Atalanta 2 AS Roma 1: Jaringan Kemenangan, Jaringan Genius, Jaringan 19 Saat Pasalic

Atalanta sekali lagi melakukan comeback selepas ketinggalan 0-1 untuk menewaskan AS Roma 2-1.

Jose Luis Palomino dan Mario Pasalic menjaringkan gol untuk Atalanta, skuad Gian Piero Gasperini kini selesa 6 mata di depan Roma untuk berada di tangga ke-4.

Sebelum perlawanan, kedua-dua pasukan bersaing untuk merebut slot terakhir ke Liga Juara Eropah (ke-4 Serie A) dan kekalahan Roma menyaksikan pasukannya mendapat laluan yang lebih sukar.

Perlawanan ini juga dipanggil ‘pertembungan pasukan nak ke Liga Juara Eropah’.

Gasperini mempunyai senarai pemain yang bebas dari kad dan kecederaan sementara itu di kem Roma situasinya agak malang.

Bryan Cristante digantung. Javier Pastore, Nicolò Zaniolo, Amadou Diawara, Davide Zappacosta dan Antonio Mirante berada di dalam senarai kecederaan.

Jurulatih Roma, Paulo Fonseca perlu menggunakan pemain pertahanan tengah, Gianluca Mancini bermain di bahagian tengah kerana krisis kekurangan pemain.

Manakala Bruno Peres perlu membuat kemunculan pertama sejak cedera pada Mei 2018.

Pada perlawanan ini Alejandro Gomez hampir memberi pendahuluan kepada Atalanta namum percubaanya diselamatkan dengan bergaya oleh Pau Lopez.

Selepas itu giliran Josep Ilicic menguji Roma dan Rafael Toloi melepaskan 1 percubaan akrobatik.

Kesilapan pertahanan kanan Atalanta, Jose Luis Palomino dengan tampanan buruk hantaran ke belakang oleh rakan sepasukannya memberi ruang kepada Edin Dzeko merampas bola dan menjaringkan gol.

Selepas babak ke-2 bersambung, Palomino menebus kesilapannya apabila menjaringkan gol penyamaan. Bermula dari sepakan penjuru, Palemino berjaya menampan bola dengan kakinya ke dalam gawang Roma.

Kemasukan Mario Pasalic menggantikan Duvan Zapata memberi impak segera. Hanya selepas 19 saat pemain ini berada di atas padang, Pasalic membuat satu percubaan lencong yang genius menewaskan Lopez.

https://www.caughtoffside.com/2020/02/15/video-chelsea-loanee-scores-a-stunning-curled-effort-vs-roma/

Faktor kebangkitan adalah kami sentiasa mahu lakukan lebih -Alejandro Gomez

Kami sentiasa mahu lakukan lebih, menurut Gomez ini adalah faktor utama dalam kebangkitan Atalanta selepas ketinggalan 0-1 melalui jaringan Dzeko.

Walaupun di dalam carta Atalanta mempunyai kelebihan 6 mata dengan Roma tetapi secara teknikalnya ianya 7 mata.

Ini kerana jika kedua-dua pasukan terikat mata, peraturan head-to-head digunakan terlebih dahulu berbanding kelabihan jaringan.

Atalanta menang dalam kedua-dua perlawanan Serie A menentang Roma. Atalanta menang di Olimpico 2-0 dan di Bergamo 2-1.

Alejandro Gomez atau juga dikenali sebagai Papu Gomez menjadi fenomena di Atalanta

“Kekuatan kumpulan pemain ini sejak beberapa tahun lepas kerana kami tidak berpuas hati dengan kejayaan kami. Kami sentiasa mahu lakukan lebih banyak lagi.

“Objektifnya adalah untuk terus bermain di Liga Juara Eropah. Pertandingan yang kami suka, memberi prestij kepada pemain, kelab dan penyokong.

Pada musim ini Atalanta merekod 6 kali kebangkitan (comeback). Meraih 18 mata yang sepatutnya mereka tewas.

“Ia adalah isu psikologi. Selain dari berada dalam fizikal terbaik, kami terus berlari sehingga minit terakhir.

Atalanta akan menunggu Valencia di San Siro pada Rabu ini bagi perlawanan pertama pusingan ke-2 Liga Juara Eropah.

“Rabu (ini) sepatutnya menjadi malam yang hebat. Kami harap (berjaya) mendapatkan keputusan yang baik sebelum bermain di tempat lawan.”

Perubahan taktikal tetapi bukan dalam 19 saat

Gasperini menjelaskan kemasukan Pasalic kerana mahu mengubah taktikal pasukan, namun jaringan dari pemain ini selepas 19 saat dimasukan ia adalah sesuatu yang bukan boleh dirancang.

Jaringan kemenangan, jaringan genius, jaringan 19 saat dilakukan oleh Pasalic dalam kebangkitan ke-6 Atalanta musim ini

“Jika anda menjaringkan gol selepas 19 saat dimasukan, maka ia jelas ia sesuatu yang anda boleh rancang. Yang penting (selepas itu) adalah mencari kembali keseimbangan (kami) di bahagian tengah.”

Pada musim ini Atalanta telah meraih 12 gol dari pemain simpanan yang dibawa masuk. Dalam pada masa yang sama Gasperini juga memberi kredit kepada penyokong.

“Apa yang kami alami dengan penyokong kami adalah perkara yang jarang berlaku di Itali. Kami berharap dapat melihatnya (lagi) pada Rabu ini ketika menentang Valencia.

“Dengan sokongan seperti itu, walaupun kami ketinggalan ia menjadi tenaga tambahan (dalam diri kami).

Secara taktikal Pasalic dimasukkan menggantikan Zapata kerana mahu memberi ruang kepada Gomez untuk bermain di atas bersama Ilicic.

“Kami mempunyai Pasalic dan Malinovskyi di bangku simpanan. Pemain penyerang hanya Muriel. Sedangkan pasukan lain mungkin memiliki lebih banyak pilihann berbanding kami.

“Oleh itu kami perlukan pemain tengah yang boleh menjaringkan gol. Kami menggunakan versaliti yang ada pada Gomez.

Sebelum ini Atalanta kehilangan khidmat Zapata selama 3 bulan kerana kecederaan. Dalam tempoh tersebut Atalanta melakukan beberapa eksperimen kombinasi pemain di bahagian hadapan.

Apabila Gomez dipindahkan ke sisi kiri menyerang pasukan, ia mewujudkan lebih ruang dan meningkatkan kualiti permainan Atalanta.