Bayern Mahukan Vincent Kompany Atau Thomas Frank

Bayern Munich kini mengecilkan skop calon pengurus mereka di mana mereka mulai mencari nama nama pengurus bukan dari kalangan nama besar.

Terbaru dua pengurus EPL dalam senarai Bayern iaitu Vincent Kompany dan Thomas Frank.

Kompany walaupun gagal membantu Burnley kekal di EPL musim ini namun pengurus tertinggi Bayern yakin pengurus itu jurutaktikal yang bagus.

Bayern sudah menghubungi Vincent Kompany untuk menemuduga pengurus itu bagi jawatan pengurus di kelab gergasi Jerman itu. Ianya pasti peluang luar biasa kepada Kompany yang baru tersingkir daripada EPL.

Bayern suka dengan Kompany yang memegang falsafah permainan Guardiola dalam taktikalnya. Tetapi Kompany musim ini membelanjakan £95 juta untuk pembelian pemain, hanya untuk menyaksikan mereka mencatat 5 kemenangan sahaja sepanjang musim.

3 daripada kemenangan itu pula daripada aksi menentang pasukan zon penyingkiran.

Fabrizio Romano mengesahkan bahawa berita ini adalah sah. Bayern benar benar menjadikan Kompany sebagai salah seorang calon pengurus kelab itu.

Seterusnya, nama Thomas Frank juga mengejutkan. Pengurus Brentford itu dianggap tidak memiliki pasukan yang cukup bagus untuk mencapai kejayaan lebih besar.

Bayern pastinya destinasi yang akan menawarkan sokongan lebih besar dari segi dana dan kualiti pasukan.

Thomas Frank seringkali mendapat pujian daripada media di Eropah kerana sistem permainan berani diterapkannya.

Bayern sedang berunding dengan pengurus tersebut menurut laporan BILD.

Bayern sebelum ini pernah cuba merisik pengurus Crystal Palace, Oliver Glasner namun Palace meminta £100 juta untuk pengurus mereka itu. Membuatkan Bayern tak setuju untuk meneruskan rundingan.

Bayern juga gagal mendapatkan Xavi Alonso dan juga Ralf Rangnick yang memutuskan untuk terus kekal di jawatan semasa mereka.

Sementara rundingan dengan Thomas Tuchel untuk memujuk pengurus itu kekal sehingga 2025 ditolak oleh Tuchel yang meminta kontrak baharu sekurang kurangnya sehingga 2026.

Satu lagi nama yang turut dikaitkan dengan Bayern ialah Roberto De Zerbi yang rasmi melepaskan jawatannya di Brighton. Namun De Zerbi bukan melepaskan jawatan itu kerana Bayern menurut Daily Mail.

Sebaliknya kerana tidak sehaluan dengan pengerusi kelab. Tetapi itu bukan bermakna De Zerbi tidak akan menjadi salah satu calon dikehendaki Bayern. Kerana awal bulan lalu Bayern turut dikaitkan dengan De Zerbi.

De Zerbi tidak akan mendapat sebarang pampasan jika dia menyertai mana mana kelab sebelum musim panas 2026.