‘Barcelona Sedang Menuju Kemuflisan, Bartomeu Sila Letak Jawatan’

Menurut calon presiden Barcelona, Victor Font, kelab mereka kini berada dalam bahaya dan berdepan risiko muflis serta keruntuhan moral.

Dalam surat terbuka kepada Lembaga Pengarah Barca dan media, Font – pemimpin kumpulan Si al futur yang ingin mengambil alih jawatan Presiden – menjelaskan penilaian yang tidak menyenangkan mengenai pergolakan di sebalik tabir semasa di kem Barcelona ketika ini.

Kritikan yang bertalu-talu terus ditujukan kepada kepimpinan Bartomeu. Ini selepas pada hujung minggu lalu ada 6 ahli lembaga pengarah meletakkan jawatan – gara-gara hilang kepercayaan ke atas kepimpinan Bartomeu.

Mereka mendesak Bartomeu letak jawatan dan pemilihan tampuk pimpinan yang baharu dilakukan serta merta.

Naib presiden, Emili Rousaud antara yang angkat kaki. Dan beliau kemudian membuat kenyataan panas ke atas Bartomeu. Tuduhan-tuduhan itu kemudian dinafikan oleh Barcelona.

Rousaud juga berpandangan, mungkin tidak wajar kelab menjalinkan kerjasama dengan 13 Ventures.

Syarikat media yang dikatakan telah diupah untuk membersihkan imej Bartomeu dan media sosial dan menghentam beberapa pemain Barcelona sendiri.

Kedua-dua pihak, Barcelona dan 13 Ventures menafikan dakwaan itu.

Font dalam suratnya menyatakan: “Buat masa sekarang ini, projek Si al futur telah memberikan amaran kepada kesemua ahli kelab Barcelona bahawa kelab sedang menuju kehancuran.”

“Kita seharusnya menggantikan generasi terbaik dalam sejarah bola sepak Barca, membina dan melabur dalam projek pembangunan Espai Barca – serta bersaing dengan organisasi yang memiliki sumber kewangan yang tidak ada had.”

“Semua ini harus dilakukan dalam usaha menjaga pemilikan kelab di tangan ahlinya, dan berdaya saing dalam kedua dua bidang, sama ada bola sepak dan seksyen lain.”

“Jika risiko kelab kita dahulu besar, kini ianya sudah menjadi sangat besar.”

“Kita kini di tengah pandemik yang memberikan impak kepada kehidupan seharian kita di bumi, dan juga impak kepada sukan, yang hari ini kita masih lagi belum tahu apa kesudahannya.”

“Dalam beberapa bulan ini, kita telah menyaksikan banyak sekali berita memalukan kerana sikap dalam organisasi pengurusan kelab. Di mana kejadian baru baru ini telah menyembunyikan keseriusan masalah sebelum ini.”

“Keadaan menjadi semakin memuncak apabila tuduhan berterusan dan kecaman serius di kalangan lembaga pengarah, dan akhirnya 6 orang meletak jawatan.”

“Dan ketika kelab sepatutnya mencari jalan keluar daripada krisis ini, presiden pula mengumumkan penstrukturan semula barisan lembaga pengarah – ini semua untuk memastikan dirinya terus kekal berkuasa.”

“Risiko ini ditanggung oleh Barcelona secara keseluruhan.”

“Ini bukan masalah baharu, kita sudah mengalami masalah seperti ini sejak kes [mendatangani] Neymar.”

“Percanggahan di antara majikan dan pemain, dengan eksekutif, pengurus, dan pihak audit telah didedahkan kepada umum – yang seolah olah mengesahkan bahawa memang ada skandal.”

“Kemudian kita tambahkan dengan dasar sukan yang tidak menentu, pemecatan lembaga pengarah dan pengurangan pendapatan yang signifikan akibat pandemik.”

“Dan hasilnya adalah kita sedang dalam bahaya ke arah kebangkrapan ekonomi dan kerosakan moral yang menghancurkan kelab kita. Game Over!”

Si al futur juga menuntut transparensi daripada Bartomeu berkenaan dengan operasi dan tahap hutang yang ditanggung kelab ketika ini.

Mereka meminta Bartomeu letak jawatan segera untuk membolehkan pemilihan presiden baharu dibuat.

Si al futur merasakan Barcelona perlu kembali semula kepada asas.

Bartomeu menjadi mangsa kecaman ramai pihak dalam beberapa tahun ini kerana polisi beliau yang tidak selari dengan apa yang pernah dilakukan Barcelona sebelum ini.

Hubungan kelab dengan akademi La Masia semakin terputus, dan Barcelona berterusan mencari pemain bernilai lebih €100 juta ketika jendela perpindahan pemain.

Seterusnya, Bartomeu juga dilaporkan tidak sehaluan dengan Lionel Messi pada baru baru ini kerana isu nak potong 70% gaji pemain yang disifatkan agak melampau.

Messi turut beberapa kali  bertikam lidah dengan Eric Abidal.