Bagaimana Pertarungan Jerman vs England Menjadi Pencetus Goal Line Technology

Dalam bola sepak, tidak semua orang akan gemar dengan keputusan pengadil. Pengadil banyak membuat kesilapan, kata mereka.

Ini adalah on the line clearance John Stones ketika menentang Liverpool musim 2018/19. Tanpa GLT mungkin Man City tidak akan menjuarai EPL musim 2018/19:

Ini pula bola Cristiano Ronaldo yang tidak dikira gol, kerana tiada GLT dalam perlawanan tersebut, sehingga Ronaldo mengamuk dan membaling amrbandnya.

Dua situasi ini menunjukkan bahawa GLT memang penting untuk menentukan sama ada ianya gol atau tak.

Tetapi dalam pada masa yang sama, tidak semua juga orang yang gemar apabila bola sepak yang terlalu dikawal oleh teknologi.

Alasan mereka adalah ia akan mengurangkan drama dan emosi dalam bola sepak. Teknologi akan membuatkan bola sepak itu tidak ‘hidup’ dan seperti permainan video FIFA ataupun PES.

Ini adalah insiden yang tak akan ada jika GLT digunakan pada situasi abang Do:

Teknologi Garisan Gol ataupun bahasa universalnya Goal Line Technology (GLT) telah dicadangkan sejak awal tahun 2000 lagi. Namun FIFA merasakan perkara itu sebagai tidak perlu.

Namun selepas beberapa kontroversi yang melibatkan gol melepasi garisan gol atau tidak berlaku, FIFA menerima lebih banyak permintaan agak GLT dilaksanakan dengan kadar segera.

FIFA melambatkan proses perlaksanaan GLT sehinggalah berlangsungnya temasya Piala Dunia 2014, hampir 14 tahun selepas cadangan tersebut dikemukakan.

Jaringan Lampard yang dibatalkan

Ketika Jerman dan England bertemu dalam perlawanan peringkat 16 pasukan terbaik Piala Dunia 2010, England ketinggalan 2-0 di belakang Jerman hanya selepas 32 minit.

5 minit kemudian, Matthew Upson merapatkan jurang menjadi 2-1. Tidak lama selepas itu Frank Lampard merembat bola dari jarak jauh. Rembatannya terkena palang dan melantun jatuh di dalam garisan gol.

Disebabkan GLT tidak dilaksanakan, perlawanan diteruskan kerana pengadil perlawanan Jorge Larrionda tidak dapat mengesahkan gol tersebut.

Pemain England begitu kecewa sehingga mereka membiarkan kekecewaan mereka mempengaruhi persembahan mereka seterusnya. Jerman menang 4-1 dalam perlawanan tersebut.

Kontroversi ini membuatkan FA England menguatkan lagi sokongan penggunaan GLT. Pada 2013, England menjadi negara pertama di Eropah menggunakan GLT dalam liga domestik mereka.

Jaringan Edin Dzeko (gambar di bawah) menentang Cardiff City pada 18 Januari 2014 adalah jaringan pertama yang ditentukan melalui teknologi garisan gol.

Teknologi garisan gol Piala Dunia Brazil 2014

Setelah melihat keberkesanannya dalam Liga Perdana Inggeris, FIFA menggunakan teknologi tersebut dalam temasya Piala Dunia Rio 2014. FIFA memilih GoalControl sebagai pembekal utama teknologi tersebut.

Gol pertama yang diadili dengan GLT dalam Piala Dunia adalah cubaan gol Karim Benzema ketika Perancis menentang Honduras di peringkat kumpulan.

Gol tersebut disahkan sebagai jaringan sendiri oleh penjaga gol Honduras.

Bercakap kepada goal.com, Frank Lampard sangat meyokong penggunaan teknologi tersebut.

Lampard menyifatkan jaringan beliau yang dibatalkan pengadil sebelum ini telah menjadi titik tolak kepada penggunaan GLT dalam bola sepak.

Bagaimana ia berfungsi?

Setiap teknologi garisan gol menggunakan kaedah dan sistem yang berbeza-beza. Hanya teknologi yang diiktiraf oleh FIFA sahaja boleh digunakan.

Sistem GLT adalah automatik. Isyarat gol akan dihantar serta merta kepada jam tangan khas yang digunakan oleh pengadil dalam masa 1 saat.

Namun begitu dalam Piala Dunia 2014, FIFA tetap memberikan pengadil kuasa sebagai penentu mutlak keputusan.

Isyarat akan dihantar kepada pengadil dalam masa 1 saat. Pengadil akan berhubung dengan bilik kawalan dan memberitahu sama ada beliau memerlukan keputusan GLT atupun tidak. Jika tidak, GLT tidak akan dipaparkan.

Untuk mendapatkan pengiktirafan daripada FIFA, GLT perlu melalui beberapa fasa ujian dengan jawatankuasa khas FIFA.

Berikut adalah 5 teknologi yang telah diberikan pengiktirafan dan diberikan lesen oleh FIFA untuk GLT.

1. GoalControl

Ia adalah teknologi daripada Jerman yang menggunakan 14 kamera berkelajuan tinggi yang dipasang di semua penjuru stadium. Setiap 7 kamera akan fokus kepada setiap 1 permukaan gol.

GoalControl telah menjadi pilihan utama FIFA dalam implementasi GLT. Ujian pertama dilakukan pada Piala Konfederasi FIFA 2013.

Pada Piala Dunia 2014, GoalControl turut menjadi pilihan FIFA.

2. Hawk-Eye

Ini adalah teknologi yang paling popular dalam GLT. Ini mungkin kerana ia menjadi teknologi GLT pertama yang digunakan secara meluas dalam EPL musim 2013/14; liga Eropah pertama yang menggunakan GLT.

Hawk-Eye sebelum ini sudah lama digunakan dalam sukan kriket, tennis, dan snooker. Kini ia turut digunakan dalam sukan seperti badminton.

Ia mirip dengan sistem GoalControl. Hawk-eye menggunakan kamera berkelajuan tinggi dengan 7 kamera khas dipasang untuk fokus kepada 1 garisan gol.

Hawk-Eye dan GoalControl masing-masing bole menghasilkan keputusan yang tepat walaupun sudut padangan beberapa kamera mereka terhalang.

3. Sistem GLT Cairos

Ia adalah satu teknologi yang dibangunkan oleh Adidas, dimana ada cip ‘sensor’ di pasang di dalam bola. Ia berbeza dengan GoalControl dan Hawk-Eye yang menggunakan kamera berkelajuan tinggi.

Sensor yang dipasang di dalam bola ini akan mengesan medan magnet yang dihasilkan oleh wayar nipis yang dipasang di bawah kotak penalti.

Komputer menjejaki kedudukan bola tersebut melalui cip sensor. Isyarat akan dihantar kurang dari 2 saat apabila bola melintasi garisan gol.k,kk

4. GoalRef

Digunakan untuk kali pertama pada Piala Dunia Kelab FIFA 2012. Teknologi dari Jerman ini menggunakan prinsip asas induksi magnet.

Medan magnet yang dihasilkan sekitar lingkaran tiang gol akan bertindak balas terhadap gerakan bola yang dipasang dengan litar elektronik pasif, melepasi kawasan gol.

5. GoalMinder

Ia mirip dengan GoalRef cuma ia menggunakan kamera berkelajuan tinggi yang dipasang di sekitar tiang gol. Ia akan menghantar rakaman tersebut kepada pengadil dan membiarkan pengadil membuat keputusan.

Kesimpulan

GLT adalah teknologi yang memudahkan tugas pengadil dalam membuat keputusan paling penting dalam perlawanan bola sepak.

Namun begitu, kos yang tinggi membuatkan teknologi ini tidak mampu dimiliki oleh banyak pasukan-pasukan di liga utama di Eropah. Masih banyak liga ataupun negara yang tidak mampu melaksanakan penggunaan GLT kerana masih banyak kelab La Liga yang tidak mampu.

Untuk GoalControl dengan Hawk-Eye, kos keseluruhan dikatakan berjumlah sekitar £250,000.

Berbanding dengan VAR, GLT ternyata kurang kontroversi kerana kecekapannya dan konsistensi dalam keputusan.