Barcelona Sedia Tawarkan Mbappe Pakej €90 Juta Untuk Sertai Mereka Secara Percuma

FC Barcelona dilaporkan sedia untuk memintas Real Madrid dalam persaingan mendapatkan Kylian Mbappe.

Mbappe akan menjadi ejen bebas dan boleh ditandatangani secara percuma pada musim hadapan. Pemain antarabangsa Perancis itu kian hangat dikaitkan dengan Real Madrid.

Ini termasuk kenyataan daripada pihak PSG sendiri yang sebelum ini membidas Real Madrid yang dikatakan berunding dengan Mbappe di belakang mereka.

Real Madrid melakukan dua percubaan membida Mbappe pada pra musim lalu dengan bidaan tersebut dikatakan sekitar EUR160 juta dan kemudian EUR170 juta. Kedua duanya ditolak oleh PSG.

Mbappe sudah membayangkan bahawa beliau sudah bersiap sedia untuk angkat kaki dari PSG.

Dan sekarang, Barcelona memasuki persaingan untuk mendapatkan Mbappe. Kelab Catalan tersebut mengupah Pini Zahavi yang dilantik untuk menjadi orang tengah dalam usaha membawa Mbappe ke Nou Camp.

Barcelona mencari ‘wajah’ baru untuk kelab mereka. Sebelum ini wajah kelab mereka ialah Lionel Messi. Mbappe dianggap memiliki segalanya untuk menjadi bintang utama di Nou Camp.

Barcelona kini cuba membentuk pasukan berasaskan pemain muda seperti Ansu Fati yang baru sahaja diberikan jersi no.10 musim ini.

Laporan di Sepanyol menyebut, Barcelona sedia menawarkan bonus atas tandatangan sebanyak €90 juta. Mengatasi tawaran €50 juta oleh Real Madrid.

Apa itu bonus atas tandatangan?

Ianya bonus khas kepada pemain ejen bebas yang akan diberikan kepada mereka untuk memujuk mereka menyertai sesuatu kelab.

Namun sejak akhir akhir ini, bonus tersebut kian meningkat. Ianya akan masuk ke poket pemain dan ejen.

Mbappe berpotensi mencipta rekod baru dalam bonus atas tandatangan ini. Beberapa tahun lalu Arsene Wenger sudah lama tahu perkara seperti ini akan berlaku.

Di mana pemain pemain bintang akan sengaja tidak menandatangani kontrak untuk mendapatkan sendiri wang bonus perpindahan ini.

Jika PSG mahukan Mbappe kekal, mereka tetap akan menawarkan bonus ini kepada pemain itu selepas ini, jika kontrak Mbappe berakhir.

Dikatakan PSG sudah menawarkan pakej luar biasa di mana gaji Mbappe lebih tinggi dari Neymar dan Messi. Tetapi pemain itu tetap menolaknya.

Barcelona kini cuba mencari pemain ejen bebas untuk dibawa masuk ke dalam kelab mereka kerana situasi kewangan kelab tersebut. Namun dengan bayaran bonus sebanyak EUR90 juta kepada Mbappe ianya angka yang sangat besar.

Selain itu Barcelona masih berusaha mencari pengurus baharu kelab mereka. Dengan nama Xavi Hernandez sedang hangat diperkatakan akan mengisi jawatan itu.