Barcelona Mahu Dapatkan Marcus Rashford Segera!

Wartawan Diario Sports, Toni Juanmarti melaporkan bahawa Barcelona kini berminat mendapatkan Marcus Rashford.

Marcus Rashford beberapa minggu lalu menyatakan dia mahu terus kekal di Man United, telah menolak 3 bidaan daripada kelab Liga Pro Saudi.

Namun beberapa hari selepas itu dia tiba tiba menyatakan bahawa dia sedia untuk menempuhi cabaran baharu di luar Old Trafford.

Kenyataan itu mengejutkan ramai pihak. Dan Man United segera memberikan kebenaran kepada pemain dan ejen Rashford untuk berunding dengan mana mana kelab.

Sebelum ini terdapat 3 kelab dilaporkan sudah bercakap dengan ejen Rashford tentang syarat meminjam pemain itu iaitu Juventus, AC Milan dan juga Borussia Dortmund.

Dan kini, Barcelona menjadi kelab keempat yang sudah bercakap dengan ejen Rashford berkenaan syarat untuk menandatangani pemain itu secara pinjaman.

Barcelona kini berdepan dengan cabaran untuk mendaftarkan pemain berdasarkan peraturan 1:1.

Setelah berjaya dalam tuntutan mereka untuk mendaftarkan Dani Olmo dan Pau Victor yang mendapat lesen sementara sehingga April 2025, kini Barca optimis dapat membawa Marcus Rashford untuk menguatkan lagi bahagian serangan mereka.

Ini bukan pertama kali Barcelona dikaitkan dengan Marcus Rashford sepanjang karier pemain itu.

Barcelona malah sedia untuk membayar gaji pemain itu secara keseluruhannya. Berbanding dengan beberapa kelab lain yang cuba meminta Man United membiayai sebahagian daripada gaji itu.

Barcelona akan cuba untuk mengurangkan bil gaji pemain semasa mereka untuk menampung kemasukan Marcus Rashford. Dengan pemain seperti Ronaldo Araujo dilaporkan akan dijual pada musim dingin ini.

Seterusnya Barcelona juga sedang berusaha untuk meminjamkan keluar Ansu Fati ke kelab lain. Ini selepas pemain itu sendiri mahukan jaminan lebih minit permainan. Fati pada akhir tahun lalu dikatakan sudah bercakap sendiri dengan Hansi Flick bahawa dia mahu menyertai Sevilla.

Sevilla menyatakan minat mereka membawa balik Ansu Fati yang pernah beraksi untuk akademi mereka. Namun Barcelona menamatkan rundingan dengan kelab itu kerana dianggap seringkali menyerang mereka dalam isu berkaitan Negreira dan pendaftaran Dani Olmo.

Namun begitu Barcelona masih berusaha untuk mencari kelab yang mahu meminjam Ansu Fati.

Seorang lagi nama dalam senarai untuk dilepaskan Barcelona ialah Eric Garcia. Ianya boleh membantu untuk mengurangkan lagi bil gaji pemain semasa mereka dan membantu dalam usaha mereka mendaftarkan Marcus Rashford.

Barcelona dikatakan benar benar mengerahkan seluruh usaha mereka untuk memastikan mereka berjaya mendapatkan pemain asal England itu.

Marcus Rashford menepati pemain yang dimahukan Hansi Flick. Dia pemain yang laju dan boleh beraksi di semua bahagian serangan.

Rashford menjadi pemain yang disisihkan oleh Ruben Amorim. Dipercayai kerana masalah disiplinnya.

Barcelona yakin Rashford akan berminat untuk datang ke kelab legenda itu. Namun begitu Fabrizio Romano melaporkan bahawa kesemua rundingan dengan Marcus Rashford ketika ini masih berada di fasa awal.