Bagaimana Pemergian Messi Buat Barcelona Hilang RM1.34 Billion, Termasuk Nilai Jenama & Pendapatan Lain

Brand Finance mengeluarkan anggaran kerugian yang bakal ditanggung oleh Barcelona selepas pemergian Lionel Messi.

Ketika Joan Laporta menjadi calon presiden Barca, beliau menepis tuduhan bahawa Messi adalah satu beban kepada kelab. Sebaliknya Laporta menegaskan bahawa Messi adalah nama yang memberikan banyak keuntungan kepada kelab dan sedia untuk membentangkan bagaimana ia berlaku, jika ada pihak yang mahukannya.

Ianyaa respon kepada laporan El Mundo yang menggambarkan bahawa Messi sebagai punca utama kelab boleh di ambang muflis dengan hutang lebih EUR1 billion.

Akhbar Sepanyol El Mundo membocorkan dokumen yang menyatakan syarat perjanjian Messi semasa di Camp Nou, yang akan berakhir pada akhir bulan Jun.

Laporan mereka menyatakan bahawa perjanjian empat tahun, yang ditandatangani oleh Argentina pada tahun 2017, merangkumi pendapatan tetap dan pembayaran bonus yang berjumlah € 138 juta (£ 112 juta / $ 167 juta) setahun.

Messi telah meraih € 510 juta. dengan € 45 juta lagi akan dibayar dalam tempoh enam bulan akan datang. El Mundo mendakwa bahawa pemain berusia 33 tahun itu adalah atlet bergaji tertinggi dalam sejarah sukan profesional.

Laporta menyatakan bahawa tiada masalah pun dengan kontrak sangat tinggi diberikan kepada Messi. Laporta malah bertekad akan berusaha sedaya upaya memastikan Messi kekal jika beliau dilantik sebagai presiden sekali lagi.

Selain itu Laporta juga sedia membentangkan bukti bagaimana Messi memberikan pulangan berlipat kali ganda kepada kelab.

Laporta berkata: “Saya sanggup lakukan apa sahaja untuk mengekalkan Messi di Barca. Saya mendapat tahu dia gembira di Barca dan mahu kekal. Namu Messi harus mempercayai projek sukan yang menunjukkan Barcelona cukup kompetitif.”

“Semalam saya ada menghantar mesej kepadanya untuk menyatakan sokongan kepadanya. Meminta dia untuk memekakkan telinga daripada berita. Kerana penyokong Barca mahu beliau terus kekal di sini.”

“Berita itu menyakitkan kerana kerosakan daripadanya dirasai Barca pada ketika kelab ini tiada pengendali [presiden].”

“Situasi kewangan Barca sekarang bukan kerana kontrak Messi. Dia malah menjana wang lebih banyak daripada kos yang kita bayar untuknya.”

“Pakar ekonomi sudah melakukan kajian di mana Messi menjadi sumber pendapatan ketiga tertinggi daripada jumlah keuntungan keseluruhan Barca.”

“Apa yang Messi jana adalah melibatkan kesukanan dan emosi. Apa yang dia telah lakukan kepada kelab ini, tidak ada nilainya.”

“8 daripada 10 jersi Barca yang dijual setiap musim adalah nama Leo. Malah dunia berminat mengikuti Barca kerana Messi.”

“Tanpa Leo, kelab ini tak akan menang banyak piala. Pulangan ekonomi itu wujud. Leo mewakili 8.2 peratus kos kelab ini. Pasukan dengan adanya Leo sentiasa bersemangat untuk menang kesemuanya.”

“Messi bukannya manusia yang hanya termotivasi kerana wang. Kita harus mencari formula luar kotak untuk mengekalkan dia di sini.”

“Dia tidak mengutamakan wang dan ekonomi, jika dia kekal, Messi akan membantu kelab ini.”

“Jadi, kita harus menawarkan dia kontrak untuk pemain terbaik dalam sejarah.”

Impak Messi kepada jenama Barca

Kini Messi sudah rasminya pergi meninggalkan Barcelona, Brand Finance menyatakan, dari segi jenama, kelab tersebut bakal berdepan dengan nilai jenama yang kurang 11% berbanding sebelumnya.

Pada 2021, Barcelona bernilai €1.26 billion – menjadikan Barcelona kini sebagai kelab kedua paling bernilai di dunia di belakang Real Madrid dengan €1.27 billion. Jumlah itu dijangka akan susut €137 juta selepas pemergian pemain terbaik sepanjang zaman mereka.

Nilai jenama adalah berkait rapat dengan beberapa perkara. Pemergian Messi akan memberikan impak langsung kepada nilai tajaan Barcelona di masa akan datang, selain daripada jualan cenderamata serta pendapatan pada hari perlawanan.

Seterusnya, persepsi penyokong ke atas Barcelona juga akan menyumbang secara tak langsung kepada nilai kelab secara global. Di mana, Barcelona dilihat akan kehilangan beberapa peratusan sokongan di peringkat global.

questes són les normes d’ús de la fotografia. Si vol ser utilitzar, ha de ser signada de la següent manera: © FC Barcelona / Autor: Santi Garcés

Bukan itu, sahaja, peminat bola sepak yang bukan peminat Barcelona sebelum ini menyaksikan Barcelona kerana adanya nama seperti Messi. Dan Barcelona juga bakal hilang tarikan dari sudut ini.

Menurut Brand Finance, Messi telah menjadi satu jenama yang kuat dalam membantu menaikkan publisiti dan pendapatan kelab. Selepas pemergian Messi, nilai kelab dijangka akan berada di paras €1.13b dan di belakang Manchester United dengan nilai €1.3 billion.

Ketua Bahagian Perkhidmatan Sukan Brand Finance, Hugo Hensley berkata:

“Messi sangat sinonim dengan jenama Barcelona dan menjadi orang penting dalam kelab sejak 15 tahun kebelakangan ini. Kehadirannya dalam kelab, tanpa ragu telah membolehkan Barcelona menarik lebih ranai penyokong, lebih ramai pemain bintang yang mahu bermain dengannya,” kata Hugo sambil merujuk kepada pemain pemain seperti Sergio Aguero yang terang terang menjadikan Messi sebagai antara sebab utama mereka mahu ke Barcelona.

“Selain itu, Messi juga mampu menarik pengurus yang bagus datang dan juga membantu kelab mendapatkan kontrak mega serta trofi. Pemergian Messi akan memberikan kesan yang besar dan boleh memberikan impak yang ‘menyakitkan’ pada nilai jenama kelab yang akan merosot.”

Messi itu sendiri satu jenama

Penasihat Perkhidmatan Sukan di Brand Finance, Ben Baigire menjelaskan apakah kesan pemergian Messi ini kepada Barca. Beliau menyatakan bahawa, Messi itu sendiri satu jenama yang sangat besar dan kuat.

“Tak perlu diperkenalkan lagi, Messi adalah bintang besar di peringkat global. Ada beberapa aspek penting di mana pemain Argentina ini membantu Barcelona menjana nilai mereka.”

“Pertamanya, nilai komersial; Messi merupakan atlet yang sangat kuat tarikannya kepada penaja koporat. Kehadirannya di kelab, tanpa keraguan, membantu Barcelona membawa pulang tajaan yang lebih lumaya.”

“Messi ada 240 juta pengikut di Instagram, lebih dua kali ganda daripada akaun rasmi Barcelona [99.5 juta]. Ianya satu data yang menunjukkan populariti dan nilai yang dia boleh bawakan kepada mana mana pasukan hanya dengan popularitinya sahaja.”

“Nilai jenama mereka kini berisiko kehilangan €77 juta berkaitan dengan nilai komersial selepas ini.”

“Keduanya, prestasi atas padang dan hari perlawanan: Ramai yang tidak boleh meramalkan prestasi Barcelona selepas pemergian Messi. Namun dia memberikan impak yang sangat besar kepada prestasi pasukan dalam beberapa musim ini menerusi prestasi individunya. Messi menjaringkan lebih 30 gol semusim sejak 2008/09 dan menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman.”

“Barcelona masih ada beberapa nama bintang dalam pasukan mereka, namun akan mengambil masa untuk mendapatkan prestasi teerbaik mereka tanpa bintang utama mereka. Ketiadaan Messi di atas padang boleh membuatkan kelab kehilangan €17 juta dari segi nilai jenama.”

“Ketiganya, penjualan jersi dan cenderamata: Ketika kamu berjalan di mana mana tempat di seluruh dunia, kamu akan dapat melihat orang memakai jersi ikonik no.10 Messi.”

“Penjualan jersi Messi dilaporkan bernilai €200 juta. Di mana kelab mendapat bahagian sekitar 10-15% [sekitar €30] juta hanya menerusi bonus penjualan jersi Messi. Pembuat jersi Nike menikmati keuntungan berlipat ganda daripada penjualan jersi Messi.”

“Pemergian Messi akan membuatkan Nike kehilangan sekitar €200 juta daripada penjualan jersi Barcelona dengan nama Messi. Barcelona juga akan mengalami susut nilai jenama €43 juta lagi.”

Ben menambah, Barcelona kemungkinan sukar untuk mendapatkan tajaan baru yang jauh lebih besar daripada yang mereka harapkan dengan ketiadaan Messi.

Nota Editor: Ramai peminat salah anggap, bahawa jualan jersi milik pasukan sepenuhnya. Silap! Sebaliknya kontrak tajaan jersi sudah dibayar terlebih dahulu. Jualan jersi milik pengeluar jersi sepenuhnya dan kelab akan menikmati bonus. Jika Nike tak nak bagi bonus pun, mereka boleh buat begitu. Tapi biasanya bagi bonus la.

So hentikanlah sterotaip cakap, beli pemain ini akan dapat balik harga dia dengan jual jersi. Tak semua pemain boleh generate bonus jersi macam Messi.

Rumusan

Kesimpulannya, pemergian Messi akan membuatkan Barcelona kehilangan sekurang kurangya €274 juta atau RM1.34b. €137M dari segi nilai jenama. €17 juta dari pendapatan hari perlawanan. €43 juta bonus jualan jersi, €77juta dari segi keuntungan pernigaan.

Impak lain termasuk publisiti, persepsi daripada penaja dan bakal penaja yang mahu melabur di masa akan datang.

Apabila mengambil kira semua perkara ini, penting untuk mengetahui bahawa nilai jenama itu mesti diukur di masa akan datang – seperti yang dapat dikatakan, berapa banyak nilai tambahan yang dapat dihasilkan oleh Messi untuk Barcelona sepanjang baki kariernya jika dia terus kekal?

Walaupun ramai yang berpendapat bahawa dia menghampiri akhir kariernya; Messi telah menunjukkan bahawa dia antara pemain yang memiliki peak yang lambat turun. Misalnya, Messi mencatatkan 38 gol di semua pertandingan pada musim 2020/2021.

Ramai pemain seperti Cristiano Ronaldo (36 tahun) dan Zlatan Ibrahimović (39 tahun) masih beraksi di tahap tertinggi. Ini antara petanda bahawa Messi kemungkinan besar masih boleh beraksi di peringkat tertinggi dalam 5 tahun lagi.

Risiko kehilangan nilai pada jenama Barcelona dianggap lebih besar daripada risiko Messi hilang peak beliau di atas padang.

Imbas kembali kesan pemergian Ronaldo dari Real Madrid pada tahun 2018, nilai jenama kelab itu menurun sebanyak 19%. Kelab tersebut kemudian telah bergelut untuk menyamai kejayaan mereka di atas padang sejak superstar Portugal itu berangkat ke Juventus.

Tahun ini juga tidak ada pemain Real Madrid yang terpilih untuk pasukan kebangsaan Sepanyol EURO 2020, yang menunjukkan betapa bergelutnya kelab tersebut.

Barcelona juga sudah boleh menjangkakan kesan yang sama ke atas prestasi mereka di atas padang di samping berusaha mengurangkan impak kesusutan nilai jenama mereka di mata penaja.

Salah satu daripada caranya mungkin dengan membawa seorang lagi bintang berkelas dunia yang mampu menjadi seperti Messi.

Ini kerana kelab memerlukan publisiti besar selepas kehilangan nama seperti Messi. Malangnya, kedudukan kewangan semasa Barcelona tidak mengizinkan mereka. Nama seperti Neymar seringkali dianggap pengganti kepada Messi berdasarkan popularitinya di kalangan peminat Barca. Namun tahun lalu pemain itu menyatakan bahawa sekarang ini dia sudah tidak memikirkan lagi untuk pulang semula ke Barca.