Bekas Rakan Sepasukan Dedah Ronaldinho Tak Pernah Berlatih Dan Tidur Di Bilik Urut

Jerome Leroy – bekas rakan sepasukan Ronaldinho di PSG pada era awal 2000-an – memberitahu Ronaldinho merupakan pemain yang sangat genius di atas padang. Namun di luar padang, Ronaldinho kaki parti dan tidak pernah berlatih.

Leroy menyatakan bahawa Ronaldinho lebih banyak masa untuk berpesta berbanding berlatih. Menurut Leroy, Ronaldinho bukanlah ikutan baik untuk pemain muda dari segi disiplin di luar padang.

“Biasanya, pada waktu pagi, Ronaldinho akan datang dengan kaca mata hitam. Dia akan mengambil pakaian dan terus ke bilik urut untuk tidur selepas berpesta semalaman.”

“Ronaldinho tidak akan menjalani semua latihan yang dijalankan dalam satu minggu. Beliau hanya akan hadir dan menyertai latihan pada hari Jumaat untuk bermain pada Sabtu.”

Malah perangai Ronaldinho mengingatkan beliau kepada seorang lagi pemain Brazil lain yang turut suka berparti, Romario. Ini membuatkan beliau percaya pemain-pemain berbakat besar biasanya gila-gila.

“Itu adalah Ronaldinho. Saya percaya beliau cuba mengikuti jejak langkah Romario, yang selalu keluar setiap malam, cuma pencapaian mereka bebeza.”

“Pemain-pemain dengan berbakat sangat besar ini biasanya sedikit gila.”

Pada 2003, Ronaldinho menyertai Barcelona. Di sana beliau menjadi pemain terbaik dunia. Setelah mengecapi banyak kejayaan Barcelona, prestasi beliau kian merosot sebelum kemudiannya dijual ke AC Milan.

Fizikal Ronaldinho juga semakin gempal. Ini berbeza dengan pendekatan pemain lain yang berusaha keras mengekalkan fizikal mereka pada tahap terbaik supaya dapat mengekalkan prestasi semasa muda.

Kisah Romario dan karnival

Bercerita tentang Romario, mendiang Johan Cruyff – bekas pengurus Barcelona – pernah mendedahkan perjanjian gila di antara beliau dengan Romario.

Seperti Ronaldinho, Romario juga seorang kaki parti. Beliau pernah berjumpa dengan Cruyff dan meminta cuti beliau dilanjutkan kerana beliau mahu menyertai karnival di Brazil.

Memang sukar bagi Cruyff untuk memberikan kelepasan semata-mata untuk alasan seperti itu. Cruyff sendiri terkejut.

Cruyff akhirnya membenarkan Romario menyertai karnival tersebut tetapi dengan satu syarat – Romario perlu menjaringkan minimum 2 gol pada perlawanan berikutnya iaitu El Clasico, Real Madrid vs Barcelona sebelum dapat berlepas balik ke Brazil untuk menyertai karnival tersebut.

Dalam perlawanan tersebut, Romario hanya memerlukan 20 minit untuk menjaringkan 2 gol peribadi dan mencapai sasaran yang ditetapkan oleh Cruyff.

Romario meraikannya dengan memberikan isyarat kepada Cruyff yang bermaksud, “Saya sudah menunaikan janji saya. Kini giliran anda pula.”

Barcelona menang 5-0 ke atas Real Madrid dalam perlawanan tersebut. Selepas tamat perlawanan, Romario bergegas berjumpa Cruyff dan berkata:

“Coach, penerbangan saya akan berlepas dalam masa satu jam. Izinkan saya pergi.”

Cruyff berkata, beliau tidak ada pilihan melainkan mengizinkan Romario seperti yang sudah dijanjikan. Itulah perangai Romario.

Baca yang lain