Bagnaia Bagi Amaran Kepada Ducati Agar Jangan Bagi ‘Team Order’ Agar Bastianini Mengalah Untuknya

Layanan istimewa diterima pelumba Ducati Lenovo, Francesco Bagnaia, untuk memenangi kejuaraan dunia MotoGP 2022.

Ducati akan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan Francesco Bagnaia menang dalam baki perlumbaan MotoGP 2022.

Ducati malah mengarahkan tujuh pelumba lain supaya tidak menyentuh Bagnaia untuk menang.

Seorang lagi pelumba Ducati diminta tunduk kepada Bagnaia. Sudah tentunya Bagnaia menjadi anak kesayangan Ducati kerana harapan untuk merangkul kejuaraan terpaut di bahunya.

Dia kini berpotensi mengikut jejak langkah Casey Stoner yang mampu menghadiahkan gelaran pada musim 2007 lalu.

Dengan kemenangan dalam MotoGP San Marino 2022, Bagnaia kini hanya ketinggalan 30 mata di belakang Fabio Quartararo (Monster Energy Yamaha) dalam carta pendahulu kedudukan.

Namun ada perkara yang dilakukan Ducati yang membuatkan Bagnaia tidak selesa iaitu ‘Team Order’.

Satu arahan daripada pasukan untuk membantu seseorang pelumba mencapai kejayaan dengan mengorbankan kedudukan pelumba lain.

Ducati sebelum ini dilaporkan memberikan amaran keras kepada Enea Bastianini agar mengutamakan Bagnaia. Misalnya, Bastianini berada di hadapan Bagnaia, dia harus memperlahankan tungangannya untuk memberikan peluang kepada Bagnaia mengutip mata lebih banyak.

Terutama sekali jika berada dalam kedudukan 1 dan 2.

Sebelum ini bos Ducati menganggap tindakan Bagnaia dan Bastianini di atas litar memberikan risiko kepada pasukan. Merujuk kepada kepentingan untuk Bagnaia sendiri.

Perkara itu membuatkan Bagnaia tidak selesa. Dia mahu menang sebagai jantan sebenar. Buat masa ini dia mahukan kedua dua mereka diberikan layanan yang sama untuk mencari kemenangan.

Sindiran terbuka ditujukannya kepada pengetua pasukan dan pengurusannya ketika dia bercakap kepada La Gazetta dello Sport.

Di mana Bagnaia berkata: “Tidak perlu bermain dengan ‘team order’ berpasukan, saya juga tidak mahu itu.”

“Jika saya boleh menang, saya mahu melakukannya sendiri, bukan kerana seseorang membenarkan saya memenanginya dengan meberikan laluan kepada saya,” tambah beliau lagi.

“Mungkin pada perlumbaan terakhir tahun ini, [di mana Bastianini tidak berada dalam persaingan kejuaraan lagi masa itu] jika akan sedia menerima bantuan, team order seperti itu akan diterima. Tetapi bukan pada masa ini. Dan ya, memang benar semua orang sedang fokus dalam perlumbaan mereka sendiri,” kata Bagnaia,

Bagnaia berkata Bastianini juga pastinya mempunyai matlamat tersendiri untuk menang dalam setiap perlumbaan pada musim ini.

Bastinini dan Bagnaia dari Ducati menunjukkan persaingan yang hebat dalam MotoGP kali ini.

Malah ada peminat menganggap pelumba tersebut mengingatkan mereka kepada persaingan 2 pelumba kompetitif dalam satu pasukan yang sama ketika Valentino Rossi dan Jorge Lorenzo di Yamaha.

Bagnaia menambah: “Ia akan menjadi sukar. Bagaimanapun, seperti yang berlaku pada Jack Miller, jika kami berjaya melakukan kerja yang baik di pit, maka dalam perlumbaan kami akan berpeluang untuk berada di tempat pertama dan kedua beberapa kali.”

“Saya rasa dia (Bastianini) akan menjadi lawan yang hebat, seperti Jack,” kata Bagnaia.

Mempunyai matlamat yang sama seperti membawa Ducati ke zaman kegemilangan mereka, Bagnaia akan menjadi profesional dengan menganggap Bastianini sebagai musuh di trek dan rakan di luar perlumbaan.

Dia berkata, dia tak akan makan hati jika Bastianini menewaskannya dalam perlumbaan. Dia menepis dakwaan bahawa perkara itu seolah olah mencipta permusuhan antara satu pasukan. Sebaliknya lebih menganggap ia sebagai mencipta persaingan sihat secara profesional.

“Saya tidak faham perkara ini dianggap mencipta perseteruan [permusuhan]. Kami semua berada di sana dengan matlamat yang sama dan kami menghormati satu sama lain,” kata Bagnaia.

“Saya sudah tentu berkawan dengan Enea, tetapi kami adalah pesaing seperti yang lain. Ini adalah perkara yang direka reka oleh mereka yang menonton Grand Prix dan yang menyokong mereka,”

“Dan itu perkara biasa, adalah hak bagi sesiapa sahaja untuk memilih siapa yang akan disokong,” kata Bagnaia.