Azmeer Yusof Luah Rasa Kesal Atas Kecaman Yang Beliau Terima

Bekas pemain Kedah, Azmeer Yusof hari ini telah memuat naik status dilaman Facebook miliknya dengan meluahkan rasa kesal beliau terhadap segelintir individu termasuk bekas rakan sepasukannya.

Azmeer Yusof merasa terkilan selepas beliau dituduh meninggalkan Kedah kerana gilakan duit, sedangkan beliau sama sekali tidak pernah memikirkan untuk ke arah itu.

Ketika mengumumkan hasratnya untuk meninggalkan skuad Helang Merah itu, Azmeer mengakui bahawa ianya tiada kaitan dengan isu tunggakan gaji atau masalah lain, sebaliknya beliau membuat keputusan itu kerana mahu memberi tumpuan kepada bidang perniagaan.

Beliau juga pada ketika itu telah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua penyokong Kedah di atas keputusannya untuk meninggalkan skuad.

“Saya doakan yang terbaik buat pasukan Kedah FA. Semoga terus mencipta kejayaan2 di masa akan datang.”

“Ampun maaf dipinta kepada semua pihak seandainya kehadiran saya ke bumi Jelapang Padi tidak dialu-alukan. Sesungguhnya yang baik datang dari Allah Taala, yang buruk datang dari diri saya sendiri,”

Tulis beliau di laman facebook miliknya.

Selepas dari itu, ramai yang mengkritik Azmeer dan menyatakan bahawa beliau sebenarnya meninggalkan Kedah kerana duit.

Selepas penat mendengar segala tomahan dan cacian yang dilemparkan kepadanya, hari ini Azmeer Yusof telah memuat naik status di laman facebook miliknya dengan menyatakan:

“Ok, Cukup-cukuplah bersabar sampai maruah ni di bawah tapak kaki korang. Yang dalam team pun duk hentam sampai sekarang.”

“Let me tell u this selepas saya tamatkan kontrak dengan Team Kedah.”

Tulis Azmeer Yusof di laman facebook miliknya.

Beliau kemudian menyenaraikan beberapa kegiatan yang dilakukan olehnya selepas meninggalkan pasukan Kedah.

Beliau telah membina Pusat Pengajian Azmeer Yusof di dua kawasan di Negeri Kedah iaitu di Tongkang Yard dan Kuala Kedah.

Azmeer Yusof merealisasikan hasratnya melakukan kebajikan untuk pembangunan umat Islam dengan membuka rumah mengaji al-Quran tersebut secara percuma bermula 9 pagi hingga 10 malam.

Selain dari itu, Azmeer juga telah membuka lima cawangan kedai gunting rambut, AY Barbershop di Alor Setar, Kuala Kedah, Peruda, Kulim dan Sungai Petani untuk memberi peluang pekerjaan kepada anak muda di sana.

Di kedai gunting rambut yang beliau bina itu juga, Azmeer banyak membuat keje amal dengan menyediakan pakej guntingan rambut secara percuma kepada golongan tertentu.

Beliau turut membina AY Sport Arena dan AY Sports dengan alasan dan tujuan yang sama demi untuk membantu anak muda di Kedah.

“Semua yang saya bina di atas ni bukan untuk saya. Bukan untuk keluarga saya sekalipun. Tetapi untuk korang yang ada di Negeri Kedah.”

“Saya bukanlah kaya macam orang-orang yang korang kenal. Lagi-lagi tak kaya macam players lain. Tapi setiap duit-duit yang saya dapat 100% saya bagi pada Agama Islam. Jangan tanya tentang perbelanjaan saya. Saya tahu nak cari duit dengan cara saya sendiri.”

“So sampai bila nak salahkan saya?? Ini sampai ada seorang player update di instagram kononnya saya mata duitan sebab quit awal dari team.”

“REMEMBER THIS ! LAGI KORANG BENCI AKU, LAGI AKU BINA MACAM-MACAM DI NEGERI KORANG. KORANG TUNGGU & LIHAT.”

Tulis Azmeer di laman facebook miliknya.

Bekas pemain Kedah dan Kuala Lumpur itu sebelum ini sememangnya jarang untuk buka mulut atau bersuara dalam hal-hal seperti ini, namun apabila beliau merasakan kecaman dan hinaan yang diberikan padanya sudah keterlaluan, maka kerana itulah beliau tampil membuat kenyataan seperti ini.

Tidak kira dari kalangan pemain sendiri atau peminat yang sibuk mengecam Azmeer, semoga mereka sedar bahawa bukan semua orang mampu untuk menyumbang kepada masyarakat seperti yang dilakukan oleh Azmeer.

Andai tidak mampu untuk menyumbang seperti apa yang beliau lakukan, berhentilah mengecam dan setidak-tidaknya jangan lah iri dengan usaha murni yang beliau lakukan.

Baca yang lain