Barca Tak Perlukan Coutinho, Sila Cari Kelab Lain

Pasukan gergasi La Liga, Barcelona dilaporkan sudah memberitahu Coutinho bahawa pemain itu tidak diperlukan di dalam perancangan pasukan musim baru.

Barcelona yang menghadapi masalah kewangan berharap Coutinho akan dapat dijual pada jendela perpindahan kali ini. Selain daripada mendapatkan wang perpindahan, langkah itu akan dapat mengurangkan bil gaji pemain.

Coutinho dibeli dengan harga yang sangat tinggi dari Liverpool tiga tahun lalu.

Beliau mendesak perpindahan ke Nou Camp, kerana kelab itu adalah kelab yang diminatinya dan kelab impiannya dari kecil.

Malangnya dia mengalami banyak kesulitan di Barcelona termasuk masalah kecederaan.

Lebih teruk, beliau kehilangan tempat dalam skuad kebangsaan Brazil.

Coutinho kemudian dipinjamkan ke Bayern Munich, namun kelab itu tidak sanggup membayar klausa pembelian tetap Coutinho yang agak tinggi. Membuatkan pemain itu terus terkontang kanting.

Coutinho tampil cemerlang ketika membantu Bayern menjuarai UCL musim 2019/20 termasuk prestasi luar biasa ketika membantai Barcelona 8-2.

Namun itu tidak cukup untuk meyakinkan Bayern bahawa beliau pemain tepat. Barcelona dilaporkan mensasarkan kelab EPL untuk menyambar Coutinho kerana kekuatan ekonomi kelab di England untuk membayar gaji beliau – terutama pada musim pandemik ini.

Ronald Koeman sebelum ini memberikan sedikit harapan buat Coutinho apabila menyatakan beliau akan cuba memberikan peluang kepada pemain tersebut.

Tetapi jelas sekali Coutinho sekali lagi kena scam dan harus memikirkan kelab lain.

Marseille antara kelab yang sangat berminat dengan Coutinho selain daripada beberapa kelab lain. Seterusnya AC Milan mahu mendapatkan pemain itu menggantikan Hakan Calhanoglu.

Namun Rossoneri tidak mampu membayar gaji semasa Coutinho jika pemain Brazil itu tidak mahu menerima pengurangan.

Musim lalu Leicester dan Arsenal juga memantau rapat perkembangan Coutinho.

Bukan sahaja Coutinho, malah Barca menyenaraikan Griezmann dan Dembele untuk dibida mana mana pasukan untuk membantu meringankan beban kewangan mereka.

Barcelona malah mempertimbangkan tawaran serendah GBP20 juta sekalipun, selepas membayar GBP140 juta untuk membeli pemain itu.

 

Baca yang lain