Atlet 18 Tahun Tunisia Menang Emas: “Saya Ke Sini Nak Pingat Bukan Untuk Catatan Masa”

Sebenarnya tiada orang pun memberikan perhatian kepada Ahmed Hafnaoui pada garisan permulaan dalam acara akhir 400m gaya bebas. Namun seluruh dunia memberikan perhatian kepadanya ketika di garisan penamat.

Ahmed sendiri seolah olah tidak percaya, bahawa dia baru sahaja menjadi pemenang emas olimpik, ketika tangannya menyentuh dinding penamat pada acara tersebut.

Baru berusia 18 tahun, Ahmed Hafnaoui baru sahaja menulis satu lagi kisah luar biasa di olimpik. Dia berenang lebih laju daripada perenang perenang yang lebih tua daripadanya.

Ahmed Hafnaoui menamatkan acara itu dengan catatan 3 minit, 43.26 saat. Dia menjerit kegirangan di dalam arena yang kosong itu.

Ahmed berkata: “Saya percaya ketika saya menyentuh dinding itu, dan saya melihat saya yang pertama.”

Perenang Australia, Jack McLoughlin meraih perak, manakala perenang Amerika Syarikat, Kieran Smith meraih gangsa. Kesemua 3 teratas dibezakan kurang 1 saat antara mereka selepas berenang 8 pusingan.

Hafnoui ternyata seorang remaja yang memiliki mentaliti yang sangat kuat. Dia tak datang ke olimpik untuk sekadar bercuti, melengkapkan korum atau sekadar memecahkan catatan peribadi mahupun sekadar mencari pengalaman.

‘Saya nak pingat, bukan catatan masa’

Dia menegaskan dia mahu menang pingat, itu sasaran utamanya. Itulah sebab dia berada di situ.

“Ketika saya menyentuh air itu, saya hanya memikirkan mahukan pingat [apa sahaja warnanya], bukannya memikirkan soal catatan.”

“Saya tidak percaya, ianya luar biasa. Saya merasa lebih baik dengan air pada pagi ini berbanding semalam, itulah dia. Saya sekarang juara Olimpik.”

“Saya memang dan tanam benda tu [nak menang] dalam kepala, itu sahaja. Saya masih tidak percaya. Ini adalah impian menjadi kenyataan.”

Perenang lain ternyata keinginan yang membara pada dirinya terbalas jual. Beliau berada di lorong paling hujung. Dalam sukan renang, perenang dengan catatan terbaik di peringkat sebelumnya, akan diletakkan di lorong tengah.

Hafnaoui kini menyertai Ous Mellouli berada dalam sejarah negaranya selaku perenang kedua yang pernang memenangi emas olimpik. Mellouli melakukannya ketika di Beijing 2008 dalam acara gaya bebas 1,500m. Mellouli memenangi 3 pingat olimpik secara keseluruhan dalam kariernya.

Hafnaoui menjadikan legenda itu sebagai idolanya dan mahu menjadi seperti beliau suatu hari nanti.

“Saya berharap saya akan menjadi seperti beliau, suatu hari nanti,” tegas perenang berusia 18 tahun itu.

Hafnaoui juga menjadi atlet Afrika kedua termuda yang memenangi emas selepas Joan Harrison dari Afrika Selatan. Di mana Harrison menang acara 100m kuak lentang ketika menyertai Olimpik Helsinki 1952.

Jurulatih Hafnaoui tidak dapat menahan air mata kegembirannya ketika melihat anak didiknya berjaya membuatkan lagu Tunisia berkumandang di gelanggang akuatik.

Hafnaoui turut bangga dan berkata: “Saya menangis ketika melihat bendera dan lagu negara saya berkumandang, ianya sangat hebat. Saya sangat bangga. Saya tujukan kemenangan ini untuk semua rakyat Tunisia.”

Hafnaoui mula berenang seawal usia enam tahun. Ayahnya memasukkannya ke dalam kelab renang. Sebelum ini dia pernah bertanding dalam acara Olimpik Belia 2018 namun menamatkan saingan di tangga kelapan. Ketika itu dia gugup kerana itulah kali pertama dia diberikan pendedahan di pentas antarabangsa yang sangat besar.

Pengalaman mematangkan beliau dan kini beliau mengendalikan kegugupan itu dengan lebih baik.

Hafnaoui berpeluang untuk membuat satu lagi kejutan dalam acara gaya bebas 800m pada Khamis ini. Selepas tamat Olimpik ini, Hafnaoui mahu melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat. Untuk membolehkannya belajar dan berlatih di sana.

Inilah detik keluarga Hafnaoui meraikan kejayaan remaja itu di rumah mereka:

Baca yang lain