Bellerin Kritik Hipokrasi Eropah: “Kenapa Kita Abaikan Palestine? Sebab Mereka Bukan Macam Kita?”

Hector Bellerin berkongsi pendapatnya tentang perang Ukraine dan mempersoalkan mengapa ia mendapat perhatian lebih daripada yang lain.

Dunia bola sepak sendiri menunjukkan sokongannya kepada Ukraine selepas Vladimir Putin melancarkan pencerobohan Rusia ke atas negara itu.

FIFA dan UEFA turut membenarkan pemain memberikan sokongan terbuka kepada Ukraine termasuk mengibarkan bendera Ukraine bersama dengan mereka.

FA Inggeris melarang pengadil untuk melayangkan kad kuning kepada pemain yang menunjukkan sokongan kepada Ukraine terutama sekali dengan menunjukkan tshirt di dalam jersi mereka ketika meraikan gol.

Sebelum ini FA Inggeris menyatakan bahawa Matty Cash bukan dikenakan kad kuning kerana mesej sokongan kepada Ukraine ketika meraikan gol. Tetapi kerana dia membuka jersi, itu kad kuning biasa.

FA Inggeris malah menyarankan agar kelab tidak mengambil tindakan kepada pemain yang menyuarakan pandangan mereka ke atas Ukraine.

Berbeza sebelum ini di mana pemain seperti Ozil dikenakan tindakan dan amaran kerana menyokong etnik Uighur di China. Ozil dituduh masuk campur urusan politik China.

Terbaru, bekas rakan sepasukan Ozil, Hector Bellerin turut mengkritik hipokrasi Eropah ke atas perang Ukraine.

Di mana menurutnya, Eropah dan beberapa negara lain di dunia melihat perang di Ukraine pada sudut berbeza.

Bercakap kepada La Media Inglesa melalui Marca, bekas pemain Arsenal itu menjelaskan: “Agak sukar untuk melihat bahawa kita lebih berminat dalam perang [Ukraine] ini daripada mana mana perang lain.”

“Saya tidak tahu sama ada ianya adalah kerana mereka lebih seperti kita [orang eropah berkulit putih bermata biru] atau kerana konflik boleh menjejaskan kita secara lebih langsung dari segi ekonomi dan dari segi pelarian?”

Pemain yang pernah berguru di La Masia itu turut menyebut tentang peperangan di Palestin, Yaman dan Iraq bagi menguatkan hujahnya.

“Perang Palestin telah diabaikan sepenuhnya, tiada siapa yang bercakap mengenainya,” tambahnya.

“Yaman, Iraq pun sama. Dan kini Rusia tidak boleh bermain di Piala Dunia. Sedangkan perang seperti ini adalah sesuatu yang telah dihadapi oleh negara lain selama bertahun-tahun.”

Bellerin menganggap sedikit liputan tentang konflik lain yang berlaku di seluruh dunia sebagai satu bentuk perkauman.

“Ianya adalah berbentuk perkauman untuk menutup mata terhadap konflik lain dan kini mempunyai kedudukan ini,” katanya.

“Ia juga mencerminkan kekurangan empati terhadap jumlah nyawa yang terkorban dalam banyak konflik dan kami mengutamakan mereka yang rapat dengan kita sahaja.”

Pandangan Hector Bellerin itu sudah pastinya menuai kritikan daripada beberapa pihak. Di mana ada yang menuduh Bellerin sebagai tidak ada rasa kemanusiaan dan seharusnya kekal sahaja dengan bola sepak berbanding isu lain.

Malah ada yang mengutuk Bellerin dan menuduh Palestine pula puak penceroboh dan bukan negara diiktiraf berbanding dengan Ukraine yang diserang Rusia.

Di sebalik kecaman diterima Hector Bellerin, ramai juga yang memujinya. Mereka menegaskan bahawa, akhirnya ada juga pemain eropah yang benar benar berani bersuara demi negara lain selain Eropah terutamanya negara Islam.

Mungkin kerana dasar FIFA dan UEFA yang membuka pintu kepada pemain menyatakan sokongan kepada Ukraine telah digunakan sebaiknya pemain seperti Hector Bellerin untuk menyuarakan pandangannya ke atas konflik di negara lain.

Ramai yang menyatakan tabik hormat kepada Bellerin kerana bercakap untuk negara lain seperti Palestine walaupun pada pandangan barat ianya salah dari segi politikal dan prinsip mereka.