Aston Villa Bayar Klausa Pelepasan Unai Emery

Aston Villa secara rasmi menandatangani pengurus Villarreal Unai Emery sebagai pengganti Steven Gerrard yang dipecat minggu lalu.

Ia dianggap berita yang mengejutkan memandangkan Unai Emery sebelum ini pernah menolak tawaran Newcastle pada saat akhir.

Pada masa itu dia berkata dia terpaksa menolak Newcastle — walaupun sudah bersetuju pada perbincangan awal — kerana ada projek besar di Villarreal di bawah kendaliannya.

Dan dia tidak mahu meninggalkan projek itu begitu sahaja memandangkan kelab itu masih berharap kepadanya.

Fabrizio Romano melaporkan bahawa Aston Villa membayar €6 juta yang termaktub pada klausa pelepasan pengurus itu untuk membawanya ke Villa Park.

Selain itu, Villa memberikan gaji €7 juta semusim kepada Unai Emery. Angka yang sangat tinggi dan hampir 2 kali ganda apa yang mereka bayar kepada Gerrard (€4 juta semusim) sebelum ini.

“Rasmi, disahkan. Aston Villa telah melantik Unai Emery sebagai ketua jurulatih baharu, dengan gaji sekitar 7 juta euro setahun,” tweet Fabrizio Romano.

“Kontrak telah selesai kerana Aston Villa akan membayar klausa pelepasan €6 juta penuh kepada Villarreal.”

Aston Villa kemudian mengumumkan secara rasmi perlantikan pengurus yang terkenal dengan kepakarannya dalam Liga Europa itu.

Unai Emery rasminya kembali semula ke England selepas menikmati karier yang luar biasa di Sevilla.

Peminat Aston Villa ternyata terkejut dengan perlantikan tersebut dan tidak menyangka bahawa Unai Emery akan menjadi pengurus baharu mereka.

Unai Emery pernah bergelar sebagai jurulatih Arsenal selama setahun, dari Julai 2018 hingga November 2019.

Dia kemudian dipecat oleh Arsenal dan digantikan dengan Mikel Arteta.

Selain Unai Emery, Aston Villa turut berminat dengan Mauricio Pochettino. Namun rundingan untuk mendapatkan bekas pengurus Spurs itu lebih rumit.

Akhirnya mereka berjaya mendapatkan Unai Emery. Sama seperti Pochettino, Emery juga bekas pengurus kelab ternama Perancis yang sarat dengan bintang iaitu PSG.

Unai Emery akan memulakan tugasannya pada 1 November nanti. Ini kerana dia masih perlu menyelesaikan isu permit kerja dan beberapa prosedur serta urusan yang lain untuk kembali bertugas di England.

Baca yang lain