The Athletic melaporkan bahawa Barcelona ketika ini tidak dapat mendaftarkan 9 pemain pasukan utama mereka untuk beraksi musim yang akan datang.
Barcelona terus dirundung krisis kewangan kelab itu. Sebelum ini mereka pernah berhadapan dengan masalah yang sama. Namun Barca sudah menekan ‘lever’ beberapa kali untuk membolehkan mereka mendaftarkan pemain mereka.
Barcelona juga beberapa kali sudah berunding dengan pemain termasuk dengan Xavi sebelum ini untuk pengurangan gaji. Semuanya untuk membolehkan mereka mendaftarkan pemain pemain mereka.
Sejak 2022, Barcelona sudah menggunakan lever termasuk penjualan hak Barca Studios dan banyak lagi inisiatif lain.
Namun begitu, Barcelona berdepan dengan had gaji maksimum yang terus dikurangkan lagi untuk musim hadapan. Musim sebelum ini mereka dikurangkan had gaji tahunan daripada €655 juta kepada €272 juta.
Musim hadapan mereka harus beroperasi dengan had gaji maksimum €204 juta setahun. Sebagai perbandingan, musuh tradisi mereka – Real Madrid – memiliki had siling gaji sebanyak €727 juta untuk musim hadapan.
The Athletic menyatakan bahawa Barca harus mencari sekitar €130 juta lagi menjelang 30 Jun ini bagi menampung gaji keseluruhan pemain sedia ada.
Setakat ini 9 daripada 25 pemain Barcelona yang bermain untuk musim 2023/24 masih tidak dapat didaftarkan dalam skuad bimbingan Hansi Flick itu.
Dear Hansi Flick,
welcome aboard. pic.twitter.com/na7d59baqV— FC Barcelona (@FCBarcelona) May 29, 2024
Sergi Roberto dan Marcos Alonso akan tamat kontrak pada 30 Jun ini. Hari yang sama, tempoh pinjaman Joao Felix dan Joao Cancelo berakhir.
Gaji Robert Lewandowski juga meningkat mendadak musim hadapan mengikut kontrak asal. Ini kerana sebelum ini Barca meminta Lewandowski bekerja dengan gaji lebih rendah sementara menunggu musim 2024/25 di mana pemain itu akan menerima gaji sangat tinggi. Barca sebelum ini yakin kelab akan pulih daripada krisis kewangan pada musim baharu ini.
Malangnya itu tidak berlaku. Sebelum ini terdapat beberapa penaja masih tidak membayar tajaan seperti dijanjikan.
Selain itu, Gavi juga sebelum ini terpaksa diturunkan balik untuk didaftarkan sebagai pemain akademi kerana kekangan untuk mendaftarkan nama pemain itu dengan kontrak senior pertamanya, ia membuatkan bil gaji kelab itu melebihi had.
Barcelona masih berusaha untuk mendaftarkan Gavi sebagai pemain senior, kerana dia memang pemain senior. Terdapat kerisauan Gavi boleh meninggalkan kelab itu jika terus gagal didaftarkan dengan kontrak besar yang dipersetujui sebelum ini.
Seterusnya 4 pemain mereka yang dipinjamkan ke kelab lain seperti Ansu Fati, Eric Garcia, Clement Lenglet dan Sergino Dest, kesemuanya automatik terdaftar menjadi pemain Barca untuk musim 2024/25. Ini akan membuatkan kelab terus bergelut untuk mengawal jumlah gaji pasukan kerana ianya benar benar melebihi had.
Buat masa ini, Barcelona terus gagal menjual pemain mereka pada harga tinggi. Kini mereka perlu mencari €130 juta sebelum akhir jun ini.
Dengan The Athletic turut melihat Barcelona ketika ini berusaha untuk mencari pelabur baharu dalam Barca Studios dan juga merombak semula kontrak dengan penaja jersi Nike. Berharap mereka akan mendapat wang daripada tajaan ini.