Barca Enggan Bayar Tunggakan Gaji Setien Kerana Tak Capai KPI

Cadena SER Sepanyol melaporkan bahawa Barcelona enggan melunaskan baki bayarang gaji Quique Setien yang dipecat pada 15 September lalu.

Untuk pengetahuan pembaca, di Eropah gaji biasanya dibayar berpenggal. Ada yang membayar dua kali setahun – setiap enam bulan. Ada juga yang membayar terus separuh daripada kontrak. Misalnya dibayar terus 2 tahun pertama daripada 4 tahun kontrak.

Dan baki dua tahun lagi akan dibayar pada tahun ketiga. Ianya berdasarkan jadual pembayaran yang dipersetujui. Jadi, tak ada la mereka tunggu gaji setiap hujung bulan.

Berbalik kepada kes Quique Setien, pengurus tersebut masih ada baki gajinya di Barcelona. Dan pihak pengurusan Barca telah berbincang dan mahu mengelak membayar gaji tersebut.

Alasan utama mereka adalah Quique Setien tidak menepati KPI yang telah ditetapkan oleh pasukan.

Barcelona sudah menyediakan hujah untuk berdepan dengan Setien di mahkamah sekiranya bekas pengurus itu memilih untuk membantah tindakan mereka.

Tak capai KPI

Antaranya ialah, Setien dianggap tidak kompeten dan tidak menjalankan tugasnya dengan baik di Barcelona.

Barcelona menuduh Setien tidak dapat menunaikan janji dan manifestonya ketika tiba di Barcelona. Terutama sekali dari segi DNA permainan bola sepak. Ini adalah pertimbangan utama kenapa Barcelona enggan membayar baki gajinya.

Menurut Barca mereka tidak nampak gaya permainan yang signifikan yang mahu dipamerkan oleh Setien bersama Barcelona.

Barcelona turut mengingatkan Setien bahawa beliau diberikan pasukan yang merupakan juara liga pada tahun sebelumnya, namun gagal dalam tahun berikutnya termasuk kekalahan memalukan dalam suku akhir Liga Juara Juara Eropah di tangan Bayern Munich.

Setien dipecat serta merta selepas kekalahan tersebut. Ia dianggap pencapaian yang memalukan kelab.

Seterusnya Barcelona juga menegaskan bahawa Setien kehilangan mandat di pusat latihan serta bilik persalinan. Ramai pemain Barcelona mengeluh dengan Setien.

Antaranya Lionel Messi yang secara terbuka tidak sehaluan dengan staf kejurulatihan Setien.

Setien gagal kawal pasukan

Dalam satu insiden, berlaku ketegangan di antara Lionel Messi dan penolong jurulatih Barcelona, ​​Eder Sarabia dalam perlawanan menentang Celta Vigo.

Semasa rehat minum air untuk menyejukkan badann, Sarabia cuba bercakap dengan Messi, tetapi pemain Argentina itu tidak mengendahkannya dan pergi berlalu.

Semasa kejadian itu, Quique Setién kelihatan sangat kecewa dengan apa yang berlaku.

Beberapa bulan sebelumnya, pembantu jurulatih, Sarabia dikritik hebat kerana mulutnya yang suka bercakap kasar, termasuk terhadap Gerard Piqué, Antoine Griezmann, De Jong, Sergio Busquets, dan Nelson Semedo.

“Ini adalah sialan, sialan, hantaran panjang tu sialan,”

“Dia tidak melakukan apa-apa yang seharusnya dia lakukan, persetubuhan neraka [f * ing hell].”

Itu adalah beberapa contoh ayat kesat ketika dia berteriak kepada para pemain dari bangku simpanan. Namun selepas itu, Sarabia telah meminta maaf di bilik persalinan setelah Setién menyuruhnya tenang.

Lionel Messi kemudian dilihat mengabaikan Sarabia yang mahu memberikan arahan kepadanya. Malah Luis Suarez terpinga pinga memanggil Messi.

Ada sesetengah peminat mengecam tindakan Messi yang dianggap biadap dan juga bersikap seolah olah dia lebih besar daripada kelab. Namun ada yang mempertahankan tindakan Messi. Dengan menyatakan, dia biadap kepada jurulatih yang biadap dan tidak menghormati pemain serta celupar.

Sumber daripada Barcelona menggambarkan insiden Sarabia sebagai berikut: “Nampaknya dia lebih berkuasa daripada ketua jurulatih dan tidak ada yang mengenalinya kerana dia tidak melakukan apa-apa pada tahap profesional, bagaimana dia dapat memberikan arahan kepada Messi?”

Dilaporkan, ada juga perbincangan yang tegang di antara bilik persalinan dan jurulatih Quique Setién setelah aksi seri menentang Celta.

Di mana dua kali Barcelona mendahului. Dan dua kali mereka diikat. Sepakan percuma minit akhir oleh Iago Aspas memberikan tekanan kepada Barca. Barca kehilangan La Liga mereka pada musim tersebut.

Beban hutang tinggi

Barcelona kini berdepan dengan timbunan hutang yang sangat tinggi. Mereka dalam proses untuk melantik presiden kelab yang baharu. Dan keutamaan mereka adalah calon yang boleh mengeluarkan Barca daripada bebanan hutang terlalu tinggi.

Presiden Interim Barcelona, Carles Tusquets telah mengesahkan bahawa pemain di kelab tersebut tidak akan menerima gaji mereka untuk bulan Januari.

Ini kerana situasi kewangan kelab kini tengah berada dalam keadaan yang “membimbangkan”. Carlos Tusquets memberitahu perkara itu dalam wawancara dengan stesen radio Catalan RAC1.

Tusquets juga menjelaskan betapa teruknya keadaan kewangan kelab, walaupun telah membuat perjanjian untuk pemotongan gaji dengan pemain skuad pasukan pertama bulan lalu.

Pemotongan gaji itu membuatkan kelab kelab menjimatkan € 122 juta. Tetapi ia tetap tidak dapat mengatasi impak yang besar ditanggung mereka ketika ini.

Lantas Tusquets berterus terang sahaja bahawa Januari ini para pemain Barca tak akan mendapat gaji mereka. Namun beliau masih ‘penuh harapan’ bahawa para pemain akan menerima gaji mereka.

Tusquets mengatakan mengenai keadaan ekonomi di kelab tersebut: “Ini buruk. Ia membimbangkan, tetapi saya tetap penuh harapan.”

“Pemain tidak akan menerima pembayaran bulanan untuk bulan Januari.”

“Mereka mempunyai dua pembayaran, pada Januari dan Julai. Dan untuk Januari ini mereka tidak akan menerima pembayaran.”

“Ini ditangguhkan dengan cara yang sama seperti jenis gaji dan faedah lain yang ditunda, seperti bonus untuk memenangi gelaran. ”

Gaji Messi masih tertunggak sekitar EUR37 juta lagi bersama dengan Barcelona.

Akaun kelab menunjukkan bahawa hutang Barcelona meningkat dua kali ganda sepanjang kempen 2019/20 di tengah situasi kewangan yang sangat membimbangkan.

Angka kewangan kelab, seperti yang digariskan oleh Marca, menunjukkan bahawa hutang di kelab telah meningkat dari €217 juta pada bulan Jun 2019 menjadi €488 juta pada bulan Jun 2020.

Ianya jauh lebih tinggi daripada angka €300 juta yang diramalkan Bartomeu sebelum ini.

Dan terbaru, huntang Barcelona dilaporkan hampir €1 billion dengan €420 juta adalah wajib bayar pada tahun ini.

Tusquets kecam Bartomeu

Tusquets turut menyindir Bartomeu yang menurutnya meletakkan keadaan kelab di kedudukan lebih teruk kerana tidak menjual Lionel Messi.

Bartomeu sebelum ini takut mengambil keputusan yang boleh memburukkan lagi reputasinya.

Di mana ketika itu Bartomeu berkata: “Saya tak mahu dikenang sebagai presiden yang menjual Lionel Messi.”

Dengan situasi ekonomi yang melanda, tanpa kehadiran penyokong ke stadium, Tusquets menegaskan Bartomeu seharusnya membuat keputusan dengan menjual Lionel Messi.

Ini kerana Messi mahu keluar dan kelab seperti Man City dan PSG berminat dengan pemain itu.

Selain daripada mendapat duit masuk daripada harga penjualan Messi, kelab juga boleh menjimatkan wang dengan tiada angka gaji Messi yang terlalu tinggi.

Tusquets berkata: “Daripada sudut pandangan ekonomi, saya jual je Messi pada jendela musim panas hari tu. Kita pasti gembira dengan wang yang diterima dan juga wang yang kita boleh jimatkan dari segi gaji.”

Tindakan Barcelona yang dilaporkan cuba mengelak daripada membayar gaji penuh Setien mendapat reaksi peminat Barcelona sendiri yang merasakan tindakan itu tidak menggambarkan hala tuju Barcelona yang sebenar.

Ianya gambaran daripada kerosakan daripada pengurusan sebelum ini di bawah Bartomeu yang terlalu banyak berbelanja membeli pemain berimpak rendah dengan harga terlalu mahal.