Ayah Son Heung Min Didapati Bersalah Dera Kanak Kanak

Son Woong-jung, seorang jurulatih bola sepak dan bapa kepada bintang Liga Perdana, Son Heung-min, diperintahkan oleh mahkamah tempatan pada hari Jumaat untuk membayar denda atas tuduhan mendera pemain muda di pusat latihan bola sepaknya.

Mahkamah Daerah Chuncheon di Chuncheon, kira-kira 75 kilometer timur laut Seoul, memerintahkan Son Woong-jung, anaknya Son Heung-yun (abang Son Heung Min) dan seorang lagi jurulatih di Akademi Bola Sepak Son membayar denda 3 juta won ($2,220) atau kira kira RM9,436.00 kepada defendan.

Ketiga-tiga mereka juga diminta menyelesaikan program rawatan penderaan kanak-kanak selama 40 jam yang mandatori.

Son Woong Jung dan dua defendan lain boleh merayu keputusan itu dan meminta perbicaraan dalam tempoh tujuh hari.

Keputusan mahkamah dibuat kira-kira dua bulan selepas pendakwa Chuncheon secara ringkasnya mendakwa ketiga-tiga jurulatih itu.

Mereka dituduh mendera pemain muda secara fizikal dan lisan di kemudahan latihan bola sepak senior Son.

Ibu bapa kepada seorang pemain melaporkan Son dan staf kejurulatihannya kepada polis tempatan pada bulan Mac, dan polis memajukan kes itu kepada pihak pendakwaan pada bulan berikutnya.

Ibu bapa mendakwa bahawa anak mereka mengalami kecederaan di bahagian pahanya yang memerlukan rawatan selama dua minggu selepas Son Heung-yun memukulnya dengan bendera sudut [corner flag] semasa kem latihan di Okinawa, Jepun, pada Mac.

Ibu bapa pemain itu menuduh Son Woong-jung melemparkan kata-kata kesat kepada pemain kerana melakukan kesilapan semasa sesi latihan di kem Okinawa yang sama.

Son Woong-jung telah membalas bahawa banyak pertuduhan yang dikenakan terhadapnya dan kakitangannya adalah tidak benar, dan berkata dia tidak melakukan apa-apa yang melampaui kasih sayang seorang jurulatih kepada pemain.

Dia menyatakan dia cuma seorang yang tegas dan memberikan latihan yang agak keras kepada pemain supaya mereka tidak lembik dan sedia untuk bersaing secara fizikal dan juga teknikal dengan pemain pemain  Eropah.

Netizen di Korea berbagi pendapat tentangnya. Ramai menyokong ayah Son Heung Min. Mereka  menegaskan patutlah pemain Korea hari ini lembik  dan cepat koyak serta berlagak diva.

Mereka mengambil contoh kes Lee Kang In baru baru ini ketika Piala Dunia 2022. Dia didakwa tidak menghormati seniornya sehinggakan Son Heung Min berbalah dengannya. Lee Kang In ketika itu menganggap dia adalah bintang utama di dalam skuad Korea Selatan kerana bermain untuk PSG. Dan boleh masuk bilik sesuka hati selepas waktu makan. Kerana dalam skuad Korea Selatan, selepas makan malam, pemain akan berkumpul beberapa minit untuk membincangkan tentang bola sepak.

Lee Kang In kemudian menyesali perbuatannya selepas dikecam teruk. Dan dia meminta maaf.

Perkongsian Son

Ayah Son Heung Min memang seorang yang sangat tegas. Perkara itu didedahkan sendiri Son Heung Min yang selalu makan hati dengan ketegasan ayahnya.

Ayahnya juga sehingga ke hari ini masih tak pernah memuji Son Heung Min sebagai world class menurut pemain itu. Kerana dia menuntut pemain itu melakukan peningkatan setiap hari.

Ayahnya sangat tegas dan pernah meminta Son dan abangnya untuk menimang bola selama 4 jam.

“Selepas 3 jam saya dan abang menimang bola, mata saya mulai melihat 3 bola dan lantai nampak merah dari pandangan mata saya. Bayangkan dia suruh kami timang bola 4 jam tanpa jatuh. Ianya sangat sukar kan?”

Jadi adakah dia pernah menimang bola 4 jam? Son berkata: “Mustahil! Sekali pun mimpi nak buatnya.

Ayahnya juga melatih pemain lain. Dia pernah mengarahkan semua pemain menimang bola 40 minit. Ia bukannya mudah.

“Saya ketika itu 10 atau 12 tahun, masa tu ayah datang ke sekolah untuk melatih kami dalam 15-20 orang pemain.”

“Ayah meminta kesemua pemain menimang bola 40 minit. Apabila pemain lain terjatuh bola, ayah ok je, tetapi setiap kali bola terjatuh dari kaki saya, dia membuatkan kami semua bermula dari awal lagi.”

“Pemain lain masa tu faham kenapa dia keras dengan saya, sebab saya anak dia. Namun sekarang ini bila imbas balik, saya rasa dia melakukan perkara yang betul.”

Son sangat menyayangi ayahnya. Dari sudut seorang pemain dan jurulatih, bagi Son ayahnya sangat tegas dan menakutkan.

“Dia coach yang tegas, dan sangat menakutkan. Suara dia pun menyeramkan.”

Menurut Son, di Korea Selatan, ayah adalah simbol ‘undang undang’ dalam keluarga, dan beliau sama seperti kanak kanak Korea yang lain, patuh dan ‘takut’.

Hari ini Son Heung Min merupakan pemain yang menjadi kapten kelab EPL, Tottenham Hotspur dan juga kapten kebangsaan negaranya. Banyak kejayaan yang dia kecapi dalam kariernya.

Son berkata: “Tanpa ayah saya, saya tak akan mencapai apa yang ada pada hari ini, begitu juga dengan jurulatih jurulatih sepanjang karier saya.”