Bantu Real Madrid Ke Puncak Liga, Kylian Mbappe Akui Sudah Dapat Rentak

Kylian Mbappe memberitahu wartawan bahawa dia kini sudah serasi dengan taktikal Real Madrid dan tidak lagi kekok berada di atas padang bersama dengan mereka.

Mbappe melalui permulaan yang sukar di Real Madrid. Ditambah dengan isu di luar padang yang membelenggunya sehinggakan Didier Deschamps menasihatinya pergi mendapatkan rawatan kaunseling.

Kini Mbappe semakin menemui sentuhannya. Terbaru dia mencetak 2 lagi gol dalam kemenangan ke atas Las Palmas. Di mana Real Madrid menang 4-1 dalam perlawanan tersebut.

Prestasi Mbappe membuatkan penyokong Real Madrid semakin lega. Real Madrid kini berada di puncak La Liga memintas Atletico Madrid.

Real Madrid dua mata di atas Atletico dan 7 mata di atas Barcelona yang berada di tangga ketiga.

Bercakap kepada wartawan selepas perlawanan, Mbappe berkata: “Saya sekarang sudah berjaya menyesuaikan diri dengan pasukan. Saya boleh bermain dengan cara yang saya mahukan dengan rakan rakan sepasukan serta personaliti yang kami ada.

“Selepas Super Cup, peminat kami kurang gembira. Dan ini perkara normal. Apabila kamu bermain untuk Real Madrid, kamu harus cuba memenangi setiap perlawanan.”

Kylian Mbappe setakat ini sudah mencetak 18 gol dan 4 assist daripada 30 perlawanan bersama Real Madrid. Pencapaian yang boleh dikatakan agak baik untuk Mbappe.

Mbappe menyertai Real Madrid secara percuma dari PSG. Mbappe akui dia peminat Real Madrid dari kecil dan mahu mengikut jejak langkah idolanya seperti Cristiano Ronaldo.

Dia menjadi pemain bola sepak yang sensasi kerana meningkat naik dengan sangat cepat pada usianya sangat muda.

Ketika masih remaja dia sudah menjadi pemain utama yang membantu Perancis menjuarai Piala Dunia 2018.

Ketika tiba di Real Madrid, dia berdepan dengan krisis prestasi pada awalnya. Selain daripada isu di luar padang, dia juga bergelut dengan peranan lebih sebagai no.9.

Hal ini kerana posisi terbaiknya sudah menjadi milik Vinicius Jr. Namun Mbappe secara perlahan lahan menyesuaikan diri dengan sistem dan taktikal Ancelotti.

Dan Mbappe ketika ini menghampiri tahap terbaiknya sekali lagi.

Carlo Ancelotti melabel Mbappe sebagai no.9 terbaik di dunia pada ketika ini.

“Dia sebenarnya no.9 terbaik di dunia. Kita boleh turunkan dia sebagai pemain sayap, namun pada masa ini, tiada pemain no.9 di dunia ini yang lebih baik daripada Kylian Mbappe,” tegas pengurus asal Itali itu.

Mbappe kini berada di tangga kedua dalam persaingan kasut emas La Liga dengan 12 gol. Hanya 4 gol di belakang pendahulu, Robert Lewandowski.

Pengurus Las Palmas sendiri memuji Mbappe: “Kalaulah Mbappe sebegini bagus ketika dia dianggap tidak dalam prestasi terbaik. Korang bayangkan jika dia dalam prestasi terbaiknya..”