Barcelona Mahu Potong Gaji Pemain 15% Untuk Kurangkan Lagi Beban Kewangan

Barcelona sedang mempertimbangkan beberapa langkah yang sangat drastik untuk mengurangkan kos operasi kelab mereka.

Antaranya, Barcelona akan meminta pemain untuk menerima pemotongan gaji yang besar.

Beberapa tahun kebelakangan ini, keadaan kewangan tidak begitu baik, dengan gergasi Sepanyol itu bergelut dalam soal gaji dan yuran perpindahan pemain.

Ianya impak daripada hutang yang tinggi ditanggung kelab kerana kelemahan tadbir kewangan era Bartomeu.

Di mana pada satu ketika hutang kelab itu mencecah €1.3 billion.

Dengan pandemik melanda, memburukkan keadaan kelab kerana tiada pendapatan daripada kutipan tiket hari perlawanan, yang merupakan pendapatan utama setiap kelab.

Dalam beberapa musim panas yang lalu, mereka mendapati sukar untuk mendaftarkan pemain untuk musim ini, dengan Gavi tidak dianggap sebagai pemain pasukan utama sekarang.

Pemain itu dilucutkan status pemain utama oleh La Liga kepada pemain akademi. Dan tidak dibenarkan menggunakan no.6 lagi.

Ia juga boleh membawa kepada isu lanjut bagi mereka, dengan Elche mendakwa pemain tengah itu tidak sepatutnya layak untuk perlawanan antara kedua-dua pasukan, dan merayu kepada FA Sepanyol mengambil tindakan.

Kewangan mereka yang teruk ini menyukarkan untuk menandatangani pemain pada Januari, dan ia boleh menjejaskan rancangan Xavi untuk musim panas, dengan laporan dia mahu menjadikan Lionel Messi sebagai pemain mereka sekali lagi.

FILE PHOTO: Soccer Football – Champions League – Group A – Paris St Germain v Manchester City – Parc des Princes, Paris, France – September 28, 2021 Paris St Germain’s Lionel Messi and Marco Verratti REUTERS/Gonzalo Fuentes/File photo

Messi mungkin akan ditawarkan pakej, dibayar dengan hasil jualan tiket jika dia menandatangani semula kontrak dengan kelab itu, kerana tidak mungkin gergasi Catalan itu mampu membayar gajinya dengan wang daripada akaun semasa.

Satu laporan sebelum ini, Messi akan ditawarkan gaji sangat rendah, dan akan diberikan bonus khas. Kerana akaun FFP Barca hanya membenarkan mereka membayar gaji sangat rendah kepada pemain baharu.

La Liga turut mengarahkan Barcelona menjana lebih banyak pendapatan terutama sekali daripada penjualan pemain jika mereka mahu mendaftarkan pemain baharu.

Menurut Relevo, mereka sedang bergelut untuk menyesuaikan diri dengan had gaji mereka untuk kempen seterusnya dan sedang mempertimbangkan untuk meminta setiap pemain dalam skuad harus menerima potongan gaji sebanyak 15%.

Kelab itu berharap dapat menjimatkan kira-kira £61 juta daripada cadangan pemotongan gaji, yang pastinya akan membantu mereka agar kekal di bawah paras had kewangan yang ditetapkan.

Namun ia memerlukan Barcelona mendapatkan persetujuan daripada pemain pemain mereka. Itu bukannya mudah. Memandangkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Barca sudah beberapa kali membuat pelarasan dan pemotongan gaji pemain mereka.

Selain itu, berita ini juga dijangka akan menjadi antara faktor penolakan kepada pemain pemain bintang datang ke Nou Camp.

Messi, yang mempunyai tawaran bayaran tinggi lain menjadi sasaran Barcelona. Xavi juga terdesak untuk membawa masuk bek kanan pada jendela perpindahan seterusnya, dengan Joao Cancelo kemungkinan akan ditandatangani secara pinjaman.

Ini selepas Bayern tidak berminat mendapatkan pemain itu secara tetap – buat masa ini.

Kewangan bukan satu-satunya masalah yang dihadapi oleh pendahulu La Liga, Barca, dengan kelab itu berdepan pertuduhan atas dakwaan rasuah pengadil.

Barcelona boleh dikenakan hukuman sangat berat jika didapati bersalah.