Netizen merasakan Kemboja benar benar kemaruk pingat emas kali ini. Kita faham setiap negara tuan rumah biasanya mencari kelebihan dan cuba mendapatkan kelebihan memenangi pingat.
Namun untuk negara seperti Kemboja, agak sukar menerima apabila mereka dilihat memanipulasi beberapa peraturan.
Daripada peraturan naturalisasi yang dianggap digunakan secara melampau untuk acara seperti bola keranjang dan sukan lain.
Kini acara badminton pula menjadi acara yang dimanipulasi.
Badminton bukan acara wajib dalam Sukan SEA. Kemboja mengancam akan tidak mempertandingkan acara badminton secara keseluruhannya, jika negara lain tidak menyokong idea agar acara beregu campuran diadakan dengan peraturan khas.
Peraturan khas itu menyebut, hanya negara dianggap tier kedua dan ketiga dalam acara badminton sahaja yang dibenarkan bertanding dalam acara beregu campuran.
Bermakna, negara seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, Singapura dan Vietnam dilarang bertanding.
Ini juga bermaksud, jaguh dunia dari negara seperti Thailand, Malaysia dan Indonesia tidak akan beraksi dalam Sukan SEA 2023 dalam acara beregu campuran.
Mereka menggunakan alasan, ini untuk memberikan peluang kepada negara yang tidak kuat dalam badminton merasai peluang untuk menjadi pemenang pingat dan membantu pembangunan badminton di negara tersebut.
Vietnam antara negara yang kurang berpuas hati dengan peraturan ini kerana mereka turut diharamkan menyertai acara tersebut. Sedangkan dalam sejarah, Vietnam tidak segah Indonesia atau Malaysia. Mereka hanya memenangi beberapa pingat sahaja.
Hasil daripada peraturan khas ini, Kemboja berjaya mara ke final buat pertama kali dalam acara beregu campuran. Mereka akan menentang Myanmar dalam final pada 11 Jun ini.
Hanya Kemboja, Myanmar, Brunei. Laos dan Timur Leste sahaja yang dibenarkan bertanding acara ini.