Arteta Yakin Jika Di Liga Lain Arsenal Sudah Selesa Dengan Jarak 8 Mata Di Puncak Liga

Mikel Arteta yakin bahawa kekalahan di tangan Aston Villa bukan penanda aras kekuatan Arsenal.

Skuad Mikel Arteta kalah 0-2 di tangan Aston Villa di Emirates. Dengan Arteta menyatakan bahawa pasukannya masih lagi di landasan persaingan kejuaraan.

Tidak seharusnya satu keputusan buruk terus menenggelamkan kekuatan The Gunners, tegas pengurus itu.

Arsenal bukanlah pasukan yang teruk hanya kerana kalah satu perlawanan di tangan pasukan yang sedang dalam prestasi hebat mereka.

Sebaliknya Arteta yakin mereka sudah melakukan yang sebaik mungkin. Cuma cabaran di EPL adalah berbeza. Kerana standard yang diletakkan Man City dan Liverpool sangat tinggi.

Dengan jumlah kemenangan yang ada diraih Arsenal setakat ini, mereka masih gagal menjadi pendahulu liga. Arteta yakin jika di liga lain mereka sudah selesa dengan 6 atau 8 mata di puncak liga, berbanding pesaing di tempat kedua.

“Jika satu keputusan perlawanan yang teruk menghalang kami, maka kami tidak cukup kuat.

“Jika kamu nak memenangi liga, apabila kamu berdepan situasi sulit seperti ini, maka kami harus bangkit.

“Dalam mana mana liga di dunia ini, jika kamu memenangi jumlah perlawanan secara berturut turut seperti yang kami telah lakukan, pasti kamu sudah berada di puncak liga dengan enam atau lapan mata di atas.

“Namun itu tidak berlaku di sini. Itulah cabarannya,” tegas pengurus asal Sepanyol itu.

Arsenal selepas ini akan berdepan dengan Bayern Munich dalam aksi timbal balik UCL peringkat suku akhir. Kemudian menentang Wolves diikuti Chelsea di Emirates.

Selepas itu Arsenal akan bertandang ke rumah jiran mereka Spurs pada 28 April.

Kemudian satu lagi aksi tumpuan adalah pada 12 Mei menentang Man United yang boleh menentukan kejuaraan liga untuk Arsenal.

Baca yang lain