Asmirul Tembak FAM, MFL, JDT Dan Ingatkan Bahawa Geran Musim Lepas Pun Tak Dapat

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah, Asmirul Anuar Aris tampil sekali lagi dengan penjelasan beliau.

Ini selepas TMJ dan juga pihak FAM membidas kenyataan yang beliau muat naik sebelum ini.

Penaja terperangkap dengan PKP

Asmirul menjelaskan bahawa, tunggakan gaji para pemain Kedah hanyalah untuk bulan Mac sahaja.

Para penaja pasukan Kedah meminta penangguhan seketika sehingga tamat PKP.

Beliau menjelaskan: “Penaja penaja kita ni lebih kepada mereka dari bidang pelancongan dan perniagaann lain.”

“Jadi, apabila penaja ini daripada bidang pelancongan maka perniagaan mereka pun tersekat. Dan kita ambil maklum akan isu tersebut.”

“Ini disebabkan visit Malaysia 2020, semua terhenti. Mereka meminta tunggu selepas PKP.”

Para penaja akan membayar wang tajaan mereka seperti biasa – yang dijanjikan – sebaik sahaja tamat PKP.

Sebulan je

Asmirul kemudian menyatakan adalah tidak wajar pihak JDT cuba menularkan isu tersebut. Sedangkan para pemain sudah dibayar gaji dan faham dengan keadaan semasa di Kedah.

“Untuk pengetahuan, kita tertunggak untuk bulan 3 [Mac] sahaja. Tetapi bulan dua kita bayar sebahagian daripada pembayaran.”

“Tetapi kena faham bahawa isu rakyat lebih penting. Saya rasa tak wajar apabila pihak JDT yang cuba tularkan kononnya ada pemain Kedah telah pun memberitahu persatuan pemain [PFAM].”

“Apabila kita tanya dengan para pemain [Kedah], mereka faham. Adakah benda tu benar atau tak, kita tak tahu.”

“Kita berharap benda tu diselesaikan secara dalaman.”

Bagaimana pula dengan kegagalan FAM dan MFL?

“Kalau saya juga nak bertanya, apa yang telah dilakukan oleh FAM dan MFL? Di mana mereka juga gagal melunaskan geran kita pada tahun lepas.”

“Tetapi masih juga kita mampu membayar gaji pemain sampailah ke bulan 1, bulan 2 dan sebagainya. Kita cuma tertunggak bulan 3.”

“Kita faham, sebab isunya adalah berkaitan dengan Covid-19, dan PKP. Itu sepatutnya tiada isu, cuma ianya ditularkan dan diusik oleh pihak tertentu.”

Bukan Kedah sahaja

“Memang pihak penaja, menaja keseluruhan musim. Tetapi mereka akan membayar secara bulanan.”

“Cuma ada sedikit sebanyak terganggu kerana PKP.”

“Pasukan di luar negara pun menghadapi benda yang sama.  Tetapi mungkin mana-mana negeri yang kaya  [ ini bukan masalah].”

“Tetapi semua [berhadapan masalah], bukan masalah 4 atau 5 pasukan sahaja yang menghadapi masalah yang sama. ”

FAM dan FAM harus mainkan peranan lebih daripada sekadar perantara

“Sebab itulah saya gariskan bahawa, FAM dan MFL tak seharusnya hanya menjadi orang perantara sahaja. Tetapi tidak ada komitmen kepada ahli badan gabungan di negeri negeri ini.”

“Bukan sahaja di Kedah, tetapi semua negeri berhadapan dengan masalah yang sama.”

“Sepatutnya apabila kita duduk dalam jawatankuasa induk itu, FAM dan MFL – bagaimana nak membantu apabila kita dilanda musibah, yang saya dimaklumkan, FIFA juga cuba memikirkan sesuatu.”

“Jadi badan induk ini, mesti ada juga peranannya. Ini yang kita rasa ketidakpuasan hati daripada pihak KFA itu sendiri dan juga badan gabungan yang lain.”

Beliau sekali lagi mengulangi bahawa, pihak penaja tengah terperangkap dalam keadaan semasa dahulu. Sementara itu kerajaan negeri ketika ini fokus sepenuhnya dengan isu berkaitan dengan rakyat.

Terkejut dengan laporan pemain mengadu

Asmirul juga masih tidak berpuas hati apabila imej KFA calar kerana cerita pemain tidak dibayar gaji. Kerana menurut beliau, kalau sampai 3 bulan tak dibayar gaji, maka KFA boleh menerima kecaman ke atas mereka.

“Isu pemain tidak dibayar gaji – kalau kita tak bayar, yes! [kita terima kritikan]. Sampai 3 ataupun 4 bulan tak bayar dan sebagainya.”

“Tetapi sebenarnya, bagi saya, KFA membayar dan ada catatan rekod yang sangat baik.”

“Mereka kena faham bahawa isu ini [wabak covid-19] adalah isu oeringkat dunia. Isu ini melibatkan ekonomi, kesihatan, keselamatan kepada rakyat. Itu yang lebih penting.”

“Kenapa kita nak memikirkan agenda yang ketiga dan keempat, sedangkan agenda rakyat ini harus diselesaikan dan dijaga dahulu.”

“Saya rasa pelik, sepatutnya pihak induk itu mereka lebih matang, berfikiran lebih jauh ke hadapan.”

“Sebab itu kita nak para pemain kita memiliki pemikiran seperti yang saya sebut sebelum ini – di mana beberapa pemain seperti Mohamed Salah, dan beberapa pemain yang lain – di mana mereka ada tanggungjawab kebajikan apabila berlakukan covid-19 ini.”

Asmirul menyatakan bahawa, pihak KFA sudah mengadakan perbincangan dengan para pemain. Dan beliau agak terkejut apabila ada berita menyatakan pemain tak berpuas hati dan mengadu.

Beliau juga memberikan jaminan, selepas PKP, segalanya akan pulih. Ini kerana rekod pasukan Kedah sebelum ini sangat baik dalam isu pembayaran gaji pemain.

Asmirul juga mempersoalkan bagaimana pula dengan MFL yang sebelum ini gagal melunaskan geran seperti yang dijanjikan.