekerja sejak arahan PKP. Saya umum dalam laman IG untuk berkongsi rezeki dengan insan tidak bernasib baik.”

“Saya memahami dilema keluarga terutama golongan ibu yang kehabisan dua keperluan penting untuk anak kecil.”

“Sebagai seorang ibu, saya tahu resah hati apabila dua barangan penting untuk si kecil kehabisan. Sebab itu, saya pilih menawarkan bantuan dua barangan berkenaan.”

Anzalna kemudian menyatakan, kepada mereka yang memerlukan bantuan, bolehlha DM beliau terus.

Namun beliau menyatakan, beliau akan memilih mereka yang benar-benar layak sahaja untuk diberikan bantuan.

Bantuan beliau adalah bantuan peribadi, Anzalna tidak meletakkan nilai bantuannya. Oleh kerana sekarang ini adalah PKP, segala bantuan akan terus disalurkan ke akaun bank.

Harap pemohon jujur

Beliau sangat berharap mereka yang memohon itu jujur dan tidak mengambil kesempatan. Kerana ramai yang benar benar memerlukan ketika ini.

“Jadi, kepada mereka yang memerlukan bantuan, boleh menghantar mesej langsung kepada saya.”

“Bagaimanapun, saya akan terlebih dahulu melihat dan menilai kemampuan, sebelum menghulurkan bantuan. Saya kena pastikan individu berkenaan tidak berkemampuan dan memerlukan pertolongan.”

“Saya mohon mereka yang memerlukan bantuan tidak ‘private’ akaun IG kerana saya perlu memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang susah.”

“Bantuan akan terus dimasukkan dalam akaun bank, memandangkan sekarang masih dalam tempoh PKP.”

“Apa yang penting, saya sudah menjalankan tanggungjawab membantu mereka yang memerlukan.”

“Wang diberikan khas untuk membeli susu dan lampin. Namun, sekiranya ada yang ingin meminta memberi barangan keperluan lain, insya-Allah, saya akan berusaha menunaikannya.”

“Ini hanya sebahagian bantuan kecil yang dapat dilakukan bersama keluarga. Saya sentiasa berfikir apa yang boleh dilakukan bagi meringankan kesempitan hidup mereka yang memerlukan, setiap hari.”

“Kami sepakat menghulurkan bantuan berbentuk dua keperluan ini untuk meringankan bebanan, atas persetujuan ahli keluarga.”

“Ini sahaja yang dapat saya dan keluarga hulurkan pertolongan dalam keadaan kritikal seperti ini,” katanya lagi.

Sumber: BH Online