Arteta Yakin Arsenal Akan Bangkit Dan Singkirkan Newcastle

Mikel Arteta meminta peminat Arsenal bertenang dan yakin pasukannya akan bangkit sekaligus menyingkirkan Newcastle United pada aksi timbal balik di St James’ Park.

Ianya berikutan kekalahan 0-2 Arsenal pada aksi pertama separuh akhir (1st leg) Piala Carabao menentang Newcastle.

Anthony Gordon dan Alexander Isak meneruskan rentak cemerlang mereka musim ini. Kedua duanya masing masing mencetak gol pada separuh masa pertama dan masa kedua di Emirates.

Kini Arsenal bergantung kepada aksi kedua mereka untuk bangkit daripada ketinggalan defisit 2 gol agregat. Sesuatu yang Arteta benar benar optimis boleh lakukannya.

Arteta turut menggariskan perlawanan ini bukti ketara behawa perbezaan kualiti penyudah kedua dua pasukan di hadapan gol. Walaupun Arsenal lebih dominan dan melakukan lebih banyak percubaan, namun mereka tumpul di hadapan gol.

“Perbezaan paling ketara adalah ketajaman di dalam perlawanan. Dalam aspek lain, kami adalah pasukan lebih baik. Namun mereka menjaringkan 2 gol dan kredit kepada mereka, dan kejayaan mereka memenangi perlawanan seperti ini.

“Setiap kali kami mempersia siakan peluang dan bolos, ianya sentuasa sukar, namun pasukan kami telah memberikan respon. Kami mencipta banyak situasi di dalam perlawanan.

“Namun benar, mereka [Newcastle] bertahan dengan sangat baik di dalam kotak pertahanan mereka,” tambah Mikel Arteta.

Pengurus Arsenal itu kemudian percaya pasukannya tidak berada di tahap terbaik dalam beberapa perkara, termasuk dalam membuat keputusan dan penyudah.

Arsenal menguasai 70% perlawanan dengan 23 percubaan ke arah gol. 3 sahaja yang tepat ke sasaran dan tiada satu pun yang masuk.

Walaupun begitu, Arteta menambah, dia sudah melihat kualiti pasukannya menentang Newcastle sebelum ini. Itu yang membuatkan dia benar benar percaya bahawa The Gunners akan menterbalikkan agregat ini pada aksi timbal balik nanti.

Arsenal akan memperbaiki aspek penyudah mereka untuk memastikan mereka ke Wembley pada aksi final.

“Kami boleh lebih baik lagi dalam membuat keputusan. Kami memiliki peluang 1 lawan 1 dengan penjaga gol. Dan dalam separuh akhir, kamu harus tajam di hadapan gol.

“Kami patut kecewa kerana ini adalah satu lagi keputusan yang kami tak mahukan, namun itulah hakikatnya. Saya percaya sepenuhnya, saya telah melihat pasukan saya bermain menentang mereka, saya percaya kami boleh melakukannya [bangkit pada second leg,” tutup pengurus Asal Sepanyol itu.

Sementara itu Anthony Gordon pula menegaskan bahawa mereka sudah tahu jenis perlawanan yang mereka akan hadapi. Sambil menegaskan bahawa Newcastle tidak begitu peduli dengan penguasan bola. Dan membiarkan Arsenal memiliki penguasaan tersebut.

Namun Newcastle fokus kepada aspek ketajaman di hadapan gol setiap kali mereka berpeluang untuk mencetak gol.

“Kami dah tahu jenis apa perlawanan yang kami akan hadapi ini. Mereka sangat dominan di halaman mereka sendiri. Perlawanan ini sentiasa smash-and-grab untuk kami.

“Kami kurang menjadi pada awal musim dan kami tidak meletakkan usaha yang lebih baik pada awal musim. Namun kini kami semakin baik. Tetapi kami tidak ada masa untuk meraikan kemenangan ini.

“Arsenal adalah salah sebuah pasukan terbaik di Eropah. Ini hanya 2-0 dan kami harus kekal merendah diri,” kata pemain antarabangsa England, Anthony Gordon.

Ditanya sama ada Alexander Isak adalah salah seorang penyerang terbaik di Eropah ketika ini, Gordon setuju dan berkata: “Pada pandangan saya, ya! Rasanya ramai pun setuju dengan kenyataan itu. Dia dalam prestasi terbaiknya. Malah ketika gol saya, dia memainkan peranannya.

“Saya hanya mempertaruhkan nasib saya dengan berlari ke belakang tiang belakang. Ini semua berkaitan sikap. Dia seorang yang luar biasa. Saya juga nak berikan pujian kepada Dan Burn. Dia menjadi pemain terbaik kami musim ini, saya rasa,” tutup Gordon.