Barcelona Sah Tak Bayar Gaji Pemain Januari Walaupun Sudah Dipotong

Barcelona gagal membayar gaji mana-mana pemain pasukan pertama mereka pada bulan Disember lalu. Dan pada hari Isnin, gergasi Sepanyol itu masih berhutang dengan 19 kelab sebanyak £112 juta (€126 juta) sebagai bayaran perpindahan.

Berita ini mengesahkan bahawa kenyataan presiden interim mereka, Carlos Tusquets sebelum ini yang menyatakan bahawa kelab akan menangguhkan bayaran gaji pemain pada Januari.

Realiti yang awalnya didengar pahit oleh peminat Barcelona sehingga ada segelintir menganggap Tusquets ada agenda peribadi. Lebih lebih lagi Tusquets dengan terbuka mengecam Bartomeu yang tidak menjual Messi sebelum ini ketika pemain itu boleh dijual dengan harga tinggi.

Gaji semasa Lionel Messi adalah €70 juta setahun. Di mana Messi masih belum menerima €35 juta daripada gajinya sebelum ini.

Kini situasinya, Messi akan pergi secara percuma jika tidak mahu kekal. Dan jika Messi mahu kekal, Barcelona masih perlu membayar gaji serta bonus atas tandatangan yang tinggi.

Tunggakan Barcelona kini menuju ke paras lebih kritikal. Di mana Football Espana melaporkan dana kewangan Barcelona berada pada tahap ‘sangat kecil’ untuk menampung liabiliti dan kos operasi mereka yang sangat tinggi,

Stesen radio Cadena COPE juga mendakwa bahawa semua pemain Barcelona tidak dibayar gaji pada bulan lalu walaupun sudah bersetuju untuk menerima pemotongan gaji sebelum ini.

Barcelona merupakan kelab dengan bil gaji pemain paling tinggi di Eropah.

Barcelona antara kelab yang bergelut meminta pemain menerima pemotongan gaji. Lionel Messi antara pemain yang awalnya tidak bersetuju dengan pemotongan yang terlalu tinggi sehingga 50%.

Namun pada akhirnya para pemain berstuju untuk menerima pemotongan gaji pada kadar tertentu. Sebelum pandemik, La Liga meletakkan angka maksimum bil gaji pemain Barcelona sebanyak €671 juta berdasarkan keuntungan dan pendapatan kelab musim sebelumnya.

Akaun Barcelona ‘sakit’

Namun sekarang Barcelona hanya diberikan maksimum €371 juta / £328 juta. Barcelona dilaporkan berjaya menjimatkan sehingga €172 juta / £156 juta selepas pemotongan gaji serta mengeluarkan beberapa pemain seperti Luis Suarez, Ivan Rakitic serta Arturo Vidal daripada senarai bil gaji mereka.

Dilaporkan bahawa pasukan biasanya mendapat gaji mereka dalam dua pembayaran. Pembayaran pertama pada bulan Jun dan satu lagi pada bulan Disember.

Barcelona telah bergelut untuk mengatasi masalah kewangan sejak wabak itu melanda bola sepak Eropah pada Mac lalu.

Walaupun kelab lain bersetuju dengan penangguhan pembayaran dengan pemain pada awal tahun 2020 namun Barcelona hanya berjaya melakukannya untuk semua pasukan pertama mereka pada akhir November. Itu yang membuatkan kelab bergelut dengan beban kewangan.

Hubungan tidak baik di antara pengurusan lama dengan pemain antara puncanya. Bartomeu tidak sehaluan dengan beberapa bintang Barcelona dalam beberapa perkara terutama sekali Lionel Messi. Itu yang mempengaruhi kelewatan mereka menyelesaikan isu pemotongan gaji,

Namun ada beberapa pemain sudah menerima pemotongan gaji lebih awal pada Jun iaitu Gerard Pique dan Frenkie de Jong.

Tetapi beberapa nama bintang seperti Lionel Messi, yang gajinya adalah £500,000 seminggu (£ 26 juta setahun) hanya bersetuju untuk mengurangkan  gajinya bermula November.

Pengurus Ronald Koeman yang baru dilantik juga terus menerima pemotongan gaji  £10 juta setahun.

Berita mengenai Barcelona yang gagal membayar pemain untuk bulan lalu mewarnai kisah laporan kewangan tahunan kelab, yang menunjukkan hutang perpindahan pemain juga tertunggak dengan sangat tinggi.

Pasukan gergasi Sepanyol Barcelona mengeluarkan laporan kewangan tahunan mereka pada hari Isnin lalu. Dan jelas menunjukkan Barcelona sedang bergelut teruk dengan kewangan kelab mereka.

Hutang dengan kelab lain

Barcelona masih berhutang sangat banyak dan mereka kini berhutang dengan 19 kelab lain dengan jumlah keseluruhan £112 juta (€126 juta) untuk bayaran perpindahan pemain.

Paling tinggi adalah Philippe Coutinho yang bergabung dengan kelab yang berpangkalan di catalan dari Liverpool dengan bayaran sekitar £142 juta, menjadikannya pemain termahal sepanjang zaman dalam sejarah untuk perpindahan dibayar kelab Sepanyol.

Perpindahan pemain Brazil ke Barcelona agak kurang menjadi di atas padang. Dan ia memburukkan lagi keadaan, di mana kesepakatan Coutinho itu masih menyumbang kepada sebahagian besar  hutang kelab.

Seperti yang dinyatakan di dalam laporan kewangan kelab, pihak Ronald Koeman kini berhutang dengan Liverpool sebanyak £28 juta (29 juta euro) untuk pemain berusia 28 tahun tersebut.

Selepas hutang Coutinho, Blaugrana berhutang dengan Ajax £ 14 juta (€ 16 juta) untuk Frenkie de Jong, Bordeaux £ 8,8 juta (€ 9,9 juta) untuk Malcom dan Gremio £ 7 juta (€ 7,9 juta) untuk Arthur Melo.

El Confidential melaporkan bahawa Barcelona telah meminta untuk menunda pembayaran hutang daripada beberapa bank utama untuk membantu aliran tunai segera dalam akaun kelab.

Dikatakan bahawa Barcelona meminta Goldman Sachs, Allianz, Barings, Amundi dan Prudential memberi mereka lebih banyak masa untuk membayar pembayaran balik tertunggak.

Ini penting untuk memastikan akaun Financial Fair Play mereka kekal sihat. Jika gagal, mereka akan terus bergelut dan terpaksa menjual beberapa pemain bergaji tinggi.

Keadaan menjadi lebih teruk, dilaporkan juga bahawa kelab itu mempunyai status pembukaan akaun negatif sebanyak £535 juta, yang terutama disebabkan oleh penurunan besar pendapatan yang disebabkan oleh bermain tanpa penyokong di Nou Camp.