Balotelli Akhirnya Menerima Bahawa Dia Tidak Lagi Setaraf Messi Dan Ronaldo

Ketika dia mula meningkat naik, Mario Balotelli mampu memukau peminat dengan aksinya. Dia merupakan seorang penyerang yang cepat mendapatkan peak ketika muda.

Siapa akan lupa aksi Mario Balotelli ketika menentang Jerman pada Euro dahulu? Salah satu aksi individu terbaik dalam sejarah bola sepak Itali yang sarat dengan nama legenda.

Pada usianya yang sangat muda, Balotelli sudah memiliki fizikal yang kuat dan kemampuan mencetak gol yang semulajadi. Namun semakin dia dewasa, semakin hanyut dan leka.

Terlalu banyak main main membuatkan dia seringkali terlibat kontroversi yang sedikit sebanyak mempengaruhi prestasinya. Bekas penyerang Inter, Milan, City dan Liverpool itu seringkali membuat perkara perkara bodoh.

Kini dia bermain untuk kelab Turki Adana Demirspor. Dia kembali menikmati bola sepak dan berada dalam radar Mancini untuk dipanggil semula ke dalam pasukan kebangsaan. Malah prestasinya di Turki membuatkan beberapa kelab dari eropah lain cuba memancingnya pada Januari lalu.

Antara kelab yang mahukan Balotelli adalah kelab kaya baru iaitu Newcastle United. Berita tentang minat Newcastle itu disahkan sendiri oleh presiden kelab Adana Demirspor iaitu Murat Sancak.

Bercakap keapda Fanatik, Murat berkata: ” Newcastle mempertimbangkan untuk mendapatkan Balotelli. Tetapi tiada tawaran rasmi dibuat.”

“Ada klausa pelepasan dalam kontrak Balotelli. Tetapi buat masa ini saya tak akan beritahu kamu berapa angkanya.”

Namun perpindahan itu gagal dicapai kerana tiada kesepakatan harga dan Mario Balotelli tidak terdesak untuk berpindah ke England sekali lagi.

Pencapaian terbaik Balloteli boleh dikatakan ketika dia masih dalam seragam Nerazzurri, di mana dia berjaya menghadiahkan beberapa gelaran berprestij, termasuk tiga trofi Liga Itali dan satu gelaran Liga Juara-Juara pada musim 2009/10.

Selain daripada kontroversi atas padang dan kelakuan di luar padang, dia juga tidak terlepas daripada kenyataan kontroversi, sama ada dalam nada serius atau bergurau. Terbaru, pemain berusia 31 tahun itu mendakwa dia setaraf dengan dua bintang besar dalam bola sepak  iaitu Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.

Lionel Messi dan Ronaldo kini memiliki 12 Ballon d’Or terkumpul di antara mereka. Namun Balotelli merasakan bahawa dia setaraf dengan dua pemain tersebut/ dari segi kualiti.

“Saya 100 peratus pasti kualiti saya berada pada tahap yang sama dengan pemain-pemain itu [Ronaldo dan Messi],” kata Balloteli dalam temu bual dengan The Athletic.

Namun akhirnya dia akur bahawa dia tidak menggunakan kesempatan yang ada lebih baik seperti mana Messi dan Ronaldo yang terus serius berlatih dan bekerja keras setiap hari.

“Tetapi saya terlepas beberapa peluang, awak tahu? Ia sudah berlaku.”

Balotelli ternyata menyesal kerana dia tak pernah serius dalam usaha menjadi yang terbaik. Dia hanya bermain bola sepak dengan bergantung kepada bakat semulajadinya. Berlatih cuma untuk melengkapkan jadual semata mata. Itupun dia masih lagi memiliki karier yang bagus dan bermain dengan kelab kelab ternama.

“Dan sekarang ini, saya tidak boleh mengatakan saya sehebat Ronaldo, kerana Ronaldo memenangi berapa banyak bola emas [Ballon d’Or]? lima? Anda tidak boleh membandingkan diri anda dengan Messi dan Ronaldo, tiada siapa boleh melakukannya.”

Bagaimanapun, Balotelli merasakan dia masih penyerang yang mempunyai kualiti yang layak untuk berada dalam pasukan besar.

“Tetapi jika kita hanya bercakap tentang kualiti, bola sepak berkualiti, saya tidak perlu iri hati mereka, sejujurnya saya rasa saya memiliki kualiti yang tersendiri.”