Bangganya Shevchenko Tinggalkan Ukraine Dengan DNA Bola Sepak Moden

Andriy Shevchenko tidak lagi menjadi jurulatih pasukan kebangsaan Ukraine. Kerjasaman antara kedua dua pihak secara rasmi berakhir dengan tamatnya tempoh kontrak legenda Ukraine itu.

Shevchenko dilantik sebagai jurulatih pasukan kebangsaan Ukraine pada bulan Julai 2016. Shevchenko menganggap ini adalah pengalaman dan perjalanan yang tidak akan dilupakannya.

Lebih lebih lagi beliau sebelum ini tidak pernah melatih mana mana kelab dan pasukan.

Shevchenko gagal menunaikan tugas pertamanya apabila gagal membantu Ukraine melayakkan diri ke Piala Dunia 2018. Namun beliau menebusnya dengan layak ke Euro 2020 dan kemudian mara ke suku akhir, sebelum disingkirkan England dengan kekalahan 0-4.

Itu adalah tugasan terakhir Shevchenko bersama Ukraine. Selepas legenda AC Milan berusia 44 tahun itu memutuskan untuk berpisah dengan pasukan kebangsaan sebaik sahaja kontrak berakhir.

Sheva tetap bangga kerana berjaya membuktikan kepada dunia bahawa mereka sebenarnya mampu bermain dengan corak bola sepak moden. Berbeza dengan klasik Ukraine yang berasaskan parking bas dan serang balas.

Shevchenko berkata: “Hari ini, kontrak saya dengan Persatuan Bola Sepak Ukraine tamat. Saya menghabiskan lima tahun dengan pasukan kebangsaan. Kerja keras yang membuktikan bahawa kami mampu bermain bola sepak moden,” kata Shevchenko, yang dipetik dari akaun Instagram rasminya.

Sebagai rekod, Shevchenko memimpin Ukraine dalam 52 perlawanan antarabangsa. Mencatatkan 25 kemenangan, 13 seri, dan 14 kekalahan. Shevchenko mengucapkan terima kasih kepada pihak-pihak penting dalam perjalanannya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada presiden dan jawatankuasa eksekutif UAF untuk peluang bekerja dengan pasukan kebangsaan.”

“Saya mengucapkan terima kasih kepada setiap pemain, semua orang yang membantu dan terlibat dalam pasukan. Terima kasih banyak kepada semua peminat atas sokongan dan kritikan mereka,” kata Shevchenko.

“Bersama-sama, kami telah berjaya membuktikan bahawa bola sepak kita dapat berdaya saing, produktif dan menarik. Dengan keyakinan penuh di Ukraine,” kata Shevchenko lagi.

Pastinya beliau berharap DNA bola sepak moden yang beliau terapkan dalam skuad kebangsaan mereka akan mampu diteruskan dan dikekalkan.


 

BACA JUGA: Shevchenko Membuktikan Dia Coach Muda Yang Padu Dan Berjiwa Besar

Ukraine tersingkir dari suku akhir Euro 2020.  Ini selepas mereka tewas 4-0 di tangan England dalam aksi suku akhir.

Namun seperkara yang menarik tentang Ukraine pada kali ini adalah kualiti pengurusan dan kejurulatihan yang diketuai Shevchenko.

Pada usianya yang muda dalam arena pengurusan, Shevchenko membuktikan bahawa dia sebenarnya seorang pengurus yang sangat baik dalam mencorak bola sepak Ukraine dengan acuan beliau.

Shevchenko membina semula Ukraine dengan acuannya

Bukan perkara yang mudah untuk pengurus muda membentuk DNA permainan pasukan mengikut kehendak mereka dan mendapat hasil yang positif. Shevchenko ternyata berjaya melakukannya.

Harus diakui, statusnya sebagai legenda nombor 1 di Ukraine mungkin, saya katakan ‘mungkin’, menjadi faktor tambahan membantu beliau melakukan tugasannya dengan dibantu oleh FA Ukraine tanpa banyak songeh.

Sejak Sheva tiba di kem kebangsaan Ukraine pada 2016 beliau telah mengubah corak permainan Ukraine. Sebelum beliau tiba, Ukraine hanyalah pasukan yang defensif, dan bermain bola lambung. Di mana mereka bertahan di bawah dan cuba mengharapkan kesilapan lawan untuk melakukan serangan balas.

Membuang DNA lapuk Ukraine

Selebihnya mereka bergantung kepada keajaiban dijelmakan beberapa pemain yang ada kualiti individu. Mereka hanya bermain berpasukan ketika bertahan namun ketika menyerang lebih begantung kepada ‘nasib’ dan kualiti individu.

Malah ketika berdepan dengan lawan yang lemah, Ukraine tetap gagal bermain baik kerana mereka sudah terikat dengan gaya permainan yang dibentuk tanpa ada keyakinan tinggi dalam diri mereka.

Apatah lagi ketika bertemu pasukan besar. Walaupun lawan mereka sudah menaikkan semua pemain mereka, Ukraine tetap kurang idea untuk menyerang balas kerana mereka selesa bertahan dan menunggu arahan pengurus untuk melakukan serangan balas.

Boleh dikatakan para pemain Ukraine ketika itu tidak dapat membuat keputusan sendiri, kerana sudah terbiasa menunggu arahan daripada pengurus. Risau melakukan kesilapan di atas padang.

Dalam bola sepak, elemen seperti ini yang akan menghalang kreativiti dan keyakinan para pemain.

Pemain yang beradaptasi

Lalu Shevchenko mengubah wajah bola sepak Ukraine dengan acuan beliau. Sekarang ini, Ukraine bukanlah pasukan yang membenarkan lawan mereka memiliki penguasaan 70% dengan sewenang wenangnya.

Mereka bermain dengan sistem pressing mereka sendiri. Kemudian mereka bermain dengan banyak pertukaran hantaran antara pemain mereka.

Shevchenko sukakan sistem serangan bertiga terutama sekali dengan sistem 4-3-3. Namun mereka juga sukakan sistem 3-5-2 ataupun 5-3-2. Para pemain mereka boleh bermain dengan pelbagai formasi dengan baik dan kesefahaman yang tinggi.

Shevchenko dibantu oleh Mauro Tassati, telah melakukan tugas mereka dengan baik.

Masih gugup bertemu pasukan elit

Cuma masalah utama mereka adalah kegagalan ketika berhadapan dengan pasukan yang besar seperti England. Shevchenko masih mencari idea untuk memastikan pemain pemain mereka tahu cara bermain perlawanan menentang lawan seperti itu.

Selain itu, pasukan Ukraine pada kali ini agak kurang pengalaman. Di mana purata umur mereka sekitara 26.4 tahun. Menentang England, kesebelasan utama mereka dengan purata umur 25.7 tahun.

Ramai pemain yang baru merasai pengalaman bermain di pentas antarabangsa seperti Euro, misalnya Ilya Zabarnyi, salah seorang pemain bek tengah mereka berusia 18 tahun.

Pemain pemain muda ini gugup berdepan dengan nama besar. Dalam kesemua 5 perlawanan, para pemain muda ini seringkali bergelut untuk mengekalkan rentak pada separuh masa kedua termasuk aksi berdepan Macedonia.

Berhadapan dengan England, mereka bermain dengan baik pada separuh masa pertama. Namun selepas England bermain dengan lebih agresif pada separuh masa kedua, Ukraine menjadi lemas.

Isu mentaliti ni memang bukan perkara yang boleh dilatih di atas padang latihan. Ianya adalah berkaitan motivasi dan dalam diri pemain itu sendiri.

Namun kelebihannya, pengalaman pertama ini akan menjadi perkara penting untuk para pemain ini pada jangka masa panjang.

Andriy Shevchenko sangat berani menggunakan pemain pemain mudanya. Dan beliau tahu, pemain pemain ini ada masa dan banyak ruang lagi untuk meningkat.

Kualiti liga

Ukraine ada masalah kebersatuan di dalam bola sepak mereka. Di mana di negara mereka, para peminat kadangkala masih membawa isu kelab ke pasukan kebangsaan.

Mereka selalu mempersoalkan kenapa pemain dari kelab ini harus dipilih lebih banyak daripada kelab lain. Tetapi di bawah Shevchenko para peminat Ukraine lebih bersatu kerana figura itu disukai semua.

Dalam pasukan Ukraine yang bermain dalam Euro kali ini, daripada 26 pemain, 18 berpangkalan di Liga Ukraine, 10 pemain dari Dynamo Kyiv, 7 dari Shakhtar Donetsk, 1 dari Dnipro.

Sheva menggunakan sepenuhnya kualiti daripada dua kelab utama Ukraine itu untuk membentuk pasukan. Kerana di Ukraine, hanya dua pasukan itu yang benar benar memiliki struktur pengurusan setaraf pasukan liga utama Eropah yang lain.

Walaupun di dalam liga, Dynamo Kyiv dan Shakhtar adalah musuh ketat. Namun di kem kebangsaan, para pemain mereka dapat digabungkan dengan baik. Selepas melihat hasil yang positif dalam kempen UNL di mana mereka berada dalam kumpulan A atas merit.

Dalam beberapa ketika, Ukraine menunjukkan bahawa mereka mampu bersaing dengan pasukan elit. Namun tidak konsisten.

Sheva lebih tahu

Para peminat mulai menerima hakikat bahawa Sheva telah membuat keputusan untuk negaranya bukannya atas dasar favoritism. Malah peminat mulai menerima kehadiran Yarmolenko dan Stepanenko yang mereka tuduh sudah berakhir era mereka pada sebelum ini.

Shevchenko membentuk sebuah pasukan kerdil menjadi pasukan yang boleh bermain dengan cara mereka sendiri dalam masa sangat singkat.

Hasilnya, mereka layak ke suku akhir Euro selepas dua edisi sebelum ini mereka tersingkir di peringkat kumpulan sahaja. Ukraine sentiasa mempamerkan aksi menarik dalam Euro kali ini.

Beliau menjadi pengurus pertama melakukannya untuk Ukraine. Anak jati Ukraine pulak tu.

Malangnya, mereka dihantui oleh masalah lama mereka iaitu kurang yakin dalam berhadapan dengan lawan besar seperti England.

Sheva juga berjaya mengeluarkan bakat bakat yang hebat daripada Euro kali ini seperti Yaremchuk, Matvienko, Tsyhankov, Zabarnyi, Trubin dan Shaparenko. Yang boleh dikatakan sudah boleh berharap ada tawaran dari kelab besar untuk mereka.

Perlukan lebih banyak eskport ke liga elit

Salah seorang peminat bola sepak Ukraine menyatakan bahawa, harus diakui, liga Ukraine masih perlukan perubahan dari segi kualiti. Walaupun pemain dari Dynamo Kyiv dan Shakhtar bermain di pentas Eropah, mereka masih tidak cukup bagus berbanding dengan lawan dari liga elit lain.

Di dalam perlawanan besar berdepan kelab besar di UCL atau UEL kedua dua pasukan seringkali bertahan dan menyerang balas sebagai taktikal utama. Itulah yang kadangkala menjadi masalah terbesar untuk Sheva di pasukan kebangsaan. Kerana dia mahu membentuk pemain dengan mentaliti elit pada setiap perlawanan.

Lalu mereka berharap akan lebih banyak eskport pemain Ukraine ke liga besar Eropah lain untuk mewujudkan pasukan yang benar benar berani berdepan dengan lawan besar. Daripada 8 pemain yang bermain di luar Ukraine, hanya Oleksandr Zinchenko, Andriy Yarmolenko, dan Ruslan Malinovskyi yang merasai bermain berdepan lawan elit dalam semusim.

Seterusnya, diharap lebih banyak pemain Ukraine yang akan meninggalkan kelab seperti Dynamo dan Shakhtar untuk kelab di liga utama Eropah. Kerana setakat ini, kedua dua kelab tersebut lebih banyak menjual pemain dari luar Ukraine berbanding bakat dari negara sendiri. Ini kerana kurangnya pemain dari Ukraine yang benar benar menarik perhatian kelab dari liga utama Eropah.

Rumusan

Shevchenko berjaya membuktikan beliau pengurus yang bagus dengan para pemain mudanya yang kurang pengalaman dalam kejohanan sebenar.

Tetapi dari segi DNA bola sepak, beliau sudah berjaya pada peringkat fasa awal yang beliau mahukan. Di mana beliau mahu satu pasukan bermain dan bercakap bahasa bola sepak yang sama.

Shevchenko menguruskan Ukraine dengan semangat, jiwa dan patriotisme kepada negaranya.

Namun sudah pastinya Ukraine berdepan dengan cabaran untuk mengekalkan Shevchenko untuk jangka masa yang panjang. Kerana prestasi dan reputasi beliau kini sudah melonjak.

Sudah pastinya banyak kelab besar yang mengintai khidmatnya. Maka tidak hairanlah sebelum ini Chelsea dan Roman Abramovich menyenaraikan nama Shevchenko dalam senarai dimahukan mereka di Stamford Bridge.

Baca yang lain