Baran Bruno Fernandes Menyamai Roy Keane?

Pada Januari lepas Manchester United telah membeli Bruno Fernandes dengan harga £68 juta termasuk klausa tambahan dan bonus. Pemain Portugal ini mengangkat prestasi pasukan dari kedudukan pertengahan liga hingga layak ke Liga Juara Eropah.

Fernandes diketahui mempunyai keinginan tinggi dalam permainan, namun disebalik keinginan tinggi itu tersembunyi sikap baran atau cepat marah. Ia mendatangkan kesan yang baik dan buruk untuk pasukannya.

Berikut beberapa insiden yang memperlihatkan marahnya.

KECAMAN KEPADA RAKAN SEPASUKAN DI SPORTING

Bruno Fernandes merupakan kapten kelab gergasi Portugal ini. Ketika Sporting Lisbon mengalami prestasi buruk dia telah mengkritik rakan sepasukannya. Kritikan yang dirakam itu terdedah kepada umum.

Rakaman itu meluahkan perasaan Fernandes ke atas beberapa rakan sepasukannya. Dia mendakwa terdapat beberapa pemain tidak mempunyai hati untuk bermain disana. Mereka hanya datang, mahu membuat wang dan pergi. Fernandes melabelkan mereka sebagai P*****k.

INSIDEN DI MANCHESTER DERBY

Selepas 2 bulan tiba di Old Trafford, Manchester United mengharungi derby Manchester pada Mac lepas. Jika ada yang menjangkakan pemain ini tidak akan melakukan apa-apa tindakan luar biasa kerana dia merupakan pemain baharu Liga Perdana ternyata ia silap.

Pada perlawanan tersebut, TV merakamkan satu insiden menyaksikan Fernandes bertelagah dengan Pep Guadiola. Pemain ini memberikan isyarat diam kepada pengurus terkenal di dunia itu. Ia mengejutkan ramai pihak dan menunjukkan Fernandes tidak memberi perasaan hormat kepada pengurus itu.

Fernandes kemudiannya berkata sesetengah orang akan mempersoalkan tindakannya itu. Pep Guardiola sudah memenangi segalanya, siapa Bruno untuk melakukan perkara seperti itu. Bagaimanapun dia mengatakan tidak akan mengulanginya lagi kerana sikap hormat perlu ditunjuk kepada pengurus itu.

Namun Fernandes menegaskan kejadian itu berlaku kerana kata-kata Guardiola membuatkannya marah dan ketika itu dia agak gementar di dalam padang.

FERNANDES BIDAS GREENWOOD

Fernandes dilaporkan berang terhadap Mason Greenwood. Menurut laporan dari The Times, pemain ini marah apabila pemain antarabangsa England itu tidak dapat mengambil hantarannya dalam satu latihan.

Fernandes dilaporkan telah mengecam pemain muda itu kerana malas dan insiden itu dikatakan menjadi penyebab Greenwood tidak disenaraikan ketika bertemu Everton.

Insiden pemain Portugal ini mengamuk di dalam bilik persalinan ketika mereka tewas kepada Tottenham (1-6) juga menampilkan sikap Fernandes. Semua peminat tahu pemain ini mempunyai semangat juang yang tinggi. Dia mempunyai keghairahan luar biasa namun sikap itu kadang-kadang boleh menjejaskan pasukannya sendiri.

Alex Ferguson pernah melabelkan Roy Keane mampu menghancurkan pemainnya sendiri terutamanya pemain muda tetapi tidak dinafikan sikap sebegini ada kalanya disukai para peminat.