Sebelum ini sebuah hospital swasta menjadi viral kerana menjual 18 helai topeng muka 3 lapisan dengan harga RM201.60.
Kompaun sebanyak RM200,000 telah dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kepada hospital tersebut yang menjual barangan terkawal dengan harga yahudi.
Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, hospital swasta tersebut telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
Menurut KPDNHEP: “KDPNHEP merampas sejumlah dokumen termasuk topeng muka tiga lapisan yang sama jenis daripada hospital berkenaan untuk tujuan siasatan selepas didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011,”
“Penalti boleh dikenakan mengikut Seksyen 18, AKHAP 2011 bagi suatu pertubuhan perbadanan yang melakukan kesalahan membabitkan denda tidak melebihi RM500,000 dan bagi kesalahan kali yang kedua atau berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM1,000,000.”
“KPDNHEP serius dalam memastikan bekalan topeng muka mudah diperoleh pada harga yang tidak melebihi penentuan harga maksimum yang ditetapkan,” katanya.”
KPDNHEP memberikan amaran kepada semua pihak yang menjual barangan harga terkawal perlulah sentiasa prihatin dan mematuhi semua peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Orang ramai diharap dapat menyalurkan maklumat kepada KPDNHEP dengan melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan melalui saluran rasmi dalam talian KPDNHEP menerusi portal e-aduan http://eaduan.kpdnhep.gov.my.
“Atau hubungi talian 1 800-886-800; emel ([email protected]); Ez Adu KPDNHEP (Aplikasi telefon pintar); Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245 atau WhatsApp ke talian 019-279 4317,” katanya.
APHM Pertahankan tindakan hospital
Berikutan kejadian itu, Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) telah menjelaskan bahawa hospital swasta bukan kedai runcit.
Bercakap kepada New Straits Times, presiden persatuan Datuk Dr Kuljit Singh mengatakan, “Apa yang kami sedari adalah kementerian dan masyarakat tidak memahami bagaimana hospital swasta beroperasi dan bagaimana kami menampung perbelanjaan dan tetap bertahan.”
‘Kami bukan kedai runcit’
Dia menambah, “Kami juga ingin menekankan dan menjelaskan kepada kementerian bahawa hospital swasta bukan kedai runcit. Kami adalah penyedia perkhidmatan kesihatan.”
Dr Kuljit meminta pertemuan dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi untuk menjelaskan struktur hospital swasta dari segi penjanaan pendapatan dan kesinambungan.
Adakah hospital tak terikat dengan Akta Kawalan Harga?
Menurut New Straits Times, dia enggan menjawab apakah ini bermaksud hospital tidak terikat dengan peraturan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan tahun 2011.
Ketika ditanya adakah hospital swasta yang terjejas akan membayar kompaun RM200,000, dia mengatakan bahawa persatuan tidak terlibat dalam masalah ini dan mereka akan menyerahkannya ke hospital berkenaan untuk memberi respons kepada kementerian.
Hospital swasta harus menyelesaikan kompaun tersebut pada waktu yang ditetapkan atau jika tidak, mereka akan didakwa di mahkamah. Hukuman bagi kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 adalah denda tidak lebih daripada RM500,000 dan jika didapati bersalah atas kesalahan berikutnya, pesalah akan didenda tidak melebihi RM1,000,000.
Menurut kementerian itu, mereka serius dalam memastikan topeng muka dapat diperoleh dengan harga yang tidak melebihi harga maksimum RM1.50 sehelai.
— MSN Malaysia (@MSNMSIA) May 25, 2020
Orang ramai diminta untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan melalui saluran rasminya termasuk portal e-Aduan.
Minggu lalu, Persatuan Farmaseutikal Malaysia (MPS) telah mengkritik KPDNHEP kerana tidak mengambil tindakan segera setelah kementerian mengatakan pihaknya sedang menunggu penjelasan dari hospital setelah cerita itu tersebar.
Persatuan itu mengatakan bahawa kementerian telah bertindak kejam terhadap beberapa farmasi tanpa memberi peluang kepada farmasi untuk memberikan penjelasan.
Mereka mendesak kementerian untuk tidak mempraktikkan pilih kasih dan bertindak adil terhadap semua pesalah sama ada farmasi milik swasta atau hospital swasta milik konglomerat.
Sumber: Soyacincau