Bayern Dibelasah RB Leipzig, Kane Terus Badi Piala, Tuchel Kasihan Dengan Beliau

Impian Kane untuk menamatkan badi tanpa piala terus tertangguh. Dia berpeluang menjulang piala pertamanya bersama Bayern pada hari pertama dia di kelab itu.

Kane dijangka akan dengan mudah menamatkan kemarau piala itu apabila bersama dengan Bayern di Jerman terutama sekali di peringkat domestik.

Namun malangnya juara Jerman itu dimalukan 3-0 di laman sendiri oleh juara DFB Pokkal RB Leipzig dalam perlawanan akhir Piala Super Jerman di Munich.

Kane hanya masuk selepas sejam perlawanan, ketika Bayern sudah ketinggalan 2-0 pada ketika itu dan bolos ketiga tujuh minit kemudian, dengan Dani Olmo menjaringkan hatrik.

Pengurus Thomas Tuchel berkata: “Saya kasihan kepada Kane. Kami tidak mengekalkan momentum itu. Kami tidak mencipta cukup peluang untuknya.”

“Dia mesti memikirkan kami tidak berlatih selama 4 minggu ini. Prestasi kami hari ini tiada kaitan langsung dengan apa yang kami mahu lakukan hari ini. Ianya hari yang perit, saya minta maaf.”

“Kami tidak menjangka dia menjadi adiwira. Kami hanya mengharapkan dia menjadi siapa dia. Seorang pemain yang terkemuka, penjaring gol terbanyak dan personaliti terbaik.”

“Dia akan banyak membantu kita. Kami memerlukan sikapnya yang betul untuk membantu kami keluar dari lingkaran persembahan berulang seperti ini.”

“Dia tidak perlu belajar daripada kita. Kita perlu belajar daripadanya.”

Kane tewas pada perlawanan akhir Piala Liga dan Liga Juara-Juara bersama Spurs serta final Euro 2020 bersama England.

Perpindahannya bernilai £100 juta ke Allianz Arena diumumkan hanya beberapa jam sebelum perlawanan Piala Super tetapi dia perlu menunggu lebih lama untuk memecahkan trofinya bersama Bayern.

Bayern memulakan usaha mempertahankan kejuaraan Bundesliga mereka dengan lawatan ke Werder Bremen pada hari Jumaat, 18 Ogos.

Kapten England itu menerima sambutan hangat daripada penyokong Bayern sebelum sepak mula, ketika dia memasuki Allianz Arena buat kali pertama sejak mengesahkan perpindahannya yang gemilang.

Semasa pra-perlawanan, nama Kane telah diumumkan di dalam stadium dan disambut dengan sorakan daripada penyokong Bayern.

Detik itu dirakam dan disiarkan di Twitter ketika kapten England itu melakukan latihan memanaskan badan di atas padang.

Akaun Twitter rasmi Bayern juga menyiarkan klip Kane berjalan masuk ke padang Allianz Arena buat kali pertama, sambil peminat bersorak menyambut kedatangannya.