Mikel Arteta mengingatkan pemain pemainnya bahawa satu lagi kemenangan besar yang mereka catatkan boleh menjadi duri dalam daging kepada diri mereka sendiri.
Oleh sebab itu dia meminta pemain pemainnya jangan terbuai buai dan terus berpuas hati.
Arsenal menang 6-0 ke atas Sheffield di tempat lawan dan mencipta sejarah sebagai pasukan pertama menang 3 perlawanan berturut turut di tempat lawan dengan 5 atau lebih 5 gol.
El Capitano, Martin Odegaard membuka tirai jaringan seawal minit ke-5 sebelum Bogle tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-13.
Arsenal menamatkan separuh masa pertama dengan 5 gol berbalas kosong apabila Gabriel Martinelli, Kai Havertz dan Declan Rice turut mencetak gol.
Kemudian pada separuh masa kedua, Ben White menyapu garam pada luka Sheffield United dengan gol keenam The Gunners.
Arsenal kini sudah menjaringkan 17 gol dalam 3 lawatan ke West Ham, Burnley dan Sheffield United.
Chris Wilder kelihatan tidak ada jawapan untuk berdepan skuad Arteta. Sementara Arteta pula menjelaskan bahawa, pasukannya harus mengekalkan tahap permainan yang mereka ada untuk menjadi seperti pasukan City dan Liverpool.
“Satu perkara yang kita tak tahu, perbezaan jaringan mungkin menjadi perkara penting [untuk menentukan kejuaraan].
“Kejayaan kita menjaringkan gol yang sangat banyak dan tidak bolos ini satu petanda yang sangat bagus. Namun bola sepak adalah tentang memenangi setiap perlawanan. Dan itu tuntutan yang 2 kelab itu [City dan Liverpool] telah letakkan dalam liga itu dalam 6 atau 7 tahun ini. Itu tugasan yang kita kena lalui di hadapan kita.
“Ini malam yang bagus. Dan ini tempat sukar untuk dikunjungi. Namun masih ada banyak perlawanan yang akan datang.
“Kami harus terus meningkatkan diri dan menjadi lebih baik. Kamu tak boleh terus berpuas hati dengan kemenangan seperti ini, pemain harus terus berusaha lagi.
Kejayaan Arsenal membantai Sheffield ini sebenarnya telah membuatkan Sheffield United menjadi kelab pertama kalah 3 aksi tempat sendiri dalam EPL dengan 5 atau lebih 5 gol. Mereka kalah 10 daripada 14 perlawanan terakhir mereka di Bramal Lane.