Argentina, Perang Falkland, Propaganda Menentang Inggeris Dan Bola Sepak

7 Jun 2014, para pemain Argentina telah mengangkat sepanduk yang berbaur politik sebelum sepak mula perlawanan persahabatan menentang Slovenia di Stadium Ciudad de La Plata, Buenos Aires.

Las Malvinas Son Argentinas (Malvinas are Argentinian)

Para penonton tuan rumah bertepuk tangan tanda sokongan, namun reaksi sebaliknya pula menjelma di wajah para pegawai FIFA.

Perlawanan persahabatan sebelum Piala Dunia 2014 itu dimenangi oleh Argentina.

Cuma, ia menjadi agak kurang selesa di mata sesetengah pihak.

Argentina didenda £20,000 pound sebagai hukuman ke atas sepanduk yang boleh menggugat keharmonian antara negara.

Apa simbolik kepada kain rentang tersebut?

Untuk lebih lanjut, kita perlu meneliti dahulu sejarah dan kejadian yang menimpa Las Malvinas atau lebih dikenali umum dengan nama Kepulauan Falkland.

Sejarah Perang Falkland

Perang Falkland berlaku pada tahun 1982 di antara dua negara iaitu Argentina dan British.

Orang Argentina memanggil pulau ini dengan nama Islas Malvinas. Pulau ini terletak di bahagian timur Argentina, dan ianya menjadi rebutan antara kedua-dua negara ini.

Bagaimana tiba-tiba Argentina begitu bersungguh-sungguh untuk merampas kembali Kepulauan Falkland?

Argentina yang ketika itu diperintah oleh junta tentera di bawah kepimpinan Jeneral Leopoldo Galtieri berhadapan dengan krisis ekonomi yang genting dan penentangan daripada rakyat tempatan.

Jeneral Leopoldo Galtieri melihat ini adalah isu yang besar, dan memilih untuk menaikkan sentimen nasionalis dengan mengumumkan perang ke atas British di Kepulauan Falkland.

Argentina memulakan provokasi dengan menghantar 50 orang masuk ke dalam pulau tersebut lantas mengibarkan bendera Argentina.

Sejurusnya, Galtieri menitahkan agar serangan untuk menawan Kepulauan Falkland bermula.

Jika Argentina mempunyai kelebihan dari segi kedudukan geografi yang strategik, British pula mempunyai kelebihan dari aspek ketenteraan laut yang memang terbukti lama.

British membalas serangan Argentina itu dengan pasukan marin mereka dan berjaya juga mengekalkan pulau tersebut dalam kuasa British setelah bertempur selama 10 minggu.

Kesan daripada perang ini, kerajaan tentera di Argentina jatuh dan populariti Margaret Thatcher di United Kingdom terus meningkat.

Pertembungan Perang Falkland dan bola sepak

“Ianya adalah satu perasaan yang menakjubkan, seperti satu simbolik balas dendam kepada orang Inggeris.” (Diego Maradona)

Kenyataan Maradona dalam filem dokumentari ‘Diego Maradona – Rebel, Hero, Hustler, God’ seperti satu buah yang pahit untuk ditelan oleh orang Inggeris.

Maradona melihat bagaimana orang Argentina menderita dalam masa 10 minggu, selain dicanang-canang kerajaan bahawa mereka akan menang perang ke atas British.

Perlawanan suku akhir menentang England akan menjadi medan sebenar buat mereka bagi membalas semula apa yang berlaku pada tahun 1982.

Insiden ‘Tangan Tuhan’ yang menewaskan Peter Shilton pada aksi Piala Dunia 1986 itu dikecam oleh sekalian penyokong England.

Namun begitu, ianya satu hadiah buat mereka yang kehilangan ahli keluarga di medan perang. Perseteruan antara kedua-dua negara ini kembali panas.

Maradona berkeras untuk tidak memohon maaf mengenai gol tersebut dan tetap kekal dengan simbolik balas dendam ke atas British.

Hingga sekarang, perasaan orang Inggeris terhadap Maradona masih bercampur baur. Pandangan generasi dahulu dan kini sudah tidak sama.

Pemain Argentina yang berkelana di England

Hari ini, terdapat seramai 9 orang pemain asal Argentina yang bermain mewakili kelab di saingan bola sepak liga Inggeris.

Antara nama besar yang pernah berkelana di liga Inggeris termasuklah Sergio Aguero, Osvaldo Ardilles, Ricardo Villa, Javier Mascherano, Carlos Tevez, Gabriel Heinze, dan lain-lain.

Rumusan

Memasuki era 90an, kedua-dua buah negara ini juga telah mula memperbaiki hubungan antara satu sama lain.

Namun begitu, ianya mungkin hanya di lapangan politik tetapi bukan di pentas sukan jika dirujuk balik insiden suku akhir Piala Dunia 98 di Perancis antara England dan Argentina.

Kesimpulannya, perebutan wilayah di antara dua buah negara ini bukan saja mengubah landskap politik di negara masing-masing, malah ianya turut mengubah keharmonian kedua-dua buah negara dalam arena sukan bola sepak.

Baca yang lain