Arsenal Sedia Bayar Gaji Gabriel Jesus Hampir 2 Kali Ganda

Arsenal dilaporkan berminat untuk membawa Gabriel Jesus ke Emirates pada musim hadapan. Penyerang antarabangsa Brazil itu turut menjadi buruan beberapa kelab lain di Eropah.

Penyerang poacher asal Brazil itu dilihat tiada tempat di dalam kesebelasan utama Manchester City musim hadapan jika kelab itu berjaya mendapatkan Erling Haaland.

Arsenal sedia tandatangani Gabriel Jesus

Laporan terbaru menyatakan bahawa Arsenal benar benar berminat dengan Gabriel Jesus walaupun belum ada sebarang rundingan rasmi dibuat dengan Manchester City.

Dalam aksi semalam, Gabriel Jesus menjaringkan 4 gol dalam kemenangan 5-1 Man City ke atas Watford.

Seterusnya, wartawan Brazil, Jorge Nicola dalam satu laporannya menerusi saluran YouTube beliau menyatakan bahawa Arsenal kini sedang rancak berunding dengan Gabriel Jesus untuk membawa pemain itu menggantikan Pierre Emerick Aubameyang.

Laporan yang sama menyatakan bahawa Edu menjadi ketua rundingan di antara Arsenal dengan ejen Jesus. Kesepakatan awal sudah dicapai dengan pihak Gabriel Jesus. Tetapi ianya masih belum dibincangkan secara rasmi dengan kelab Man City.

Gabriel Jesus terdesak mahukan lebih banyak minit perlawanan untuk menjamin tempatnya dalam skuad Brazil yang akan bermain di Piala Dunia pada akhir tahun ini.

David Ornstein dari The Athletic turut mendedahkan bahawa rundingan di antara Edu dengan pihak Gabriel Jesus sudah lama berlangsung sejak berbulan yang lalu.

Ornstein turut menyatakan bahawa pemain itu setakat ini memberikan maklumbalas yang positif walaupun masih belum memberikan sebarang komitmen kepada kesepakatan verbal.

Gabriel Jesus musim ini banyak bermain di bahagian sayap. Namun tetap berjaya mencetak 7 gol dan 11 assist daripada 34 perlawanan dengan purata 110 minit untuk setiap satu gol.

Beliau benar benar mempertimbangkan masa depannya bersama City dengan khabar terbaru kelab itu sudah mencapai kesepakatan terma dan syarat peribadi dengan Erling Braut Haaland dari Borussia Dortmund.

Jorge Nicola turut melaporkan bahawa Man City mahu mendengar tawaran harga yang munasabah untuk pemain itu. Kontrak semasa pemain itu akan berakhir pada pertengahan tahun 2023.

Arsenal pula sedia membayar gaji hampir dua kali ganda kenaikan berbanding di City kepada pemain tersebut. Dikatakan Arsenal menawarkan EUR6 juta semusim kepada pemain itu berbanding EUR3.5 juta semusim yang beliau dapat di City ketika ini.

 

Gabriel Jesus bukan satu satunya pemain yang dimahukan Arsenal untuk posisi serangan. Ini kerana Arsenal turut berpotensi kehilangan Alexandre Lacazette pada akhir musim ini.

Di mana pemain itu sudah membayangkan bahawa beliau akan berpindah ke kelab yang bermain di UCL musim hadapan. Walaupun sebenarnya Arsenal kini kembali berpeluang cerah untuk ke UCL.

Tetapi Juventus dan Lyon antara kelab yang sedia mendapatkan Alexandre Lacazette. Oleh itu Arsenal turut dikaitkan dengan pemain seperti Darwin Nunez. Tetapi Nunez ternyata pemain yang mendapat permintaan sangat tinggi di bursa perpindahan kali ini.

Gabriel Jesus dianggap pilihan yang baik kerana sudah bertahun tahun bermain dalam sistem Pep Guardiola. Hubungan antara Arteta dengan Gabriel Jesus juga boleh memainkan peranan penting dalam perpindahan ini.

Pep Guardiola pernah memuji Arteta sebagai antara jurulatih yang membantu pemain penyerang seperti Jesus memperkemaskan semula sentuhan gol mereka ketika Arteta menjadi pembantunya di Manchester City.

Ke manakah destinasi Gabriel Jesus musim hadapan? Kerana pemain itu mungkin juga akan terus kekal bersama City semusim lagi? Siapa tahu. Tetapi itu akan meletakkan peluangnya beraksi di Piala Dunia dalam risiko.