Barca: “Kami Bayar Pengadil Kerana Mereka Selalu Memihak Real Madrid”

Nampaknya isu Barcelona membayar pengadil kian panas. Kini kelab Catalan itu memetik nama musuh tradisi mereka dalam perbicaraan kes tersebut.

Pengarah Barcelona mendakwa bos pengadil tertinggi di Sepanyol dibayar oleh kelab itu selama hampir dua dekad sebagai tindakan ‘mempertahankan diri’, menurut akhbar Sepanyol El Mundo.

Kelab itu didakwa melakukan rasuah berhubung pembayaran yang dibuat kepada Jose Maria Enriquez Negreira, naib presiden jawatankuasa pengadil Sepanyol ketika itu, dalam kes yang dibacakan pada Jumaat lalu.

Dakwaan itu menyatakan bahawa Negreira ‘sebagai pertukaran wang’ melakukan tindakan yang ‘membawa kepada Barcelona diberikan kelebiah dalam membuat keputusan pengadilan’.

El Mundo telah bercakap dengan bekas pengarah kelab dan diberitahu bahawa Barcelona melindungi dirinya daripada sikap berat sebelah terhadap mereka.

Versi cerita itu sepadan dengan yang diberikan oleh Negreira apabila dia pada asalnya disyaki oleh Hasil Dalam Negeri Sepanyol. Dia berkata bahawa Barcelona mengupahnya untuk menjamin pengadil ‘neutral’.

Pegawai tersebut berkata: “Kami membayar untuk mempertankan diri kami daripada ketidakadilan. Memandangkan pengadil selalu membantu Real Madrid.”

El Mundo berkata ia juga telah diberitahu secara sulit oleh bekas pengarah Barcelona bahawa hubungan itu tidak diputuskan dengan Negreira kerana dia mengancam untuk membalas dendam terhadap kelab dengan mendedahkan hubungan itu.

Ini sesuai dengan faks yang diterbitkan oleh El Mundo yang dihantar daripada peguam Negreira kepada kelab pada penghujung tahun 2019 dan permulaan tahun 2020 apabila kelab itu akhirnya berhenti membayar kepada Negreira, pada masa itu sudah menjadi bekas naib presiden Jawatankuasa Pengadil.

Pendakwa Raya di Sepanyol mendakwa Barcelona membayar Negreira €7.3 juta melalui dua syarikat yang dia berhutang – DASNIL dan NILSAT.

Penyiasat kini akan menyoal siasat bekas jurulatih Barcelona Luis Enrique dan Ernesto Valverde serta presiden Joan Laporta yang hampir menangis apabila dia bercakap kepada sekumpulan pemain Barcelona dari semua kategori sukan remaja pada hari Isnin memberitahu mereka dia emosi kerana dia terdesak mahu melihat individu yang tidak tahu malu mengotorkan lencana kelab itu.

Kebimbangan utama presiden adalah bahawa kekecohan di sekitar skandal itu tidak menjejaskan rancangan pembiayaan untuk stadium baharu.

Kelab itu sepatutnya memuktamadkan proses mendapatkan sokongan kewangan untuk projek pembinaan semula pada akhir bulan ini tetapi media Sepanyol telah melaporkan bahawa syarat kini mungkin berubah kerana skandal itu.

Kelab itu merancang untuk membuat pinjaman sehingga 1.5 bilion euro untuk pembinaan semula stadium.

Perancangan Barcelona untuk berpindah ke stadium Olimpik di bandar itu dari awal musim depan manakala Camp Nou dibangunkan semula dijangka menelan belanja sebanyak 94 juta euro dalam pendapatan hari perlawanan yang hilang kerana 49,000 tempat itu jauh lebih kecil daripada 99,000 kapasiti Camp Nou.

Stadium Olimpik juga memerlukan kerja pengubahsuaian kira-kira 20 juta euro untuk disiapkan untuk memenuhi piawaian UEFA menjelang akhir musim panas.

UEFA juga kini menjadi kebimbangan Barca yang lain. Walaupun kes itu berlaku di Sepanyol, namun UEFA ada hak untuk tidak membenarkan Barcelona bermain dalam Liga Juara-Juara Eropah atas dasar mereka telah melanggar artikel empat peraturan mereka yang menghalang kelab daripada campur tangan secara haram dalam mempengaruhi keputusan perlawanan.

Sehingga kini pegawai UEFA telah menyatakan kepada media Sepanyol bahawa ini dianggap sebagai urusan domestik, dan larangan hanya akan berlaku atas permintaan Persekutuan Bola Sepak Sepanyol.

Peguam sukan Catalan menyatakan bahawa Barcelona masih berisiko dikenakan tindakan sangat berat. Ini termasuk perlucutan kesemua gelaran domestik yang mereka menangi dari 2001 sehingga 2018 dan disingkirkan ke liga bawahan.

Dalam perkembangan lain, Real Madrid akan memantau perbicaraan ini dengan rapat dan sedia memutuskan hubungan dengan Barcelona sekiranya kelab itu didapati bersalah.