Bagaimana Nuno Espirito Santo Mengubah Nottingham Forest

Selepas selesai tugas media sebelum perlawanan di City Ground, Nuno Espirito Santo akan menarik nafas panjang, mengambil kunci kereta dan akan berkata: “Masa untuk bekerja.”

Perkataan itu akan diulangi oleh Nuno pada setiap perlawanan yang dilangsungkan di gelanggangnya.

Bagi Nuno, tempat paling sesuai untuknya adalah bersama pemain. Dia kurang gemar perkara yang boleh mengganggunya dari fokus utamanya itu. Dan sejak awal musim ini dia lebih bersemangat untuk bekerja berbanding sebelum ini.

𝗞𝗲𝗽𝗲𝗿𝗰𝗮𝘆𝗮𝗮𝗻 𝗸𝗲𝗹𝗮𝗯 𝗸𝗲𝗽𝗮𝗱𝗮𝗻𝘆𝗮

Pada akhir musim 2023-24, pengurusan Nottingham Forest telah berbincang sama ada mahu mengekalkan Nuno sebagai ketua jurulatih. Walaupun dia berjaya memastikan Forst kekal di Liga Perdana Inggeris dengan pelbagai isu luar padang, masa depannya di Forest tidak pernah terjamin.

Keputusan mereka untuk mengekalkan Nuno ternyata menjadi langkah yang betul. Forest memilih Nuno kerana percaya dia lebih baik daripada pengurus sebelumnya, Steve Cooper. Kini peningkatan yang dibawa oleh Nuno sudah jelas kelihatan.

Sejak menyertai Forst, Nuno bukan sahaja meningkatkan prestasi pasukan tetapi juga memulihkan reputasi dirinya sendiri. Sebelum ini tempoh singkatnya di Tottenham Hotspur telah merosakkan keupayaannya, hari ini dia membuktikan dirinya kembali sebagai pengurus yang berwibawa.

𝗠𝗲𝗺𝗯𝗶𝗻𝗮 𝗽𝗮𝘀𝘂𝗸𝗮𝗻 𝗱𝗲𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗰𝗮𝗿𝗮 𝘀𝗲𝗻𝗱𝗶𝗿𝗶

Sepanjang berada di kelab terdahulu (Rio Ave, Valencia, Porto, Wolves, Spurs dan Al Ittihad) Nuno selalu memulakan tugasnya pada awal musim. Namun di Forest dia tiba pada Disember 2023 iaitu pada pertengahan musim.

Nuno tidak mempunyai masa untuk membentuk pasukan dari awal, dia juga berdepan dengan masalah pasukannya dipotong 4 mata kerana melanggar peraturan kewangan. Nuno sering menegaskan pra musim amat penting untuk mempersiapkan pasukan.

Pada tahun 2018, ketika membawa Wolves ke Liga Perdana, dia menganggap kejayaan itu bermula dari kem latihan pramusim di Austria. Begitu juga di Forest, mereka mengadakan latihan di Sepanyol dengan 3 perlawanan persahabatan. Latihan dua sesi sehari serta tempoh bersama yang panjang membantu membina keserasian dan budaya kerja dalam pasukan.

Kapten pasukan, Ryan Yates menegaskan pramusim kali ini lebih baik kerana kebanyakan pemain bebas dari masalah kecederaan dan pemain baharu menyertai pasukan lebih awal. “Kami sudah bersedia sejak perlawanan pertama. Semua tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.

Berbanding musim sebelumnya, kali ini Nuno dan Forest lebih bersedia. Pemain baharu utama seperti Elliot Anderson (£15 juta, Newcastle) dan Nikola Milenkovic (£12 juta, Fiorentina) tiba lebih awal dan sempat menyesuaikan diri.

𝗕𝗲𝗹𝗮𝗷𝗮𝗿 𝗱𝗮𝗿𝗶 𝗸𝗲𝗷𝗮𝘆𝗮𝗮𝗻 𝗱𝗮𝗻 𝗸𝗲𝗴𝗮𝗴𝗮𝗹𝗮𝗻

Nuno pernah berjaya di kelab kecil seperti Rio Ave dan Wolves tetapi tidak begitu menyerlah di kelab besar seperti Valencia, Porto dan Tottenham.

Ketika mengambil alih Spurs pada 2021, Nuno sebenarnya bukan pilihan utama kelab itu. Dia diberikan kontrak dua tahun selepas beberapa calon lain menolak jawatan itu. Sejak awal lagi kewibawaannya telah dipersoalkan, ditambah lagi dengan isu Harry Kane yang mahu berpindah ke Manchester City.

Hubungan dengan pemain juga tidak kukuh dan selepas hanya 10 perlawanan liga dia akhirnya dipecat.

Namun, pengalaman itu menjadikan Forest sebagai peluang yang diidamkannya. Forest boleh dibina dan disngkat ke tahap lebih tinggi. Kini nama Steve Cooper semakin jarang disebut oleh peminat kelab itu kerana mereka sudah mula percaya dengan Nuno.

𝗠𝗲𝗺𝗯𝗶𝗻𝗮 𝗶𝗱𝗲𝗻𝘁𝗶𝘁𝗶 𝗽𝗮𝘀𝘂𝗸𝗮𝗻

Di Spurs, Nuno terkenal sebagai seorang yang pendiam dan jarang bercakap panjang. Tetapi di Forest, walaupun dia masih tegas dan lantang dalam memberi arahan, sisi mesranya lebih terserlah.

Dia seorang jurulatih yang suka turun padang dan melatih sendiri pemain. Latihan yang dikendalikannya biasanya berlangsung selama 90 minit tetapi cukup intensif. Latihannya membantu Forest mencatat momentum kemenangan yang panjang.

Baginya, identiti pasukan terbentuk melalui tabiat yang kemudiannya tabiat itu menjadi rutin. “Apabila sesuatu sudah menjadi kebiasaan, ia akan berlaku secara semula jadi,” katanya dalam satu sidang media.

Nuno juga mempunyai hobi untuk menghilangkan tekanan. Dia menunggang kuda di West Midlands pada waktu pagi sebelum ke pusat latihan. Dia juga gemar bermain padel bersama staf kejurulatihannya.

Ketika di Wolves, dia pernah mengelak daripada menyentuh trofi Manager of the Month kerana percaya ia akan membawa nasib malang. Tetapi di Forest, apabila dia memenangi anugerah yang sama pada November, dia mengangkat trofi itu dengan bangga.

𝗕𝗲𝗿𝗷𝗮𝘆𝗮 𝗺𝗲𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱𝗸𝗮𝗻 𝗸𝗲𝗯𝗲𝗿𝘀𝗮𝗺𝗮𝗮𝗻

Ketika bersama Spurs, Nuno pernah melakukan kesilapan besar dengan membawa pasukan simpanan ke perlawanan Eropah menentang Vitesse Arnhem. Pasukan utama ditinggalkan di London. Ini mencetuskan ketidakpuasan hati dalam kalangan pemain dan merosakkan moral pasukan.

Di Forest, dia memastikan setiap pemain berasa dihargai dan mempunyai peluang bermain. Anthony Elanga mengakui, “Semasa pramusim, dia memberitahu kami setiap pemain mempunyai peranan. Jika anda tidak bermain dalam beberapa perlawanan, peluang tetap akan ada.”

Keputusan ini terbukti apabila Forest menjadi antara pasukan yang paling banyak menggunakan pemain gantian musim ini. Ia menandakan keyakinan jurulatih kepada semua pemain dalam skuad.

Selain itu, Nuno juga menekankan kepentingan komunikasi dalam pasukan. Walaupun terdapat ramai pemain dari Portugal dan Brazil, semua pemain diminta bercakap dalam bahasa Inggeris ketika latihan.

𝗠𝗲𝗺𝗯𝗲𝗻𝘁𝘂𝗸 𝗽𝗮𝘀𝘂𝗸𝗮𝗻 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗸𝘂𝗸𝘂𝗵

Selepas kekalahan 3-0 kepada Manchester City pada Disember, Nuno tetap bersemangat. Dia melihat sesuatu yang positif dalam perlawanan itu.

Baginya, membentuk pasukan bukan sekadar membina strategi. Ia memerlukan penyesuaian mengikut pemain yang ada. “Kita boleh mempunyai idea sendiri tetapi ia mesti bertunjangkan pemain yang kita miliki,” katanya.

Di bawah Nuno, Forest lebih kukuh dalam bertahan. Dalam 16 perlawanan pertamanya, mereka hanya membenarkan expected goals (xG) sebanyak 1.08 setiap 90 minit — hanya Arsenal (0.89) dan Liverpool (0.98) lebih baik dari Forest.

Forest juga cemerlang dalam situasi bola mati. 7 gol daripada sepakan sudut dan sepakan percuma berbanding hanya 2 gol bolos dalam kategori sama. Pada musim sebelumnya Forest melepaskan 22 gol dalam situasi bola mati.

Tetapi perubahan paling besar adalah keyakinan. Sebelum ini, apabila Forest mendahului, peminat sering bimbang pasukan akan melepaskan gol. Kini, mereka tahu bagaimana untuk mengawal permainan dan mengekalkan kelebihan jaringan.

𝗞𝗲𝘀𝗶𝗺𝗽𝘂𝗹𝗮𝗻

Transformasi Forest di bawah Nuno bukan sekadar perubahan taktikal tetapi juga perubahan mentaliti.

Dengan falsafah kerja keras, kebersamaan dalam pasukan dan pendekatan taktikal yang fleksibel, Forest kini bukan lagi sekadar pasukan yang berjuang untuk kekal dalam liga. Mereka kini bercita-cita lebih tinggi.

Seperti yang sering dikatakan oleh Nuno dan diulang oleh pemainnya: “Kami fokus satu perlawanan pada satu masa.”