Bagaimana Muzik Britpop Menjadi Popular Di Era 90an?

Jika anda membesar pada era 90an, semestinya lagu-lagu dari kumpulan seperti Oasis, Blur, Manic Street Preachers atau Pulp sering berkumandang di radio.

Dan ramai yang akan cuba meniru gaya rambut Liam Gallagher atau berfesyen seperti Graham Coxon.

Britpop – ialah muzik rock and roll yang muncul sekitar awal 1990an dan surut pada tahun 1997. Kenapa tahun 1997? Nanti akan diceritakan.

Permulaan muzik Britpop bermula dari tebing Sungai Mersey

 

Segalanya bermula pada konsert di Spike Island, di tebing sungai Mersey, dan terusan Manchester. Spike Island ini sebenarnya pulau buatan manusia di tengah-tengah sungai Mersey, hasil korekan tanah dari pembinaan terusan ke Manchester.

Pada Mei 1990, satu konsert besar-besaran diadakan di sini, dan terdapat banyak kumpulan-kumpulan era Madchester yang popular sekitar 80an seperti Happy Monday, The Charlatans dan Inspiral Carpets.

Pun begitu yang paling popular sudah tentunya kumpulan Stone Roses, yang terdiri dari Ian Brown (vokalis), John Squire (gitaris), Mani (bassis) dan Alan Wren (dram), yang dinantikan oleh ramai anak muda.

Kemelesetan ekonomi akibat dasar neoliberal zaman Margaret Thatcher, disamping dasar kerajaan meminggirkan bandar-bandar perindustrian di utara, menyebabkan pengangguran dari kalangan anak muda yang tinggi.

Ini mengakibatkan penyalahgunaan d4dah serta alkohol yang tinggi.

Salah satu remaja yang turun ke Spike Island ialah adik beradik, Noel dan Liam Gallagher, yang kemudian berazam mahu serius dalam membuat band yang lebih hebat daripada Stone Roses.

Kewujudan Britpop berpunca dari menentang muzik grunge

Fuxking yanks!” jerkah vokalis Blur, Damon Albarn masa dia ditemuramah dalam dokumentari tentang Blur yang aku pernah tengok, bila dia komen tentang grunge menguasai dunia masa tu.

Bukanlah Damon Albarn ni benci grunge, tapi sebagai orang British, dia rasa terhina dan macam dijajah Amerika.

Pada era awal 90an, muzik grunge telah mendunia daripada selama ini ia terperuk di bandar Seattle. Ia bukan sahaja popular di Amerika Syarikat, tetapi seluruh dunia, termasuk di United Kingdom.

Semasa lagu Smells Like Teen Spirit menjuarai carta Tops of the Pops di BBC, mula timbul kesedaran bahawa muzik British perlu melawan arus yang dibawa oleh Amerika ini.

British perlu berbangga dengan muzik sendiri, selama ini bukankah mereka yang menguasai muzik pop – dari The Beatles, ke Pink Floyd, Led Zeppelin, David Bowie, Sex Pistols, Tears For Fears dan The Smiths. Semuanya menawan dunia.

Tetapi apabila muzik Amerika menjuarai carta British, ini merupakan satu penghinaan bagi pemuzik dan peminat muzik British.

Boleh dikatakan Britpop adalah simbol nasionalisme yang cool untuk warga Britain selepas sedekad bermurung di bawah pemerintahan Perdana Menteri Margaret Thatcher.

Disebabkan semangat itulah, muzik Britpop mula naik, terutamanya yang nak bangga dengan produk negara sendiri. Radio kolej dan universiti semua mainkan band British dan melawan arus grunge.

Perkara yang sama sebenarnya berlaku di Malaysia ketika era tengah 2000an dulu. Ketika Indopop meletup dan menjuarai carta ERA dan sering dimainkan di Hitz dot TV, band Malaysia macam Hujan, Meet Uncle Hussain, atau Butterfingers gunakan Myspace Music untuk melawan arus Indopop.

Modern Life Is Rubbish, Parklife dan Battle of Britain

Blur memulakan tour mereka di Amerika Syarikat selepas pengurus mereka merembat duit album mereka, dan mereka perlukan duit untuk meneruskan kehidupan. Apabila mereka di Amerika Syarikat dalam tour, yang datang cuma dalam angka belas-belas, nasib baik kalau cecah ratus orang.

Album pertama mereka, Leisure (1991) berjaya namun wangnya disonglap pengurus, menyebabkan mereka terpaksa mengikat perut apabila buat tour di Amerika Syarikat.

Mereka tertekan dan bergaduh sesama sendiri dalam bas, dan kadang-kadang bertumbuk.

Bagaimanapun album ketiga mereka, Modern Life Is Rubbish (1993) telah berjaya menyatukan mereka, walaupun penjualan album mereka gagal bersaing dengan kumpulan lagi satu, iaitu Suede yang ketika itu popular dengan lagu Animal Nitrate.

Hanya pada album keempat mereka, Parklife (1994) memecahkan rekod mereka sebagai album yang terjual paling tinggi, dan lagu Parklife mencapai nombor satu dalam Top Of The Pops serta memenangi anugerah Brits Video of the Year pada tahun 1995.

akan bersambung di bahagian 2.

Baca yang lain