Bagaimana Man City Hanya Gunakan Duit Hadiah Untuk Beli Rice, Gvardiol Dan Kovacic

Manchester City berjaya memenangi treble, bermakna mereka akan mendapat hadiah maksimum daripada bonus pertandingan. Kemudian hak penyiaran yang tinggi di EPL dan di UCL.

Man City dikaitkan dengan pembelian Declan Rice sekitar £100 juta, dan Josko Gvardiol juga dalam lingkungan £100 juta.

City sedang memuktamadkan perjanjian mendapatkan Mateo Kovacic sekitar £30 juta.

Secara terkumpul, jika kesemua rundingan itu dimuktamadkan dengan harga tersebut, maka City perlu mengeluarkan £230 juta. Sebenarnya mereka mahu gunakan kaedah ansuran untuk beli Rice. Tapi kita andaikan kalau mereka bayar cash semua perpindahan itu.

Boleh ke mereka berbelanja sebanyak itu dalam satu masa? Jawapannya lebih daripada cukup.

Ini kerana Kejayaan meraih treble musim ini akan membolehkan mereka meraih sekitar £294 juta.

Bermakna, hanya dengan hadiah pertandingan tersebut, City sudah melepasi dana pembelian 3 pemain itu dengan 2 daripadanya bernilai £100 juta.

Dalam perniagaan bola sepak, ada keuntungan lain juga yang akan masuk dari tajaan dan wang daripada pemilik kelab berdasarkan had ditetapkan. Malah masih ada baki £64 juta.

Itu belum ditambah dengan penjualan beberapa pemain mereka. Seperti Bernardo Silva, Kyle Walker dan juga Joao Cancelo antara nama yang dikaitkan dengan perpindahan keluar.

Keuntungan City dalam beberapa tahun terakhir

Dalam jendela perpindahan kali ini, Man City memiliki dana perpindahan lulus FFP paling besar dalam sejarah kelab Eropah.

Dengan penjualan beberapa pemain pada jendela perpindahan sebelum ini, Manchester City kini memiliki had perbelanjaan paling tinggi dalam sejarah, sejak peraturan FFP diperkenalkan.

Kejayaan Man City dalam beberapa musim ini akan membuatkan mereka membina struktur kewangan yang lebih kukuh.

Dan mereka boleh menggunakan budget yang ditetapkan oleh UEFA untuk membeli pemain pemain yang mereka suka. Dengan had FFP yang sangat tinggi.

Musim lalu, Man City berjaya menjual pemain dengan pulangan £193 juta.

Dan ia digunakan untuk mengimbangi perbelanjaan keluar menerusi pembelian pemain seperti Erling Haaland, Kalvin Phillips, dan Julian Alvarez. Daripada jual beli pemain sahaja Man City mencipta keuntungan bersih sebanyak £63 juta.

Dan pada jendela perpindahan kali ini mereka masih dikaitkan dengan aktiviti penjualan pemain seperti Joao Cancelo, Aymeric Laporte, Bernardo Silva, Riyad Mahrez, malah Kyle Walker.

Di bawah peraturan kewangan UEFA, kelab dibenarkan untuk membelanjakan 70% daripada pendapatan mereka ditambah dengan hasil penjualan pemain – yang turut melibatkan nilai perpindahan, gaji pemain dan bayaran ejen.

Pada 2021/22, Man City meraih keuntungan sekitar £619 juta.

Bermakna setakat ini mereka meraih £913 juta dalam 3 tahun terakhir. Dan kos gaji mereka ketika ini sekitar £354 juta.

Jadi secara bersih mereka ketika ini berada di paras £559 juta.

Berdasarkan formula 70% daripada keuntungan untuk dibelanjakan. Bermakna mereka boleh menggunakan sekitar £391 juta untuk pembelian pemain.

Ini adalah angka anggaran pada ketika ini. Kerana akaun pasukan mereka akan sentiasa bergerak dan meraih beberapa pendapatan lagi.

Jadi Man City memiliki kuasa yang sangat besar untuk dibelanjakan pada jendela perpindahan. Jika mereka berjaya menjual beberapa pemain lagi dengan harga mahal, ianya akan mengukuhkan lagi kedudukan kewangan dan kuasa mereka dalam dana perpindahan.

Maka tak hairanlah Man City masih dikaitkan dengan beberapa pemain bintang lagi termasuk Josko Gvardiol, Kovacic malah Declan Rice pun boleh masuk.