Apa Itu Tradisi Bunga Poppy Setiap November Dan Kenapa Matic Tak Lagi Amalkannya

Setiap kali menjelang bulan November setiap tahun semua kelab EPL akan memakai serta meletakkan bunga merah di bahagian dada jersi pasukan masing-masing dan bertakafur seketika sebelum sepak mula perlawanan.

Bunga merah tersebut merupakan bunga Poppy. Poppy adalah sejenis tumbuhan herba dan berbunga yang tergolong dalam subkeluarga Papaveroideae dari keluarga Papaveraceae. Bunga Poppy termasuk ke dalam jenis bunga liar yang biasanya tumbuh mengelompok di padang rumput atau pegunungan.

Bunga Poppy kini antara bunga yang ditanam sebagai tanaman hiasan kerana kepelbagaian warna yang menarik seperti merah jambu, putih, kuning, oranye, merah darah, biru, atau ungu menjadikan bunga ini cukup diminati.

Bunga Poppy telah digunakan sejak zaman-berzaman sebagai simbol khayalan, kedamaian dan kematian. Mengikut tafsiran mitologi klasik atau kekhurafatan klasik, warna merah menyala bunga Poppy membawa maksud suatu janji kebangkitan selepas mati.

Dalam budaya orang Roman, bunga ini diguna pakai sebagai persembahan dan perlambangan kepada individu yang telah meninggal dunia, di mana rupa bunga Poppy akan dipahat di atas batu nisan sebagai lambang tidur yang abadi.

Kenapa Bunga Poppy diletakkan di Jersi?

Berbalik kepada bunga Poppy yang tertera di jersi, ianya merupakan simbol kepada Remembrance Day atau hari peringatan disambut pada 11 November bagi memperingati jasa perajurit yang terkorban di perbatasan sejak tamat perang dunia pertama.

Tradisi ini dirintis oleh King George V pada 1919 dengan upacara bertakafur selama 2 minit.

Remembrance Day disambut oleh di United Kingdom dan negara Komenwel yang lain bersempena meraikan Armistice Day atau Hari Genjatan Senjata yang terjadi pada 11 November 1918.

Hari Genjatan Senjata ini berlaku apabila negara-negara perikatan Perang Dunia Pertama dan Jerman setuju untuk meletakkan senjata pada 11 November 1918, jam 11 pagi dan tamatlah Perang Dunia pertama.

Pada tahun 2009, hanya Liverpool dan Manchester United sahaja dari kelab Premier League tidak meletakkan bunga Poppy di jersi pasukan tetapi pada tahun 2010 kesemua pasukan telah memberi sokongan untuk memakai bunga tersebut.

Sebelum ini pasukan yang mengenakan bunga ini atas jersi mereka menggunakan inisiatif masing-masing di mana ada pasukan yang mencetak di atas jersi dan ada yang menyulam bunga di jersi mengikut rekaan sendiri.

Pada tahun 2012 selepas mendapat kerjasama daripada Royal British Legion setiap pasukan akan meletakkan rekaan bunga poppy yang seragam di jersi mereka.

Di Malaysia amalan memakai bunga Poppy pernah juga disambut tetapi sambutan itu telah dihentikan pada akhir tahun 60-an.

Penggunaan bunga Poppy sebagai simbol Remembrance Day diinspirasikan dari sajak Perang Dunia Pertama yang bertajuk “In Flanders Fields”. Sajak ini ditulis oleh seorang perajurit Leftenan Kolonel John McCrae pada 3 Mei 1915 selepas beliau menyaksikan kematian sahabatnya Leftenan Alexis Helmer.

Dalam baris pembukaan sajak itu menyebut Poppy merupakan bunga pertama yang tumbuh di Flandes, Belgium. Flandes merupakan tempat yang banyak menumpahkan darah semasa perang dunia pertama.

Pada tahun 2011 pasukan England telah dilarang oleh FIFA untuk menggunakan simbol ini dijersi ketika menentang Sepanyol di Wembley. Rentetan dari larangan itu Sportsmail telah melancarkan satu kempem untuk membolehkan simbol itu digunapakai di jersi pasukan.

Kempen itu disokong oleh Putera William dan Perdana Menteri UK ketika itu David Cameron, maka satu persetujuan telah dicapai. Pemain dibenarkan memakai lilitan di lengan yang berwarna hitam yang disulam dengan simbol bunga Poppy. Mereka pun hidup aman bahagia sepanjang hayat.

Pemakaian simbol tersebut adalah tidak wajib bagi pemain tetapi mereka tetap memakai simbol itu sebgai tanda penghormatan.

Kenapa Matic tolak pakai bunga popi?

Nemanja Matic tidak memakai bunga merah di dada ketika aksi bertemu Spurs malam semalam, dan beliau memang tidak akan memakainya atas alasan peribadi.

Pemain midfield Serbia itu dimasukkan pada aksi babak kedua permainan, dengan Manchester United sudah mendahului Spurs 2-0 pada ketika itu.

Beliau kemudiannya berjaya mencatatkan satu assists untuk gol ketiga United yang dijaringkan oleh Marcus Rashford, seterusnya mengesahkan kemenangan 3-0 setan merah menewaskan Tottenham Hotspur.

Matic masuk menggantikan Bruno Fernandes dengan perlawanan ketika itu berbaki 15 minit sahaja sebelum wisel penamat dibunyikan.

Tak sama seperti pemain lain, beliau merupakan satu-satunya pemain yang tak ada bunga merah di dada.

Menjelang bulan November pada setiap tahun semua kelab EPL akan memakai serta meletakkan bunga merah di bahagian dada jersi pasukan masing-masing dan bertakafur seketika sebelum sepak mula perlawanan.

Matic sebelum ini pernah memakai bunga tersebut namun beliau kemudiannya memutuskan untuk tidak mahu lagi memakainya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Alasan mengapa beliau tidak mahu memakai bunga merah itu adalah kerana peristiwa pengeboman yang berlaku di kampung halaman beliau di Serbia ketika beliau berusia 12 tahun.

“Saya faham sepenuhnya mengapa orang memakai poppies, saya sangat menghormati hak semua orang untuk melakukan hal itu dan saya sangat bersimpati kepada sesiapa sahaja yang kehilangan orang tersayang kerana konflik.”

Jelas Matic dalam satu kenyataan sebelum ini.

“Walau bagaimanapun, bagi saya, ia hanyalah akan mengingatkan saya kepada serangan yang saya secara peribadi rasa sendiri ketika kanak-kanak, seorang budak lelaki berusia 12 tahun yang berada dalam ketakutan tinggal di Vrelo, dengan negara saya musnah akibat pengeboman di Serbia pada tahun 1999.”

“Walau saya pernah memakainya sebelum ini, bila difikirkan semula, saya sekarang sedar ia bukan hal yang betul untuk saya pakai poppy di baju saya.”

“Saya tidak mahu memperlekehkan poppy sebagai simbol kebanggaan untuk British atau menyakiti sesiapa, walau bagaimanapun, kita semua hasil dari didikan berbeza dan ia juga merupakan pilihan peribadi berdasarkan sebab-sebab yang sudah ada garis panduannya.”

“Saya harap semua orang faham dengan alasan saya sekarang, yang sudah saya jelaskan dan saya boleh beri tumpuan untuk membantu pasukan saya dalam perlawanan yang akan datang.”

Sebenarnya ramai lagi pemain mengelak memakai bunga poppy ini atas alasan sensitiviti negara mereka lahir termasuk pemain dari Republik Ireland.

Sumber: The Sukan

Baca yang lain