Bayern Munich dilaporkan mempertimbangkan untuk membawa pulang Julian Nagelsmann dan pembantunya, Sandro Wagner ke kelab itu menggantikan Thomas Tuchel.
Nagelsmann pernah menjadi pengurus Bayern dari Julai 2021 sehingga Mac 2023.
Baru baru ini, Uli Hoeness menyatakan bahawa Bayern sudah sedia maklum bahawa Xabi Alonso tidak akan menyertai mereka. Beberapa jam kemudian, Bayer Leverkusen membuat kenyataan rasmi menyatakan bahawa pengurus kelab itu, Xabi Alonso akan terus kekal bersama mereka.
Bayern memiliki senarai panjang calon untuk dibawa masuk. Antaranya seperti Roberto De Zerbi dari Brighton yang dikaitkan dengan jawatan tersebut. Nama lain seperti Zinedine Zidane dan Unai Emery juga dikaitkan dengan kelab Munich itu.
Kini satu lagi pilihan Bayern adalah membawa pulang janda mereka iaitu Julian Nagelsmann yang dipecat dengan cara agak kejam ketika kelab itu melantik Thomas Tuchel sebagai pengganti.
Nagelsmann yang ketika itu bercuti dengan aweknya di Austria telah dipecat ketika dia berada di percutiannya. Ramai percaya tindakan itu dibuat kerana Bayern enggan terlepas Thomas Tuchel yang baru sahaja meninggalkan Chelsea ketika itu – digantikan oleh Graham Potter.
Nagelsmann dilantik menjadi pengurus Jerman dengan kontrak sehingga Euro 2024.
Buat masa ini tiada rundingan lanjutan kontrak dibuat antara Nagelsmann dengan DFB untuk kontrak baharu dengan pasukan kebangsaan. Namun DFB setakat ini berpuas hati dengan prestasi Nagelsmann.
Florian Plettenberg melaporkan bahawa, kepulangan semula Nagelsmann ke Bayern adalah tidak mustahil. Namun tidak semua lembaga pengarah setuju dengan perkara itu.
Bayern juga sedia membawa masuk Sandro Wagner kembali semula, jika Nagelsmann dilantik semula selepas ini. Laporan sama menyebut, Sandro Wagner lebih berminat untuk terus kekal di DFB. Dan mungkin tidak akan mengikut Nagelsmann jika pengurus berbakat besar itu kembali semula ke Bayern.
Bayern musim ini gagal mempertahankan kejuaraan liga setelah memenanginya 11 musim berturut turut. Kini mereka ketinggalan 13 mata di belakang Bayer Leverkusen yang dibimbing bekas pemain tengah mereka, Xabi Alonso. Leverkusen hanya perlukan 3 kemenangan sahaja lagi untuk mengesahkan kejuaraan bersejarah mereka.
Sebelum ini terdapat laporan menyatakan bahawa Xabi Alonso ada klausa pelepasan khas jika dia mahu menyertai 3 kelab lamanya iaitu Real Madrid, Bayern dan Liverpool. Namun perkara itu dinafikan oleh pengurusan tertinggi Bayer Leverkusen.
Sementara itu, Fabrizio Romano menyatakan bahawa klausa pelepasan kontrak Alonso adalah €15 juta dan ianya bukan €20 juta seperti dilaporkan sebelum ini.
Klausa itu akan menurun kepada €10 juta pada musim panas 2025 akan datang. Ianya tidak tertakluk kepada 3 kelab itu sahaja.
Tuchel dilaporkan semakin kehilangan kawalan ke atas bilik persalinan Bayern pada musim ini. Beberapa pemain seperti Joshua Kimmich tidak gembira dengan peranan mereka yang terhad di bawah kendalian Tuchel.