Baru Semusim Di Barcelona, Gundogan Dan Mahu Pulang Semula Ke City

Hanya selepas semusim bersama dengan Barcelona, pemain tengah, Ilkay Gundogan sudah mahu meninggalkan kelab itu dan mahu pulang semula ke Manchester City.

Ilkay Gundogan sebelum ini memutuskan untuk tidak melanjutkan kontrak bersama Man City untuk mengejar perpindahan percuma ke Barcelona.

Namun setelah tiba di Barcelona, dia awalnya berdepan dengan masalah pendaftaran pemain. Barca ada klausa khas di mana Gundogan boleh menamatkan kontrak serta merta jika namanya tidak didaftarkan sebelum liga bermula.

Barcelona ketika itu berjaya mendaftarkan nama Gundogan dan beberapa pemain lain seperti Jules Kounde. Dan beberapa minggu lalu, pemain tengah Jerman itu sudah memberitahu kelab bahawa dia mahu menamatkan kontraknya bersama dengan kelab itu.

Barcelona kini dikatakan sedia untuk melepaskan pemain itu untuk mengurangkan beban gaji yang tinggi. Minggu lalu Barca dikatakan tidak dapat mendaftarkan pemain baharu Dani Olmo pada perlawanan pertama kerana mereka masih perlu mengurangkan lagi kos operasi mereka atau membawa masuk pendapatan.

Tetapi Hansi Flick menyatakan bahawa Dani Olmo tidak terlibat kerana masalah kecergasan.

Gundogan musim lalu pernah mengkritik pemain pemain muda Barcelona yang menurutnya masih boleh bermain fon ketika sesi warming up perlawanan menentang musuh tradisi Real Madrid. Komen itu kurang disenangi beberapa pemain.

Kemudian dia mengkritik tindakan Ronald Araujo yang melakukan kesilapan yang membawa kepada kad merah ketika berdepan dengan PSG.

Gundogan tampil dengan komen mengkritik Araujo yang tidak berdisiplin sehingga menerima kad merah. Dia mempersoalkan tindakan pemain itu membentes Barcola dalam situasi terssbut.

Gundo berkata: “Kamu tahu kan, pada saat saat genting seperti itu kamu harus pastikan kamu memenangi bola [ketika memutuskan untuk membentes pemain lawan].”

“Jika kamu gagal, dan sekali lagi, saya sendiri tak tahu sama ada Araujo menyentuh bola atau tak, kamu patut elakkan perkara itu. Saya lebih rela membiarkan sahaja pasukan melepaskan bolos satu gol di situ, atau membiarkan penyerang 1 vs 1 dengan penjaga gol.”

Araujo kemudian tidak gembira dengan komen tersebut secara terbuka. Araujo berkata: “Saya memilih untuk menyimpan sahaja apa yang ada dalam fikiran saya [daripada memberikan komen sebegitu]. Saya ada kod etika dan itu harus dihormati.”

Gundogan yang meminta berpindah dari Barcelona pada minggu lalu telah disisihkan daripada aksi pembukaan La Liga. Di mana Barcelona menang 2-1 dalam perlawanan itu.

Dia sudah memberitahu ejennya bahawa dia mahu pulang semula ke Man City jika kelab itu mahu menerimanya. Man City ketika ini mencari pemain tengah baharu setelah kecederaan melanda Oscar Bobb.

Barcelona dan Gundogan masing masing boleh mendapatkan manfaat daripada perpindahan ini. Barcelona boleh menyingkirkan bil gaji Gundogan yang merupakan penerima gaji tertinggi di kelab itu. Seterusnya Gundogan boleh bermain di kelab yang dia rasa gembira.

Barcelona pada masa yang sudah mendapatkan Dani Olmo dari RB Leipzig yang turut bermain di bahagian tengah, posisi yang sama dengan Gundogan.

Namun Barcelona masih perlu mendapatkan pandangan Hansi Flick kerana pengurus itu sebelum ini sudah menyatakan bahawa dia mahu Gundogan kekal dan menjadi pemain penting dalam projeknya musim ini.

Kelab dari Saudi juga berminat mendapatkan Gundogan. Tahun sebelumnya, PIF merasakan Gundogan dan Mo Salah sebagai pemain terbaik untuk dibawa masuk memandangkan 2 pemain itu beragama Islam yang boleh menjadi serampang dua mata untuk projek bola sepak di Saudi.

Gundogan boleh menjadi duta kepada Arab Saudi terutama sekali dalam bidang sukan dan bola sepak. Tetapi laporan di UK menyebut bahawa, Gundogan ketika ini mengutamakan Man City dahulu sebelum kelab lain.

Laporan Gundogan meminta ‘cerai’ daripada Barcelona ini turut menarik perhatian Jose Mourinho yang baru memulakan tugasan di Fenerbahce. Kelab Turki itu aktif mendapatkan pemain pada jendela perpindahan kali ini.

Mereka sudah mendapatkan secara tetap Caglar Soyuncu, Cenk Tosun dan Youssef En-Nesyri, dan kemudian mendapatkan Allan Saint-Maximin dari Al-Ahli secara pinjaman.

Cuma Barcelona ketika ini mungkin mahukan yuran perpindahan untuk pemain tengah mereka itu. Buat masa ini, segalanya masih dalam keadaan sangat tegang melibatkan masa depan bekas kapten Manchester City itu.