Mark Clattenburg telah meletakkan jawatannya sebagai pengadil penganalisis dan penasihat di kelab Nottingham Forest.
Sebelum ini Forest mengejutkan ramai pihak apabila melantik Clattenburg, kerana tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan pengadil dan VAR yang dituduh tidak memihak kepada mereka.
Clattenburg dilantik pada Februari lalu selepas Forest dikenakan tindakan di atas hantaran media sosial yang kontroversi mengecam mutu pengadilan selepas kekalahan di tangan Everton.
Di mana mereka menuduh pengadil Stuart Attwell pastinya seorang peminat Luton.
Ketika itu Gary Neville menganggap tindakan itu terlalu koyak sampai melantik pengadil khas.
“Apa tugas Clattenburg, dia dibayar hanya untuk mencari kesalahan pengadil?” tegas Neville.
“Ini adalah memalukan, saya yakin peminat Forest akan rasa malu dengan tindakan kelab ini,” jelas Neville lagi.
Clattenburg ketika itu membidas Gary Neville. Sambil mengingatkan Neville bahawa syarikat Sky Sports tempat dia bekerja turut melantik pengadil penganalisis untuk menjelaskan tentang keputusan pengadil dan VAR.
Lalu dia melabel Neville sebagai hipokrit. Forest turut mempertahankan Clattenburg sebagai mangsa serangan beberapa pundit.
Mark Clattenburg has left his role as a referee consultant at Nottingham Forest 👇 pic.twitter.com/JPxIIy32Ju
— Sky Sports Premier League (@SkySportsPL) May 3, 2024
Kini selepas beberapa bulan perlantikannya di kelab itu. Forest tetap dirundung beberapa keputusan kontroversi melibatkan pengadil.
Dan akhirnya dia meletak jawatan kerana merasakan jawatannya itu telah membuatkan kelab itu lebih dilanda masalah berbanding membantu mereka.
Clattenburg berkata: “Saya di sini mahu mengumumkan bahawa saya tidak lagi membekalkan perkhidmatan analisis video untuk NFFC.
“Sejak Februari tahun ini, saya merasa sangat bangga untuk melakukan tugasan itu, sebagai seorang penasihat perantara untuk NFFC dan Referee Consultant Ltd.
“Saya menjalankan tugasan saya dengan tekun, menggunakan kepakaran saya dengan harapan bahawa pengalaman lama saya dalam pengadilan dapat membantu NFFC memahami bagaimana sesuatu keputusan dibuat melibatkan beberapa insiden penting dan cara VAR berfungsi.
“Namun jelas sekali kehadiran jawatan itu dan prestasi perkhidmatan khidmat nasihat ini telah mengundang konflik yang tidak diingini antara NFFC dan pihak lain.
“Ianya lebih mengganggu NFFC berbanding membantu, yang membawa kepada pihak cuba menyasarkan saya secara tanpa merit, oleh beberapa pihak dan pundit.
“Keadaan itu tidak pernah dijangka dan ianya amat dikesali. Saya sepenuh hati percaya bahawa jawatan seperti ini ada nilai tersendiri dalam berperanan dalam permainan bola sepak moden.
“Saya berterima kasih kepada NFFC dan mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka untuk baki musim ini dan di masa akan datang. Ini satu penghormatan buat saya.”
Pada Jumaat lalu, Nottingham Forest dikenakan hukuman oleh FA kerana komen melampau ke atas Attwell.