Ashley Cole: ‘Ronaldo Pernah Masuk Poket Saya, Tapi Messi Terlalu Bagus’

Ashley Cole membuat perbandingan di antara Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo. Dan menurut beliau Lionel Messi lebih sukar dikawal berbanding Ronaldo kerana pemain itu terlalu bagus.

Ashley Cole pernah mendominasi Cristiano Ronaldo ketika aksi Manchester United vs Chelsea telah muncul dan dia memberitahu superstar Portugal itu bahawa: “Kamu ada dalam poket saya.”

Ronaldo kerap menyebut Cole sebagai lawannya yang paling sukar dan ada satu perlawanan  pada 2006 membuktikan mengapa beliau berkata demikian.

Pemain sayap itu  ketika itu berada dalam tahap kecergasan luar biasa. Sangat laju dan lincah dan mulai memantapkan dirinya sebagai salah satu prospek terpanas di dunia.

Ronaldo membentuk gandingan luar biasa dengan Wayne Rooney. Habis pertahanan lawan dibulinya dengan skil dan kekuatan fizikalnya.

Namun tidak pada malam November 2006, di mana Ashley Cole menyatakan beliau menggunakan pendekatan yang tidak masuk akal untuk mengawal pemain itu.

Setiap turn dan gelecekan Ronaldo dihentikan oleh Cole dengan duel yang keras dan itu membuat lawannya itu bingung.

Kamera pada masa itu malah merakam detik Cole yang memberi isyarat kepada lawannya, sambil berkata: “Kamu berada di dalam poket saya!”

Pemain bek kiri terbaik dalam sejarah Chelsea itu memberitahu Chelsea TV:  “Saya begitu fokus pada permainan beliau. Walaupun di bilik persalinan, saya merasa berbeza ketika memasuki permainan ini.”

“Kekal fokus dan fokus. Secara mental saya sudah menguasi beliau. Saya datang untuk memberikan satu kenyataan jelas kepadanya kerana saya agak menyukai peluang saya melawannya dengan cara saya.”

“Dan sebahagian daripada mentaliti saya sebenarnya, saya sudah berada di kepalanya beberapa kali. Dia selalu mahu melakukan skil tambahan itu.”

“Saya memberinya bentesan yang kuat, sama ada bentesan itu salah atau tidak, saya tidak tahu. Dan saya merasa pada masa itu dia tidak menginginkannya lagi.”

“Dia seperti mengangkat tangan dan berkata, ‘Saya nak keluar.’ Jadi saya rasa itu adalah masa yang tepat untuk mengatakan bahawa saya menyimpannya di dalam poket saya. ”

Ronaldo kemudian dikeluarkan pada minit ke-86 dan digantikan oleh Darren Fletcher.

“Saya sangat menghormati dia,” sambung Cole. “Itu adalah pertempuran yang sukar untuk melawan bukan hanya Manchester United tetapi juga menentang beliau.”

“Dan untuk melihat apa yang dia lakukan adalah bukti betapa bagusnya dia sebenarnya. Ini adalah salah satu momen terbaik untuk saya dan saya mungkin akan mengatakan bahawa saya berada dalam prestasi terbaik untuk behadapan dengan momen tersebut.”

Bercakap dengan Coach Mag, Ronaldo pernah menyuarakan pertarungan beliau dengan Ashley Cole. Beliau berkata: “Selama bertahun-tahun saya bertarung dengan Ashley Cole. Dia tidak memberi kamu walau sedikit ruang untuk bernafas.”

“Dia adalah pemain yang gigih ketika berada di prestasi kemuncaknya, dia sangat cepat, dan sukar untuk mengatasinya. Anda tahu bahawa itu tidak akan menjadi perlawanan yang mudah.”

Namun secara keseluruhan, Cole berpendapat saingan lama Ronaldo, Lionel Messi adalah lawannya yang paling sukar.

Bercakap kepada Sky Sports, Cole berkata: “Itu semestinya Messi. Orang lebih banyak bercakap tentang Ronaldo kerana saya bermain menentangnya lebih banyak.”

“Tetapi saya fikir untuk mengawal Messi, pada hari terbaiknya … bagi saya, dia terlalu bagus.”

Ashley Cole memang salah seorang pemain terbaik di dalam generasinya. Gaya permainannya yang bertenaga membuatkan beliau salah seorang bek sisi yang elegan pada satu ketika dahulu.

Cole memulakan kariernya di Arsenal, namun memilih untuk berpindah secara kontroversi ke Chelsea. Sepanjang kariernya, Cole berdepan dengan Messi dan Ronaldo sebanyak 19 kali namun hanya bolos 3 kali sahaja.

 

Baca yang lain