Bekas jurulatih pasuka remaja Shakhtar Donetsk, Andreas Carrasco, kesal dan mempersoalkan keputusan Mykhailo Mudryk yang memilih menyertai Chelsea berbanding Arsenal.
Sebelum menyertai Chelsea dalam pasaran perpindahan musim sejuk 2023, Mykhailo Mudryk menjadi sasaran Arsenal.
The Gunners itu malah memburu Mudryk lebih awal daripada Chelsea. Arsenal melakukan bidaan awal untuk pemain itu.
Mudryk sendiri beberapa kali memuat naik hantaran di Instagram menyindir kelabnya bahawa dia mahu menyertai Arsenal.
Arsenal tertarik dengan pemain sayap pasukan kebangsaan Ukraine itu kerana dia mampu tampil mengagumkan di mana sahaja posisi serangan bersama Shakhtar Donetsk.
Pada musim 2022/2023, Mudryk berjaya menjaringkan 7 gol dalam 12 penampilan dalam Liga Ukraine. Dia juga telah menjaringkan 3 gol dalam Liga Juara-Juara.
Persembahan ini membuatkan Arsenal tidak teragak-agak untuk menjadikan Mudryk sebagai sasaran utama untuk mengisi tempat Gabriel Jesus yang cedera.
Namun, Arsenal akhirnya tewas dalam persaingan mendapatkan Mudryk selepas Shakhtar Donetsk berkeras hanya mahu melepaskan Mudryk pada harga 100 juta euro.
Arsenal sudah melakukan beberapa bidaan namun kesemuanya ditolak Shakhtar walaupun Edu percaya bahawa Arsenal sudah menawarkan harga terbaik dengan pakej bayaran yang sesuai untuk pemain itu.
Keadaan ini dimanfaatkan sebaik baiknya oleh Chelsea untuk melakukan pintasan di selekoh.
Andreas Carrasco percaya bahawa Mudryk masih harus cuba untuk berpindah ke Arsenal dan mendesak kelab untuk hanya menerima tawaran daripada kelab bimbingan Mikel Arteta itu.
Dia merasakan Arsenal lebih sesuai untuk pemain sayap berusia 22 tahun itu.
Ini kerana Arsenal kini dalam fasa yang lebih stabil berbanding dengan Chelsea.
Di mana Mudryk pastinya akan lebih kurang tertekan di Arsenal berbanding dengan di Chelsea.
Walaupun dia sedikit kecewa dengan keputusan tersebut, Carrasco yang berasal dari Sepanyol tetap berharap Mudryk dapat mencapai kejayaan bersama Chelsea.
“Chelsea adalah kelab yang baru sahaja berubah struktur pengurusan,” kata Carrasco.
“Bagaimanapun, adalah baik untuk Mudryk berada di kelab yang sentiasa mengharapkan keputusan terbaik sepanjang masa seperti Chelsea.”
“Kini, dia perlu melalui tempoh penyesuaian yang mencabar.”
“Hanya masa yang akan menentukan sama ada ia adalah keputusan yang tepat untuknya atau tidak.”
Mudryk menyertai Chelsea dengan kontrak selama 8 setengah tahun.